Wednesday, November 11, 2009

Gambar Lama


















Kembara ukhuwwah diteruskan....sekuntum rindu terbit dari wadi hati yang paling dalam. bertemu berpisah sudah resmi dunia. Simpulan mahabbah kita tiada nihayah...
Walau di mana berada, bidang apa yang diceburi, semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa mengiringi langkah kalian. Ssungguhnya kita pernah melakar kenangan atas jalan jihad mentauhidkan ad din yang suci. Walau kenangan kian luput dan pudar ditelan waktu, sepicing doa menjadi penghubung sekelumit rindu di hati.
Bertemu berpisah kerana Allah,
bertemu tidak jemu,
bepisah tidak gelisah!
Kullu 'am wa antum bi khaiir....
Ukhuwah fillah lestari di hati.....
Faqirah ilallah...

Sabar Itu Indah


Setinggi-tinggi syukur dirafa'kan ke hadrat Allah s.w.t atas rahmat-Nya yang tidak terhitung. Kasih dan rindu kami, selawat dan salam buat Junjungan mulia Rasul akhir zaman, cahaya atas cahaya.

Setiap hari yang dilalui, setiap detik waktu yang dipinjamkan kepada kita ini adalah hamparan mehnah yang tidak pernah sekali-kali akan berhenti selama mana masih berdegupnya denyut nadi jantung kita ini. Kehidupan hamparan ujian, medan percubaan ke atas iman dan taqwa insan. Kita juga tidak terkecuali.

Kehidupan adalah medan ujian. Justeru wajib atas setiap yang beriman untuk bersabar dan memohon kekuatan dari sisi Allah SWT. Kita manusia lemah dan berhajat bantuan dan pengaduan kepada Allah. Manusia bukanlah tempat pengaduan dan tempat bermohon pertolongan dan pembelaan. Meminta kepada manusia,hinalah kita. Allah sentiasa menantikan hamba-hamba-Nya datang bersujud dan memohon pertolongan dari-Nya tetapi manusia itu selalu lupa.

Semoga Allah rahmati kita! Bersabar untuk satu nafas, pasti ada rahmat tersembunyi di sebalik tiap tangisan dan duka.

Tuesday, November 10, 2009

Pernikahan Membuka Pintu-pintu Ujian Yang Besar

Alangkah walangnya hati ini mendengar khabar duka itu dari sahabat baik saya. Kehidupan adalah berjalan di atas kehendak dan ketentuan-Nya jua sebenarnya. Tidak ada campur tangan kita ke atas nasib diri kita. Segalanya kembali kepada Allah. Ar-Rahman dan ar-Rahim-Nya..semoga kita tidak diuji atas kemampuan yang tidak ada pada diri kita.

Sebuah pernikahan yang setiap di antara kita mengharapkan agar dikurniakan secebis bahagia dalam mencari syurga sebelum syurga. Namun ada yang diuji dengan kecundangnya sebuah perkahwinan yang berasas cinta dan sayang pada tapak pertama pembinaan mahligai impian kasih mereka. Allah adalah Tuhan cinta, Allah adalah pemberi cinta. Mengapa diujinya kita harus kecewa dan sangat berdukacita atas putusnya kasih di tengah jalan.

Allahu Rabbi! Sahabat, pernikahan adalah tapak asas di mana kita telah menlengkapkan sebahagian agama dengan perkahwinan ini. Jadi Allah pemilik cinta harus mempunyai tempat istimewa di hati kita. Kita mahu memiliki cinta yang abadi lagi hakiki sedangkan pemilik cinta yang memberi kita cinta tidak kita puja dan agungkan. Kita belakangi semua perintah dan suruhan pemilik cinta hakiki, mengapa harus dia merahmati cinta yang diberi pinjam kepada kita.

Sangat tertipulah kita seandainya merasakan cinta adalah milik mutlak kita.

Friday, October 16, 2009

Selamat Hari Lahir




Selamat Hari Lahir buat suami tersayang....semoga dengan pertambahan usia ini, seiring dengannya bertambahnya tanggungjawab, Allah terus mengekalkan nikmat keafiatan, terus sejahtera dalam nikmat iman dan Islam.


Seungguhnya diri menyayangimu kerana agama yang ada padamu..seandainya hilang agama itu darimu, maka hilanglah cintaku padamu.

Semoga bait mawaddah kita terus gagah menghadapi sebarang cabaran dan rintangan kehidupan. Kehidupan berumahtangga bukanlah semudah mengucap janji-janji manis tetapi ia adalah medan mengumpul kesabaran dan redha, hati yang pasrah menerima segalanya.

Thursday, October 15, 2009

Gempa di Padang





Segala puja dan puji dirafa'kan ke hadrat Allah SWT, selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul akhir zaman dan seluruh ahli keluarga Baginda yang mulia.

Mengambil iktibar dan sebesar-besar pengajaran dari kejadian gempa bumi di Padang, Indonesia membawa keinsafan kepada kita bahawa betapa kerdilnya kita, betapa kudrat manusia ini tidaklah sehebat mana.
Begitu juga, Allah telah menunjukkan bukti kehebatan kerajaan-Nya dengan datangnya bala tsunami pada 2004. Puluhan ribu nyawa menjadi korban ombak besar yg melanda banda Acheh itu.

Kini bencana gempa menimpa Padang, jauh di negeri orang tetapi iktibarnya tetap sampai kepada kita ini. Bagi orang-orang yang beriman kepada Allah, yakin dan percaya kitab Allah, tiadalah Allah menimpakan sesuatu bala di sesebuah tempat dan kawasan melainkan mempunyai sebab dan alasannya. Setiap kejadian bencana alam jika dikaji mengikut logik akal memanglah mempunyai kaitan dengan bentuk permukaan bumi, geografinya dan lain-lainnya.
Akan tetapi agama tidak begitu. Sesuatu perkara itu tidak habis di situ. Selaku umat yang beriman dengan kitab, semuanya hendaklah disandarkan pada al-Quran dan hadith. Jika berlaku sesuatu bencana alam, sungguh menghairankan apabila tiada siapapun mempedulikan kalam Allah, bahkan yang ditanya dan diambil pendapat ialah ahli sains itu, ahli sains ini. Sedangkan Allah adalah pentadbir dan penjaga alam yang maha luas ini? Namun manusia melupakan Dia, pemilik segala yang ada di dunia.

Firman Allah dalm surah Al Isra' : 16

و إذا أردنا أن نهلك قرية أمرنا مترفيها ففسقوا فيها فحق عليها القول فدمرناها تدميرا



Maksudnya:
“Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, Kami perintahkan kpd org yg hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.” al-Isra:16

Firman Allah, surah Al Isra' : 58



و إن من قرية إلا نحن مهلكوها قبل يوم القيامة إو معذبوها عذابا شديدا كان ذلك في الكتاب مسطورا

Maksudnya:

“Tiada suatu negeri pun (yg derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dgn azab yg sgt keras. Yg demikian itu telah tertulis di dlm kitab (Lauh Mahfuz).” Al Isra’: 58

Firman Allah, surah Al Anfal : 52



كدأب آل فرعون و الذين من قبلهم كفروا بأيات الله فأخذهم الله بذنوبهم إن الله قوي شديد العقاب


Maksudnya:

“(Keadaan mereka) serupa dgn keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya serta org sebelumnya. Mereka mengingkari ayat-ayat Allah, maka Allah menyiksa mereka disebabkan disebabkan dosa-dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras siksaan-Nya.” Al Anfaal: 52
Bukan semua perkara dalam agama ini boleh manusia fikir dengan logik akal sahaja. Ada perkara yang manusia tidak mampu fikir dengan menggunakan akal mereka semata-mata.
Cukuplah dua kejadian di atas menjadi saksi betapa kuasa Allah melangkaui kudrat dan kemampuan manusia. Murka Allah jangan diundang sewenangnya.

Satu kisah menarik untuk direnungkan bersama;

Anas mengunjungi Aisyah , di dlm majlis itu seorg lelaki bertanya: Wahai Ummu al-Mukminin, "ceritakan kpd kami ttg gempa bumi? Beliau berkata: Apabila perempuan menanggalkan pakaiannya di tpt selain dari rumah suaminya, terkoyaklah hijab (penddg dari azab) yg antaranya dan antara Allah. Apabila perempuan memakai bau-bauan bukan utk suaminya, baginya neraka dan kehinaan....apabila dihalalkan zina,meminum arak dan memukul alat muzik, Allah berfirman kpd bumi gegarkan mereka? Sekiranya mereka tak bertaubat dan meninggalkan maksiat, mereka dibinasakan dgnnya oleh Allah. Anas bertanya : Apakah itu hukuman terhadap mereka?". Aisyah menjawab: "ianya rahmat, keberkatan dan peringatan kpd org mukmin. ianya siksaan, kemurkaan dan azab ke atas org kafir.
Terkadang melihat realiti di negara sendiri, kejadian rasuah di kalangan pemimpin tertinggi negara, kejadian jenayah dan maksiat yang makin membarah di kalangan masyarakat, adakah semua ini sengaja mahu mengundang bala dan kemurkaan Allah kepada negara kita juga?
Tsunami tahun 2004 menjadi saksi bahawa negara kita sungguhpun berada di luar kawasan bencana alam seperti gempa bumi, gunung berapi, namun ombak besar melanda juga Kota Kuala Muda, Kedah dan di Pulau Pinang.

Gegaran gempa bumi pada kekuatan 7.6 skala richter tetap menggegar beberapa bangunan tinggi di negara kita ini pada hari yang sama gempa melanda Padang.
Adakah mata manusia telah buta walaupun celik, adakah telinga mereka pekak walau dapat mendengar? Tidakkah hadir sekelumit rasa gerun pada janji ancaman azab kepada orang yang melampaui batas?
Di Padang Pariaman, seperti dilaporkan media telah membenamkan sama sekali 3 buah perkampungan di situ. Maha suci Allah yang maha berkuasa. Alam seakan memuntahkan amarahnya kepada penghuni bumi atas kebinasaan dan kejahatan yang telah mereka perbuat.
Bumi dan tanah seakan digoncang oleh tangan seseorang apabila gegaran maha hebat di Padang telah menjadikan bandar Padang seperti bandar 'horror' yang kemusnahan bangunan dan kehilangan jiwanya amat dasyat. 'Tangan' Allah yang telah mengoncang bumi Padang petang 30 September 2009 tepat pada pukul 5.16 petang.

Ambillah iktibar wahai hati yang mahu berfikir. Allah mampu melakukan apa sahaja. Kuasa manusia hanyalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan keupayaan dan kehebatan Allah yang tiada tandingan itu. Kembalilah kepada agama.

Tuesday, October 6, 2009

Pergi Tak Kembali


Nik Mohd Azhari bin Nik Hassan

1979 - 2009

Al-Fatihah



Lama tidak menulis. Sepanjang tempoh senggang itu, banyak yang telah terjadi. Rupanya saya tidaklah sehebat kak Hayat, mampu menulis dan mencurah isi hatinya di kertas dan lantas sya biarkan sahaja blog ini tidak terisi. Abang Azhari telah kembali ke rahmatullah pada 1 Ramadhan yang lalu. Sedihnya hati tidak mampu diluahkan. Perginya dia mendahului abah dan ma yang uzur dan tua itu. Sungguh, saat ini hanya kenangan semalam yang menjadi ubat kepada rindu senda gurau dan senyumnya.

Pada syawal kali ini, kuburnya menjadi tempat ziarah kami. Syawal yang lalu kami masih bersama membacakan yasiin di kubur arwah kakak. Kali ini abang dipertemukan dengan kakak. Kami adik-adikmu ini entah bila akan mengikut jejak mu.

Abang, teringat kak Hayat cakap abang telah menyusul langkah arwah Kak Nor, dan siapa pula antara kami adik-adikmu yang masih tinggal ini yang akan menyusul kemudian. Ya Allah, semoga abang ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Berehatlah di sana..

Sayu mengenangkan pemergianmu abang. Tempatmu di sisi kami kini kosong tidak terisi dan tidak akan berganti. Terlalu banyak jasa-jasa abang terhadap adik-adik. Tahu tak abang, adik Hafiz sunyi. Katanya dia sudah tak ada kawan. Yea, kawan yang rajin bawa dia pergi beli kelengkapan sekolah dia, kawan untuk bermain Sahiba, kawan yang rajin ajar dia matematik, kawan yang rajin bawa dia jalan-jalan.

Ikin juga tidak akan lupa wajah putih bersih abang malam terakhir melihat abang di sisi, ikin tidak akan lupa kenangan malam terakhir kita berbuka puasa bersama. Kalaulah masa dapat diundur, ikin nak kucup tangan abang, minta maaf atas khilaf dan dosa ikin pada abang.

Sungguh, kini kami sudah tidak ada lagi abang yang rajin belanja burger, abang yang rajin 'usik-usik' adik. Sunyinya ya Allah. Teringat senyum tawa abang, segalanya masih segar diingatan.

Namun tidak mengapa, Allah sayangkan abang melangkaui cinta dan kasih kami. Kami tidak akan lupakan abang. Abang tetap ada di sisi kami.

Kami doakan kebaikan-kebaikan selama hayat abang dahulu sebagai bekalan abang di sana. Kami sayangkan abang! Al fatihah...

Monday, August 3, 2009

H1N1, Kepada Siapa Hendak Kita Minta Pertolongan?

Maha Suci Allah Yang Maha Hebat, Yang Maha Berkuasa!. Saya berasa sangat insaf dan takut pada cubaan Allah kali ini. Virus H1N1 setakat ini telah mengorbankan 6 nyawa di negara kita.

Pada yang melihat maksud tersirat di sebalik Allah hadirkan virus berbahaya ini adalah tidak lain tidak bukan untuk kembali mendekatkan manusia yang lupa, manusia yang alpa, manusia yang terlalu sombong dan angkuh untuk kembali kepada Allah di atas kesombongan yang telah mereka lakukan.

Saya teringat pula, kisah pada satu petang. Saya naik teksi balik dari kerja. Pak cik driver teksi tu agak ramah orangnya. Usianya telah separuh abad. Katanya kepada saya, "Budak-budak sekarang buat apa-apa macam tak ada dosa dan pahala".
Mungkin itu luahannya ke atas realiti muda mudi hari ini. Saya bersetuju dengan Pak cik itu 100%.

Menurut suami, katanya dia bukan mahu jadi orang yang menjaga tepi kain orang lain tetapi katanya setiap kali Jumaat, jiran sebelah rumah kami tidak pergi sembahyang Jumaat.

"Macam mana abang tahu?", saya menguji.

"Abang tak pernah nampak dia di masjid setiap kali selepas sembahyang Jumaat. Dengan jiran yang lain, selalu juga jumpa. Tidak minggu ni, jumpa pada minggu lain. Dia langsung tak nampak batang hidung", bersungguh suami saya bercerita.

"Abang ni, jangan cepat menuduh orang. Manalah kita tahu dia pergi sembahyang tetapi abang yang terserempak dengan dia. Sudahlah abang, tak payah cerita hal dia".

"Betul, abang dah siasat".

"Apa yang abang siasat?!".

"Waktu pergi sembahyang Jumaat tu, abang perhatikan dekat mana dia letakkan kereta dan macam mana dia letakkan motor dia. Balik sembahyang, abang tengok tak ada apa yang berubah. Motor dan kereta masih seperti abang hendak pergi sembahyang tadi. Rumah dia tak kunci, maksudnya dia ada".

"Ya Allah abang, sampai tahap tu abang periksa jiran kita. Tak usahlah bang. Husnu zon la".

"Begitu la awak, maksiat tu tak berani tegur".

Saya kematian kata. Suami saya sangat peka pada hal-hal sebegitu. Katanya dia tidak tahu macam mana hendak menasihatkan jiran kami itu padahal hatinya panas membara melihat manusia enggan menunaikan suruhan Allah.

Friday, July 31, 2009

Doa Yang Mustajab

Segala puja dan puji tertentu dirafa'kan ke hadrat Allah SWT atas nikmat dan hidayah-Nya yang tidak terhitung. Selawat dan salam buat Rasul Junjungan SAW, cahaya atas cahaya.

Syukur kepada Allah, masih terus dipanjangkan umur dan masih diberi nikmat kesihatan untuk terus melakukan ketaatan kepada-Nya.

Pagi tadi, saya pergi mendengar ceramah agama lagi. Tajuknya 'Tip-tips Doa Dimakbulkan". Bagus tajuk ceramah yang diilhamkan oleh Biro Agama dan Pendidikan ini. Seperti biasa, setiap kali hadir mendengar tentu sekali tidak akan pulang dengan tangan kosong. Ada ilmu yang sangat bermanfaat untuk kita kongsikan bersama.

Hari ini Ustaz Syed Mohd Norhisyam bin Tuan Padang yang menyampaikan ceramah. Orangnya kelakar juga. Lepasan Universiti Yaman tetapi tidaklah saya arif lain-lain berkenaan beliau kerana biodata beliau tidak dinyatakan oleh Tuan Pengerusi.


الدعاء مخ العبادة
(Doa itu otak ibadah)


الدعاء صلاح المؤمن
(Doa itu senjata orang mukmin)
Dalam Surah al Ghaafir ayat 60 Allah berfirman yang mafhumnya:
Dan Tuhan kamu berfirman "Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu".
Di sini Allah menggambarkan bahawa betapa dekatnya Dia dengan hamba-Nya serta betapa pemurahnya Dia kepada hamba-hamba-Nya.
Maha suci Allah, disuruhnya para hamba agar meminta dan berharap hanya kepada-Nya tetapi manusia selalu lupa kepada Dia.
Cuba kita selalu meminta-minta kepada manusia, manusia akan benci kepada kita. Tetapi meminta kepada Allah, Dia akan memakbulkan segala permintaan dan hajat kita.
PERSOALANNYA, SUDAH BANYAK BERDOA TETAPI KENAPA TIDAK DIMAKBULKAN?
Syarat Makbul Doa:
(1) Yakin - Allah Maha Mendengar munajat hamba-Nya
- Allah menepati janji-Nya
(2) Khusyu' - Mengharap
- Menghina diri di hadapan-Nya
(3) Tidak Gopoh - Sabda rasulullah SAW yang bermaksud "Dimakbulkan doa seseorang kamu
selagimana dia tidak gopoh dengan berkata -"Aku telah berdoa kepada
Tuhanku, tetapi ia tidak memakbulkannya"
(Riwayat Bukhari & Musllim)
(4) Makanan, minuman dan segala sumber kewangan adalah halal.
SEBAHAGIAN WAKTU DOA MUSTAJAB
(1) Ketika sujud
(2) Setelah selesai solat fardhu
(3) Sepertiga malam
(4) Di antara azan dan iqamat
(5) Ketika hampir berbuka puasa
(6) Ketika barisan tentera Islam bertembung musuh di medan perang
(7) Doa ibu bapa kepada anak-anak
(8) Doa orang yang dizalimi
(9) Doa orang yang bermusafir
(10) Di Masjidil Haram, Multazam, Maqam Ibrahim, Miizaab
(11) Di Masjid Nabawi, Raudhah
(12) Tawaf, saie, wukuf, mabit dan setiap manasik haji

Wednesday, July 29, 2009

Madu Sebagai Penawar


Setelah baik dari demam selsema sejak 2 minggu yang lalu, tidur saya selalu terganggu. Saya rasa tekak ini tak selesa, lemas dan sukar untuk bernafas. Juga batuk yang mengganggu. Semalam kak Dah suruh makan madu. Saya makan suku sudu kecil. Saya selawat dulu, saya minta ya Allah, kurangkanlah batuk dan rasa tidak selesa ini.


Alhamdulillah, semalam saya dapat tidur dengan nyenyak. Pagi tadi bangun, rasa fresh aje. Time kasih madu yang kak dah bagi tu, best sangat. Madu asli katakan....cewah. Tu la, selama ini semua orang maklum bahawa madu tu ubat lagi best rasanya. Cuma saya ini yang tak suka madu.


Beberapa dalil menyebut madu sebagai penawar.


Beberapa kajian telah diusahakan yang tertumpu kepada bahan-bahan semulajadi daripada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan. Begitu juga dengan madu lebah kerana dalam al-Quran sendiri telah menggariskan pelbagai pengajaran dan maklumat penjagaan diri daripada pelbagai penyakit, maupun kesihatan jasad atau rohani agar kita dapat mengerjakan segala perintah Allah dengan teratur.



Firman Allah dalam surah an-Nahl:
(Surah An-Nahl: 69).


Tafsirnya: "Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan."



Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam juga ada berpesan agar seseorang itu berubat dengan madu dan al-Qur'an, Baginda bersabda:


Maksudnya: "Ambillah / pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Qur'an."


(Hadis riwayat Ibnu Majah)



Daripada hadis tersebut ternyata madu mempunyai keistimewaan yang tersendiri dengan nilai-nilai utama dalam ilmu kesihatan, yang mempunyai zat-zat besi dan vitamin yang kuat. Di samping itu madu juga dianggap penting kerana memenuhi keperluan tubuh dan cepat memberi tenaga.


Mereka yang mengetahui akan khasiat madu akan menggunakannya secara rutin, hal ini bukan hanya teori tetapi telah dibuktikan daripada beberapa kajian yang telah dilakukan di mana jika ianya diamalkan setiap hari akan mencegah daripada pelbagai penyakit dan memberi tenaga yang cukup.


Di samping itu madu juga seringkali digunakan untuk sampingan sarapan pagi agar tenaga segera siap digunakan dalam menjalankan kerja harian. Madu juga memiliki aroma enak yang meningkatkan selera, sepertimana Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam juga mengamalkannya.


Diperkuatkan dengan hadis baginda yang berbunyi:

Maksudnya: "Dari Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:

"Barangsiapa yang menjilat madu sebanyak tiga kali pagi pada setiap bulan, maka dia tidak akan terkena cubaan yang besar."



Di samping itu dengan memakan madu juga boleh menyembuhkan batuk-batuk yang menganggu dan boleh mencegah daripada kekejangan pada otot tubuh khususnya pada bahagian kaki. Dalam perubatan tradisional, madu telah dimanfaatkan untuk menahan luka-luka terbakar pada kulit. Jika diusapkan madu akan dapat mengurangi rasa sakit yang menyengat dan mencegah pembentukan lepuh (melecur) dan cepat sekali menyembuhkan kawasan yang terbakar. Di samping itu banyak lagi penyakit yang boleh sembuh misalnya hidung tersumbat, anak yang kencing malam dan sesuai untuk kanak-kanak damit yang baru lahir.



Dalam al-Qur'an, hadis-hadis yang disebutkan dan amalan perubatan tradisional, madu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Adalah menjadi suatu amalan yang baik menjadikan madu sebagai ubat dan penjagaan kesihatan.

Wednesday, July 15, 2009

Secebis Kenangan Yang Masih Tersisa

Sungguh, kenangan kadang menggugat tenang. Ia hadir memberi makna iktibar buat sekeping hati yang selalu lupa. Dahulu, waktu kak Hayat cakap hati manusia itu 'nasia', saya binggung. Dari mana datangnya kalimah 'nasia' itu? Daripada perkataan arab atau dari mana? Apa bendanya 'nasia' ini duhai kakak?

'Nasia' adalah ada dalam perkataan an nas, perkataan arab dan maksud 'nasia' adalah lupa. Lantas saya mengambil kefahaman bahawa manusia itu lupa sifatnya. Arrggghhh...peninglah....saya sedih, Nahu Soraf...penuh kenangan tersimpan (saya pernah dapat markah 0 untuk maddah ni.Ustaz panggil saya untuk diberi kaunseling)
Ya, saya belum lupa.

Saya masih ingat ketika saya gagal menempatkan diri ke mana-mana universiti setelah keputusan SPM diumumkan tahun 2004, betapa terasingnya diri.
UIA : Awak, Habibah Mansor, Norzila Faeza, Norafida
UiTM : Norul Wahijah, Zuriha Azami
KIAS : Suhaila Mat Zin, Safiah Said, Siti Khadijah
KUIS : Siti Aisyah Che Kob (dah sambung USIM skrg)
UKM : Hasmiyati Zahari, Aminatul Hidayah
KUSZA : Nordiana Hanan
UPM : Ghazali

Kenyataan yang susah hendak terima. Saya gagal untuk menyambung pengajian walau terlalu berharap untuk bersama-sama ke UIA. Dengan result yang agak baik, saya tetap ditakdirkan gagal. Dalam 'geng' saya, hanya saya, Hasanah harun yang tersisa untuk meneruskan pengajian di peringkat STAM. Ada beberapa nama lain yang turut senasib dengan saya. Sedihnya waktu tu.

Saya sangat bercita-cita ke UIA, tidak ke universiti lain kerana pada pemikiran dangkal saya pada waktu itu, saya terpengaruh dengan mak cik saya yang dapat ke UIA. Setiap kali balik kampung, dia pasti hadiahkan saya dan kak Hayat penanda buku, pen dan lain-lain pemberian ada tertera UIA. Saya teruja dengan semua itu.

Mak cik saya dipuji-puji kerana kecerdikannya dalam pelajaran, 'tersohor' kerana kecantikan wajahnya, disebut-sebut namanya oleh abah dan ma. Abah berbangga dengan adik bongsunya itu. Penerus generasi solehah dalam keluarga.
Apa khabar mak cik saya itu, Nik Raihan dan suami Ahmad Raihan. Apa khabar Najmi dan Najwa? Rindu pula...

Namun, tiap yang terjadi rupanya ada cerita lain yang Allah ingin takdirkan. Walau tidak berjaya ke UIA seperti yang diimpikan, akhirnya saya tetap dapat menyambung pengajian di UiTM, Kampus Sungai Petani dalam Bachelor Administrative Science. Masih ada sisa kecewa di hati kecil ini. Lukanya masih kekal berdarah.

Setiap kali menjejak kaki di bumi UIA, Gombak untuk sesekali bertemu kakak ipar yang turut pernah belajar dan sekarang bertugas di sana, hati ini menangis. Allah, Engkaulah sebaik-baik penawar duka!
Hmmm, entah bagaimana takdir seterusnya.
Masih saya tidak lupa, saya memohon jurusan Ilmu wahyu a.k.a IRK, sama seperti mak cik saya. Hmmm, terasa macam semalam baru saya menghadapi semua itu. Tanpa sedar, sudah hampir 5 tahun masa telah berlalu.

Apa yang ada pada bachelor hah? Saya pelik juga kadang-kadang. Walhal terasa biasa2 saja apabila dapat menyambung pengajian tetapi saya pernah diketepikan kerana tidak berpeluang ke mana-mana IPTA suatu masa dahulu. Itu agaknya sindrom mazmumah akhir zaman.
Entah, tak boleh komen banyak-banyak. Bimbang ada yang menelefon pula.

Perjuangan untuk menggenggam segulung ijazah akan diteruskan. Ianya adalah perjuangan hidup dan mati dalam meletakkan diri sebagai hamba yang diredhai. Biar diri ini jadi seperti kak Hayat. Kental dan kenyal sekali semangatnya untuk terus mendapatkan Master. Dia akan berjuang untuk ke peringkat paling tinggi dalam level keilmuan yang ada di Malaysia. Itu semangatnya.

Kakak, kali ni akan sambung bidang apa pula yea? Hmmm, entah.
Mudah-mudahan dia diberi kemampuan untuk mencapai cita-cita itu. Segala cabaran yang sedang merentangi adalah anak-anak tangga untuk mendaki ke puncak teratas! Syabas kakak!
Belum sempat Rasulullah menghabiskan bacaan, lelaki itu meminta baginda mengulang semula bacaan tersebut. Dia kagum dengan keindahan lafaz dan kesucian maknanya.

Hatinya tersentuh tiba-tiba. Selesai Rasulullah membaca ayat tersebut, lelaki itu berkata, "Demi Allah, sesungguhnya padanya ada kemanisan, padanya ada kecemerlangan dan bahawa di bawahnya muncullah daun, dan di atasnya muncullah buah. Itu bukan ucapan seorang manusia!"

Lelaki itu adalah al-Walind bin Mughirah, yang kemudian menjadi antara sahabat Rasulullah yang terkemuka.
Tertarik dengan kisah pendek di atas, saya terpanggil untuk publish di sini. Saya menerimanya dari seorang sahabat. Semoga ada manfaat yang besar untuk kita semua!

Tuesday, July 14, 2009

1Malaysia:Idea Bijok?

Saya tidaklah bermaksud untuk memberikan komen berkenaan 1Malaysia yang telah diilhamkan oleh Dato' Seri Najib Tun Razak. Begitulah adat, setiap pemimpin yang datang dan pergi membawa idea2 mereka. Terbaru, semalam saya melihat di kaca TV 100 hari pemerintahan di bawah Perdana Menteri baru. Sama seperti pemimpin yang dahulu, mengumumkan pelbagai pengumuman yang mengangakan mulut mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik di kampung, tidak habis-habis, buat lawatan mengejut ke sana dan ke mari.
Saya tidak hendak perkatakan itu. Cuma hadir sesuatu rasa dalam hati saya ini. Saya terfikir selepas melihat di TV juga lagu baru 1Malaysia.
Hmmmm,macam-macam yea.Manusia membawa matlamat dan tema dalam pemerintahan. Membawa idea itu dan ini namun semuanya adalah matlamat keduniaan semata-mata tanpa ada matlamat akhirat yang dijunjung.
Ke mana hendak di bawa matlamat keduniaan? Tidak tahukah atau sengaja buat-buat lupa?Dunia sudah tua....tetapi itu juga yang dikejar dan didamba...Matlamat untuk ke akhirat tidak pernah dipromosikan sehebat2nya seperti mana mempromosikan Matlamat 1Malaysia di TV.
Kempen menutup aurat tidak pernah ada di TV, kempen pengharaman arak kepada muslim juga tidak ada. Iklan tentang menunaikan solat juga langsung tidak ada.
Ke mana sebenarnya kita ini hendak di bawa?
Pelbagai program hiburan dan nyanyian yang merosakkan lagi melalaikan tumbuh bagai cendawan, melata dan merata-rata. Huh, saya tidak suka dengan perkembangan sebegini.Saya menyimpan benci di dalam hati!Benci pada budaya fasad ini!
Sungguh negara telah merdeka namun minda umah masih kuat terjajah.Kita hari ini telah hilang suara umah yang bimbang tetang akidah anak-anak mereka. Kalau dahulu masyarakat Islam di Singapura bangkit menentang pemurtadan akidah seorang gadis bernama Natrah, hari ini umat menjadi 'buta' dan 'pekak' dengan banyak kes murtad dalam negara!
Lihatlah betapa matinya hati umah.
Tuhan,
ke mana hendak aku adukan kegelisahan ini?
Tuhan,
ke mana hendak ku khabarkan nasib umat Muhammad ini?
Suara ulama' sudah tidak lagi dipeduli,
kejahatan dan kemaksiatan tumbuh subur
dunia telah rosak
rosak dengan tajaan kejahatan
dari musuh-musuh Allah!
Laknat Allah atas musuh-musuh-Nya. Hancurkanlah mereka, cerai beraikan pakatan kejahatan mereka wahai Tuhan kami yang maha hebat!

Wednesday, July 8, 2009

Ya Allah,
Tuhan yang maha mengerti rahsia hati-hati manusia. Harap Allah mengerti hati ini. Terasa tidak tenang, terasa bagai saya kehilangan, terasa bagai terasing dan sunyi, terasa ada kesedihan yang menekan-nekan hati. Adakah ini petanda ruh dahagakan amal soleh?
Masih segar diingatan, ustaz mengajar di kelas saya waktu tingkatan 6 Bawah dahulu mengatakan bahawa
"Seandainya kamu merasakan begitu(apa yg saya telah tulis di atas), ketahuilah bahawa jiwa dan roh kamu kekurangan amal soleh. Kamu tidak diberikan ketenangan oleh Allah, hati yg hilang sakinah dan rahmah. Justeru, kembalilah kepada Allah.
Sekiranya jasad kamu memakai pakaian yang cantik, makan makanan yang enak-enak, kamu tidak suka kepada yang busuk dan kotor begitu jugalah dengan roh kamu!"
Rasanya tidak terkira titik hitam di hati ini. Malah lebih malang lagi, tidak pernah pula saya sucikan hati dengan taubat. jarang saya ini bertaubat. Apa yg rutin bagi saya ialah lebih dekat dengan mazmumah yang memusnahkan.
Memandang jauh dari jendela kenangan, banyak yang telah lupus. Di mana sekeping hati yang selalu rindu pada ilmu, hati yang lunak dan mudah menerima kebenaran? Di mana kalbu yang selalu khusyuk dalam solat? Di mana akhlak mahmudah?
Wajah kusam dan kelam dengan dosa-dosa yang pahit.
Hendaknya Allah kembalikan saya ke kampung halaman. Saya tidak sesuai di sini, di samping mereka yang meletakkan dunia sebagai matlamat dan bukan sebagai alat.
Tiada lagi bau harum ukhuwwah islamiyah di sini...yang ada hanya bau hanyir manusia yang mementingkan dunia dari kehidupan akhirat! Bau hapak dan busuk manusia yang hatinya diisi mazmumah.
Tiada lagi teman-teman yang mengingatkan tentang kehidupan akhirat selain cakap-cakap kosong lagi sia-sia. Saya lemah dan lemas dalam ribut manusia yang mengejar dunia yang tidak sudah. Hutan batu yang terlalu hina untuk didiami ini turut dihuni oleh manusia-manusia hina.
Hina kerana kecintaan serta kecenderungan mereka pada dunia dan segala isinya.
Ya Allah....

Friday, July 3, 2009

Senator Mumtaz Md Nawi Ikon Muslimah




Puan Hajah Siti Zailah dan Ustazah Wan Ubaidah Wan Omar juga bekas seorang Senator satu masa dahulu

Saya terpasung dan terpaku melihat langkah Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff wakil rakyat Rantau Panjang, tampang tubuhnya kelihatan menghala masuk ke Dewan Rakyat. Dahulunya beliau adalah senator namun pada penggal kali ini beliau bertanding untuk kawasan Parlimen Rantau Panjang dan menang untuk kawasan tersebut. Dalam berat kakinya yang sakit itu melangkah, amanah terhadap rakyat nyata tidak dipandang mudah. Mendengar lantang suaranya membangkitkan masalah rakyat di kawasan beliau di sidang Dewan Rakyat pada petang Khamis dalam pukul 4.15 macam tu, semacam langsung tidak terkesan dengan sakit kaki beliau (tidak pula saya tahu apa kaki beliau kenapa). Yang nyata dia terhinjut-hinjut berjalan di lobi Parlimen. Dalam lantang suara beliau, saya tenggelam dalam kenangan hari semalam yang masih subur di jiwa.



Awal tahun 2002, di Nadwah Kepimpinan Nuqaba’ bertempat di JKR405, Pengkalan Chepa, saya masih ingat suara lantang milik beliau memberi pengisian pada satu slot di program itu. Orangnya tetap sama, suara yang sama, nada yang sama, cuma masa telah memamah kemudaan waktu itu. Ya Allah, cepatnya waktu berlalu. Tanpa sedar, saya telah dewasa kini. Terasa bagai semalam saya khusyuk mendengar mutiara ilmu yang beliau curahkan kepada generasi pelapis naqibah jadid. Namun hakikat hari ini, saya bukan orang yang terlibat secara langsung dalam dunia daie namun diri ini masih menjadi pendukung perjuangan Islam yang suci.


Saya dipagut rindu yang teramat sangat pada negeri kelahiran tercinta, rindu pada Maahad, rindu pada ustaz dan ustazah, rindu pada sahabat seperjuangan, rindu biah yang dahulu. Saya rindu pada Hasanah, Aisyah, Aminatul Hidayah, saat sama-sama menjadi pencinta ilmu yang tidak pernah jemu melangkahkan kaki ke tempat Tuan Guru mengajar pada setiap hari Jumaat di Kota Baharu. Pagi Jumaat dan hujung minggu, kami habiskan dengan penjadi pencari ilmu. Kembara kami yang tidak pernah usai. Masing-masing punya cita-cita tersendiri dan langsung kini kami terpisah kerana ghoyah kami yang tersendiri.


Biar masa dan waktu memisahkan kebersamaan kami, namun sekeping hati tidak pernah melupakan semua kenangan yang pernah tercipta, menjadi jundi-jundi kecil, mencipta jejak-jejak kenangan yang tersendiri.


Allah, kenangan silam yang kian hilang. Keindahannya hanya terlakar di ingatan. Melihat kehidupan dari dua sisi, sukar untuk saya jelas perasaan hati ini. Mujahadah melawan perasaan antara mazmumah dan mahmudah menjadikan saya tersepit dan terdesak. Lorong yang susah dan payah. Hidup dalam persekitaran yang terpencil memenjarakan saya dalam kabut perasaan sendiri


Begitu juga setiap kali sepasang mata ini melihat Senator Puan Hajah Mumtaz binti Md. Nawi yang lantang bersuara di sidang Dewan Negara membangkitkan perihal kehidupan rakyat dan permasalahan ummah namun sayang seribu kali sayang, hanya hati-hati yang ‘jaga’ sahaja mahu mengakui kebenaran di sebalik kata-kata beliau yang selalunya ilmiah dan bernas.


Kahwin dan mendapat anak di masa belajar di AIKOL UIAM, namun tetap menjadi figure Anugerah Dekan di pentas akademik dan figura politikus menggugat ketika bersama memimpin MPP UIAM sehingga mampu berbahas dengan Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim. Itulah kehebatan beliau yang boleh dijadikan qudwah dan ikutan.


Dengan Puan Hajah Mumtaz juga saya mempunyai kenangan yang tersendiri. Pendek kata kami dari negeri Kelantan terutamanya pelajar aliran agama sudah biasa dengan pemimpin berjiwa rakyat di sana. Semua ustaz dan ustazah jenguk gelanggang termasuk dua nama di atas.


Kenangan saya dengan Puan Hajah Mumtaz pula ialah sewaktu di Kursus Kenegaraan anjuran Yayasan Islam Kelantan di Kem Kok Keli, Tumpat pada bulan April 2007 bagi sekolah-sekolah agama untuk peringkat zon 8, waktu itu saya cuti semester dan sempat menjadi AJK pelaksana bagi program ini atas jemputan Ustazah Wan Faizah dari SMU(A) Maahad Muhammadi Pasir Mas. Terasa masih terdengar-dengar di telinga suara beliau menyampaikan ceramah. Sangat berkesan di jiwa saya. Selaku anak Kelantan saya juga turut bangga dan sangat kagum dengan keperibadian beliau.


Setiap kali saya berkesempatan melihat kelibat beliau di lobi Parlimen, atau di coffee room Dewan Negara, kenangan yang sekelumit cuma bersama beliau pasti kembali menari-nari di ruang mata. Betul kata sahabat saya, kita tidak boleh hidup dengan kenangan sahaja namun apakah lagi kenangan manis yang saya ada selain dari itu?


Namun Tuhan tidak membiarkan pejuang sendirian. Kelantangan suara-suara mereka bagaikan gong yang dipalu, menyedarkan hati-hati yang ‘tidur’. Semoga Allah selalu memberkati hidup para pejuang dan menghancurkan pakatan kejahatan musuh-musuh-Nya.


Iktibar Buat Masih Yang Hidup


Salam Jumaat.


Dunia masih lagi hangat dengan berita pemergian seorang bintang Barat, Michael Jackson. Ribuan peminatnya masih lagi menangisi sebuah pemergian yang tidak akan kembali itu. Menyebut tentang Michael Jackson ini, saya punya kenangan yang tersendiri. Waktu saya masih kanak-kanak, saya takut melihat wajahnya seperti hantu yang datang dalam mimpi saya, dengan pucat wajahnya cukup membuatkan saya takut apatah lagi untuk meminatinya.


Secara jujurnya, saya tidak meminati lagu-lagu orang putih ini, malah memang tidak tahu banyak fakta tentang artis-artis barat melainkan sedikit cuma. Mendengar lagu orang putih ibarat menyeksakan jiwa raga sendiri.
Hubby saya juga melarang saya memainkan lagu selain nasyid ketuhanan terutamanya ketika memandu kereta. Katanya jiwanya tidak tenang dan dihambat resah kalau tidak mendengar lagu-lagu yang syar'ie dan dia juga tidak gemar untuk mendengar lagu-lagu yang lagha. Seingat saya, dia pernah cerita, sewaktu masih bersekolah dulu, ada seorang ustaz pernah beritahu bahawa barangsiapa yang mendengar nyanyian yang melaghakan di dunia, maka di akhirat nanti Allah akan mencurahkan cairan timah yang menggelegak ke dalam telinganya. Wallahu'alam.
Saya hormati permintaan dan keinginanya itu. Saya menegah diri dari mendengar lagu selain nyanyian yang disukai suami.


Berbalik kepada pemergian bintang lagenda itu, kisah yang saya baca dalam kisah di sebalik pembedahan plastik yang dilakukan oleh Michael Jackson itu terasa sebuah keinsafan meresap jauh ke sanubari.


Otopsi ke atas mayatnya telah menemukan penemuan-penemuan yang sangat mengerikan. The Sun melaporkan bahawa tidak ada makanan di perutnya kecuali pil - pil. Subhanallah.


Paha, pinggul dan di bahunya ada bekas suntikan yang diyakini sebagai injeksi narkotika penghilang rasa nyeri. Suntikan itu dilakukan tiga kali sehari dan sudah berlangsung bertahun-tahun lamanya. Terdapat juga banyak bekas pembedahan yang kemungkinan adalah hasil dari 13 kali operasi kosmetik.


Tubuhnya mengalami berbagai-bagai kecederaan dari hasil pembedahan plastik yang dilakukannya suatu ketika dahulu. Untuk cerita selanjutnya bolehlah ziarah ke laman http://idhamlim.blogspot.com


Saya tidaklah arif mengenai plastic surgery dan kesannya tetapi hasil otopsi terhadap jenazahnya membuktikan bahawa itulah natijah dari tangan manusia sendiri yang ingin menyanggahi kekuasaan Allah dan ketentuan Allah terhadap batang tubuh seseorang hamba. Dia telah memusnahkan diri sendiri.
Akhir zaman ini, ramai di kalangan kita yang cnderung untuk melakukan pembedahan plastik, suntikan botox, dan lain-lain cara selari dengan kemajuan teknologi. Maka berlumba-lumbalah mereka melakukan pengubahan terhadap bentuk hidung, dagu, rupa wajah mereka, menghilangkan kedutan dan sebagainya. Kononnya untuk menghapuskan tanda-tanda penuaan dan sebagainya. Kedutan dan tanda-tanda penuaan yang adalah fitrah dan bersifap normal. Tetapi itulah manusia, tidak pernah puas.

Inilah manusia yang tidak pernah syukur dengan apa dianugerahkan pada dirinya. Manusia tidak puas dengan kejadian dirinya. Ada yang Tuhan jadikan berkulit gelap mahu berkulit cerah, hidung yang tidak mancung, mahu dimancungkan dan sebagainya. Memanglah kita manusia lemah untuk melawan rasa hati yang kadang-kadang tidak berpuas hati dengan diri sendiri tetapi suara iman itulah yang menjadi benteng untuk tidak memenangkan bisikan dan hasutan syaitan dalam diri.


Siapa yang tidak mahu cantik, siapa yang tidak teringin memiliki kulit putih berseri, hidung mancung, bibir yang mungil lagi kemerahan tetapi itu di bawah kudrat dan iradah Allah. Kita hamba wajib mensyukurinya.


Yakinilah bahawa Allah tidak memandang kepada cantiknya rupa paras, banyaknya harta berkepuk-kepuk tetapi Allah hanyalah memandang kepada amalan dan hati-hati kamu!


Teringat saya kepada insan mulia, harum namanya di langit dan bumi yang namanya tertera di dalam al-Quran, Luqmanul Hakim. Dengan berbibir tebal, kulitnya hitam apalah kelayakannya pada pandangan manusia ramai untuk menghuni syurga andai kecantikan pada pandangan mata manusia dijadikan kayu pengukur, tanda aras untuk memasuki syurga Allah.


Allah yang Maha Hebat telah mengetahui tahap penilaian manusia telah menetap syarat yang tersendiri untuk memasuki syurganya. Usah dicemburui pada mereka yang dianugerahkan kecantikan kerana semua itu adalah nikmat yang dipinjamkan buat sementara cuma. Semuanya akan lebur dan musnah. Tetapi amal soleh, hati yang bertaqwa itulah yang akan kekal kita bawa menuju alam yang kekal abadi.

Tidak usah terpengaruh dengan mereka yang tidak beriman. Sesungguhnya setiap perbuatan yang cuba mengubah ciptaan Allah seperti botox, dan lain-lain kaedah yang ditegah syarak adalah menjanjikan 'hadiah' kehancuran yang bukan sedikit kepada batang tubuh manusia. Maha benarlah larangan-larangan Allah agar manusia tidak mengubah kejadian dirinya melainkan hanya pada bebebapa rukhsah yang disyariatkan seperti mengubah kejadian Allah atas faktor kesihatan yang mana jika tidak diubah akan membawa kemudharatan pada diri.


Pemergian 'Raja Surgery' ini wajar dijadikan iktibar buat mereka yang berhasrat untuk melakukan sepertinya. Saya merenung pemergian beliau dari sisi ini agar diperbanyakkan syukur atas setiap nikmat-Nya. Agar hati ini qanaah dengan setiap kurniaan-Nya dan tidak berkeluh kesah atas pemberian-Nya pada fizikal diri. Setiap larangan dan tegahan Allah kepada umat manusia mempunyai rahsia dan tabir hikmah yang tidak mampu disingkap dengan pemikiran yang dangkal dan pertimbangan fatwa akal semata-mata.

Segeralah kembali kepada Allah kepada yang pernah tersesat memilih jalan!
Antara mazmummah utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah :

1. Pemarah paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak tenang.

2. Pendendam tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung.

3. Hasad dengki - amalanya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan.

Thursday, July 2, 2009

Semuanya Tinggal Kenangan







Terasa bagai semalam saya masih berada di sisi mereka, sama-sama menjadi pengemis ilmu di puncak menara gading. Tidak sedar, dari setahun ke setahun saya telah meninggalkan bumi UiTM hampir dua tahun.

Pilu lekas menikam hati. Rasanya saya ingin nokhtahkan di sini sahaja perjuangan di bumi UiTM ini. Jiwa ini terasa mati untuk kembali menjejakkan kaki ke sana. Teringat teman sebilik yang telah menoreh luka di hati ini.

Terasa perit apabila membayangkan wajah mereka. Saya masih menyimpan kenangan yang pahit-pahit bersama mereka. Saya tidak sekali-kali lupa, mereka halang saya solat dengan sengaja memasang lagu di laptop mereka kuat-kuat tidak kira siang atau malam. Hampir gila saya waktu itu.

Bilik saya empat orang penghuni termasuk saya. Dalam bilik saya tu dua orang masih diploma dan saya serta seorang lagi adalah degree. Semuanya masih adik daripada saya. Cuma saya ini di kira junior sebab baru melanjutkan pengajian ke peringkat degree.
Bilik yang agak selesa untuk belajar, dengan segala keperluan lengkap tersedia.

Hari pertama saya melaporkan diri ke asrama, hanya Allah sahaja yang tahu. Saya agak keberatan menyambung pengajian kali ini kerana mengenangkan ma yang kesihatan sangat merosot mutkhir ini. Saat kaki melangkah masuk ke bilik, letak beg baju. Saya tidaklah hairan sangat melihat seorang berseluar pendek paras peha, seorang hanya memakai baju kecil taraf baju dalam sahaja, dan seorang lagi tengah tidur dengan rambut mengerbang dan berwarna kuning.

Hati sudah mula menghidu ketidakselesaan yang bakal terjadi. Namun saya diamkan sahaja kerana melihat kak Hayat yang bersemangat mengangkut barang-barang saya masuk ke bilik bersama anak-anak buah saya.

Tetapi kak Hayat cerdik, dia sangat maklum hati budi adiknya. Sebelum pergi meninggalkan saya di 'bilik' gersang ini, dia sempat membisikkan kalimah berbisanya.

Bermula dari hari itu, langkah-langkah saya di sini adalah hari-hari malang yang sangat menyeksakan hati dan perasaan saya. Terasa diri lunyai dalam mehnah yang tidak mampu diri menanggungnya.

Roomate saya sangat marah sekiranya saya solat dhuha. Katanya saya menganggu dia menonton cerita Korea pada hati cuti hujung minggu. Mereka hendak santai-santai pada hujung minggu.

"Huh, lamanya solat. Nak tengok cerita Korea tak boleh!". Salah seorang roomate saya mendengus keras. Terganggu solat saya.

"Wei, dia solat apa lagi nih? Subuh buta apa?, seorang lagi mencelah.

Sebaik selesai solat saya jawab mereka,
"Haaa, dah selesai. Bolehlah tengok cerita. Solat dhuha 2 rakaat aje".

Mereka diam sahaja. Saya semacam telah merosakkan mood mereka.

Pernah juga apabila diaorang rasa saya solat lama, cepat mereka kuatkan lagu-lagu rock kat PC diaorang agar saya segera menyudahkan solat saya. Sangat berkesan taktik mereka ini. Saya yang sangat terganggu.

Prestasi saya dalam pelajaran sangat menurun. Mereka ada ketikanya tidak tidur dan akan membuat bising hingga larut malam. Ketawa, bergayut di telefon, dengar lagu-lagu rock, lagu-lagu orang putih dengan kuat sangat menyusahkan saya. Setiap kali mahu belajar dan membuat asignment saya selalu akan tumpang di bilik kawan. Apalah daya saya...

Apa yang sangat menyedihkan saya mereka tidak solat lima waktu. Yang rambut kaler kuning tu tak usah cakap, saya pernah tengok ada love bite di lehernya. Saya cuba ditipunya hidup-hidup katanya main gigit-gigit dengan kawan. Masya Allah. Kalau hendak tipu sekalipun agak-agaklah. Benar-benar terasa diri diperbodoh dan diperbudakkan. Apa hendak jadi dengan mereka.

Inikah manusia yang hendak dibanggakan? Hebat akademiknya tetapi kosong dari sudut nilai dan kemanusiaan? Inilah dia manusia-manusia yang lahir dari sistem sekular. Mereka tidak tahu hakikat diri sebagai hamba. Nikmat-nikmat Tuhan mereka dustakan.

"Ayah saya tidak pernah menyuruh saya sembahyang, kenapa awak yang bukan sesiapa kepada diri saya harus nasihatkn saya? Ayah saya tidka pernah menyuruh kami menutup aurat dan ganti puasa kami,kenapa yang nak bersusah-susah tegur?"

Celarunya jiwa dan fikrah mereka. Hati mereka gersang. Anak-anak sebegini adalah dari benih ayah dan ibu yang tidak pernah tahu menilaikan agama dalam kehidupan mereka sendiri. Apabila begini keadaannya, siapakah yang hendak kita persalahkan?

Seorang ayah yang sangat menyayangi anak perempuan atau inilah ayah yang tidak sayang kepada seluruh ahli keluarganya dengan tidak memlihara mereka dari azab api neraka Allah yang panas menbakar lagi menyala-nyala.

Doa dari saya, hidayah untuk mereka.

Pemandangan Sekitar di Hari Pengumuman Calon Yang Bertanding di Manek Urai







Diharapkan parti yang mendukung kebenaran akan diberi kemenangan. Gambar-gambar di atas adalah gambar yg sempat saya snap sewaktu on the way ke Kuala Lumpur hujung minggu lepas setelah beberapa hari bercuti di kampung, jenguk orang tua.
PANDANGAN KEPADA PEREMPUAN ADA 7 JENIS

1.Melihat perempuan yang bukan mahram tanpa ada keperluan- hukumnya adalah haram sama ada bernafsu atau tidak.

2.Melihat isteri atau hamba perempuan.-boleh melihat semua anggotanya kecuali sabahagian ulama mengatakan makruh melihat bahagian kemaluan,adapun memegangnya (istimta’) adalah sunat.

3.Melihat perempuan yang merupakan mahramnya atau hamba perempuannya yang telah berkahwin dengan lelaki lain.-harus pandang anggota selain antara pusat dan lutut.

4. Melihat kerana ingin berkahwin.-harus pandang muka dan kedua tapak tangan.-melihat perempuan sebelum ade hubungan pertunangan lebih disunatkan dari selepas bertunang.-boleh melihat walaupun tanpa pengetahuan perempuan tersebut.

5. Melihat kerana ingin mengubati.-harus pandang di tempat-tempat yang perlu diperiksa jika tidak ada doktor dari jantina yang sama

6. Pandangan untuk tujuan penyaksian.-seperti dalam proses pengecaman penjenayah

7. Melihat kepada hamba perempuan yang ingin dibeli.-harus melihat tempat-tempat yang dikehendaki kecuali di antara paras pusat dan lutut.

(Nur Kitab:Matan Abi Syuja')

Wednesday, July 1, 2009

Kembara Cinta Berkah Siri I


Walaupun sekarang bukan musim cuti sekolah, tetapi ada juga yang masih mengutuskan kad walimah mereka dan saya juga ada menerima undangan perkahwinan dari kawan-kawan sepejabat.

Tahniah kepada kawan-kawan yang telah dan bakal mendirikan 'masjid'. Sesungguhnya pikullah amanah dalam perkahwinan sebagai satu ibadah dengan penuh kesedaran dan keinsafan bahawa kita adalah hamba.

Jangan kita hakis keberkatan dalam sebuah perkahwinan yang suci dengan mencampurinya dengan perkara-perkara yang haram lagi tidak disukai oleh Allah swt. Terhakisnya keberkatan dalam perkahwinan menjadi punca terlerainya ikatan ijab dan kabul kebanyakan pasangan sekarang. Mendirikan 'masjid' bukan atas dasar ibadah, mendirikan 'masjid' bukan atas satu dasar nawaitu yang suci dan murni.

Sudah jadi trend, kita lihat di televisyen kes-kes penceraian artis-artis tempatan bahkan tidak terkecuali ustaz rock mutakhir ini yang mencetuskan kontroversi yang bukan sedikit kesannya kepada minda masyarakat.

Saya tidaklah ingin mengulas lanjut perihal perceraian yang berlaku dalam negara cuma ingin mencari di mana sebenarnya punca yang menyebabkan begitu mudah berlakunya penceraian sekarang ini walhal ia adalah perkara halal yang sangat dimurkai oleh Allah.

Kalau kita perhatikan, majlis perkahwinan dan persandingan sekarang dipenuhi dgn acara-acara yang tidak sepatutnya ada di dlm sesebuah perkahwinan bagi orang-orang Islam. Masyarakat lebih mementingkan adat daripada pandangan syara' dalam perkara berwalimah ini.

Kita masih tidak lupa acara perkahwinan golongan artis yang dipaparkan di majalah-majalah hiburan dan lebih malang lagi, stesyen TV di negara ini berebut-rebut untuk mendapatkan hak penyiaran eksklusif perkahwinan seseorang artis. Perkahwinan mereka mendapat tajaan dari pelbagai pihak. Tajaan busana pengantin yang indah-indah, barangan hantaran yang cantik dan mewah dan macam-macam lagi yang tidak mampu ditulis di sini.

Tidak cukup dengan itu, mereka mengundang para penyanyi kononnya untuk memeriahkan majlis dan menghiburkan sekalian hadirin yang hadir. Ada pula acara memotong kek yang bersadur emas bertingkat-tingkat, menguar-uarkan wang hantaran perkahwinan yang mahal.

Dalam kecelaruan perkara syubhah yang mula mensamarkan pandangan umum masyarakat hari ini, elok kiranya kita kembali kepada pandangan Allah dan Rasul-Nya yang menyebut tentang perkahwinan ini. Janganlah hanya mengikut adat dan suasana sekarang yang masih belum tentu duduk perkara yang sebenar. Kita nilai dan timbang kembali hal yang berkaitan walimah ini menerusi neraca syariat. Sejauh mana kita telah tersasar dari landasan syariat dalam bab-bab perkahwinan ini (atau kita memang golongan yang tidak kisah tentang perkara ini?).

Walimatul urus adalah walimah untuk pernikahan yang menghalalkan hubungan suami isteri dan perpindahan status kepemilikan.
(Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 724, Darus Sunnah)

Teringat Nabi SAW berkata kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf apabila Nabi mengetahui ‘Abdurrahman baru sahaja bernikah:

“Laksanakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Nah, lihatlah bahawa hanya dengan seekor kambing sudah dikira melaksanakan walimah. Di sini bukanlah maksudnya memudah-mudahkan perkahwinan tetapi Islam tidaklah memberati penganutnya untuk berkahwin itu perlu ada duit yang tebal berkepuk-kepuk tetapi cukuplah diadakan walimah itu sekadar kemampuan suami.

Perkahwinan juga dianjurkan mengundnag tetamu yang soleh dan golongan fakir miskin.

“Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya)...”Hadith Riwayat Bukhari

Kita lihat situasi hari ini, golongan fakir miskin dipinggirkan dan ada ketikanya langsung dilupakan. Siapa yang orang beriya-iya menjemput ialah YB-YB di kawasan mereka, orang ternama, orang-orang kaya di kawasan perumahan mereka. Makanan yang dijamukan sewaktu majlis walimah berlangsung ada kalanya dipenuhi dengan pembaziran.

Seterusya para tetamu yang datang bukan mengucapkan doa pengantin baru (ada yang memang tak tahupun doa pengantin baru), malah mengucapkan Selamat Pengantin Baru ala-ala Orang Putih gitu. Itu adalah ucapan yang tidak disyariatkan oleh agama tetapi itulah ucapannya.

“Perkataan ini biasa diucapkan oleh orang-orang jahiliyyah sehingga ucapan ini dilarang.” (Fathul Bari)

Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki- Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(Surah an-Nuur, 24: 21)

“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Nas di atas jelas menunjukkan betapa kita ditegah dari mengamalkan sesuatu perkataan atau perbuatan yang masdarnya bukan dari ajaran syariat. Tetapi malang sekali kita hari ini, semua perbuatan tidak kita sandarkan atas syariat. Kita main ikut sahaja.

Kemungkaran dan Bid’ah Dalam Perkahwinan

Tokok tambah (bid’ah) yang dimaksudkan di sini adalah apa jua tokok tambah yang dikhususkan di dalam majlis walimah yang pada asalnya menurut timbangan agama tidak disyari’atkan. Aturcara walimah (majlis perkahwinan) adalah sebuah ibadah yang disyari’atkan oleh agama melalui Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Di mana di dalam sebuah hadis disebutkan:

“Sebenar-benar perkataan, adalah Kitabullah (al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, seburuk-buruk perkara adalah apa yang diada-adakan di dalam agama, setiap perkara baru yang diada-adakan di dalam agama adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Ujian Kesakitan Juga Anugerah

Lama saya tak update blog. Bukan kerana disibukkan oleh tugasan kerja yang teramat banyak tetapi saya diuji lagi kali ini.

Sejak mengetahui diri menghidap penyakit itu, saya hilang nikmat tidur lena. Saya hilang nikmat bersusah-susah membuat kerja-kerja rumah. Saya tidak lagi mampu membuat kerja-kerja yang penat. Baru sahaja buat sikit, kepenatannya Tuhan sahaja yang tahu. Khidmat kendiri saya semakin terhad.

Kebelakangan ini juga saya selalu saja MC dan EL. Bangun pada pagi hari untuk bersiap-siap ke pejabat amat menyeksakan. Namun walau terasa tidak mampu, saya tetap gagahkan diri bila membayangkan wajah insan-insan tersayang yang masih mengharapkan saya terus kuat.

Saya akan terus tabah! Sesungguhnya ujian kesakitan ini hanyalah secebis kesakitan yang kecil jika dibandingkan dengan ujian kesakitan dan penderitaan para Rasul terdahulu.

Ada ketikanya, saat bangun di kedinginan subuh yang hening, saya menangis sendirian. Saya kini ditarik nikmat untuk solat berdiri. Kecewa dan sedih di hati ini hanya Allah yang tahu.

Rutin bangun awal menjadi realiti yang sangat memeritkan. Ghalibnya saya akan bangun awal pagi di saat penghuni alam belum bangun, mereka masih hanyut dalam gebar selimut mereka, masih asyik dengan mimpi-mimpi indah. Saya terlalu cenderung dalam uzlah di sepertiga malam.

Namun kini, saya menghantar kepiluan di hati dalam lebat air mata yang tumpah di subuh hari.

Hendaknya hati ini terus sabar dan kuat bertahan. Setiap mukmin itu wajib diuji.

Saya yakin, dalam sakit dan derita pasti ada rahmat yang tersembunyi. Nikmat kesihatan ditarik-Nya, banyak lagi nikmat lain yang terus menerus diberikan tanpa sebarang kekurangan.


Ma dan abah,
jangan berhenti berdoa
semoga anakmu ini terus kuat
Kak Hayat, doakanlah adikmmu ini...
salam rindu dari jauh...

Tuesday, June 23, 2009

Ujian Allah Tidak Akan Berhenti, Sekeping Hati Tabahlah...

Langit kirmizi. Air mata tidak tertahan. Hati dirundung sedih yang teramat. Terasa tempang tubuh, sebahagian daripada diri bagaikan hilang.

Saya tidak mampu menghadapi ujian sendirian. Hanya panggilan telefon kak Hayat dari kejauhan yang memberi semangat untuk terus menguatkan saya. Lemah longlai jiwa ini. Rupanya tanpa sedar, saya banyak menumpang kekuatan dan semangat kak Hayat. Tanpa dirinya rupanya jiwa saya terlalu kecil. Waktu dia mula-mula menjejakkan kaki ke menara gading, hampir saya menangis setiap hari di sekolah kerana terlalu rindu dan ingat pada dia, kakak saya yang selalu menjadi pendengar setia, berkorban segala-gala untuk saya. Cukuplah waktu kecil dia yang selalu bawakan beg sekolah kami, bagi duit beli gula-gula bila kami menangis minta duit dengan mak. Dia rela tidak makan dan membelanjakan duit yang mak dan abah bagi di sekolah supaya dia ada duit untuk beri adik-adik pada petang hari, supaya adik-adik tidak meminta-minta dan menangis.

Mak saya asalnya hanya muntah-muntah dan terasa bisa-bisa dalam tubuh. Saya hanya mengurut dan melumurkan minyak angin pada tubuhnya. Saya sangkakan hanya bisa-bisa biasa.

Saya jarang berhadapan dengan kondisi mak yang sebegini. Kak Hayat yang biasa akan urut dan lumurkan minyak pada mak. Dia yang lebih rapat dengan mak.

Saya dan adik Man yang ada di rumah. Syukurlah adik lelaki saya itu ikut sama membantu saya, terkadang terasa dia ibarat abang saya, kematangannya, dedikasinya, tabah sabarnya, kata-katanya. Dia lebih tabah dan boleh menguruskan makan pakai mak sewaktu sakit. Dia tidak langsung mual setiap kali membasuh muntah mak yang meleleh di tangan dan baju dia. Katanya besar hatinya mak sudi muntah atas tangannya. Katanya, mak tidak pernah mual membasuh berak kencing anak-anak, kenapa pula dia mesti mual.

Sekarang turn saya dan adik Man yang jaga mak.

Namun kali ini, betul-betul saya sendirian akan tangani keadaan mak yang semakin tenat tanpa ada lagi 'tangan' kasih kak Hayat yang turut sama membantu dan menolong seperti selalu. Saya ingat lagi sewaktu mak saya dimasukkan ke hospital sebelum itu, kak Hayat banyak mengorbankan masa tidur serta masa kerja dia untuk jaga mak di hospital. Abah tidak boleh jaga mak kerana dia juga tidak berapa sihat.

Kak Hayat sudah mengorbankan dirinya untuk mak, untuk adik-adiknya. Maka layaklah dia mendapat apa yang dia telah dapat hari ini.

Mak saya disahkan stroke pada mulanya. Saya terbungkam di satu sudut penjuru wad. Saya membatukan diri, telefon abah di pejabat. Saya sendirian bawa mak ke hospital setelah dia muntah-muntah dengan banyak dan secara tiba-tiba. Abah dan abang sampai lewat petang di hospital.

Dalam pukul 4 lebih doktor sekali lagi datang dan 'menyoal siasat' saya tentang mak. Hasilnya bukanlah stroke tetapi tekanan darah tinggi dan kencing manis yang sangat tinggi. Saya akur pada setiap rawatan yang doktor syorkan untuk mengubati bonda tercinta. Mak saya macam orang mamai, bercakap yang bukan-bukan. Dia ibarat di dua alam, antara sedar dan tidak, kenal dan tidak.

Saya agak sedih dan hiba. Mak saya yang saya kenal sabar dan tabah orangnya, kali ini lain sekali. Mak saya kerap juga sesak nafas dan menyebabkan dia gagal menahan diri. Mak saya merintih dan mengadu kesakitan. Saya pujuk mak, sabar mak.....

Melihat keadaan mak yang semakin buruk, setelah lebih 24 hari terlantar di hospital tanpa ada sebarang perubahan positif, akhirnya pada sebuah petang yang bermakna ini, kami sekeluarga terpaksa akur pada takdir Tuhan.

Saya 'rebah' di bahu abah. Kami sekeluarga sugul menerima berita ini. Mak sudah ditukarkan ke Unit Rawatan Rapi pada hari ke-25 kerana langsung tidak boleh bernafas.

Kami terpaksa menerima hakikat bahawa mak yang dicintai perlu melakukan dialisis setiap tiga kali seminggu demi meneruskan kelangsungan hidupnya, kedua-dua buah pinggangnya sudah tidak berfungsi lagi. Allah, beratnya ujian-Mu pada batang tubuh bonda kami itu. Abah seka air mata saya. Saya lihat abah tidak menangis tetapi saya tahu, dia turut berdukacita dan sedih. Dapat saya rasakan kesedihan sedang memberat di dadanya.

Pagi Jumaat yang dingin, mak menjalani dialisis sulungnya. Saya tidak menemaninya. Abang Azhari yang temankan dia. Saya tertidur di katil mak. Sedar-sedar mak sudah tiada di katil. Di situlah kehidupan baru mak bermula.

Hampir seminggu kemudian, setelah menjalani dialisis saya lihat kondisi mak semakin baik. Dia sudah boleh solat di katil hospital dengan saya membantunya ambil wudhu'. Dia sedikit berselera untuk makan. Kak Hayat pulang ke kampung bersama suami dan anak-anak.

Peluk tangis kak Hayat dan mak mengundang hiba di hati saya. Dia memohon maaf tidak dapat pulang sewaktu mak tenat kerana urusan pengajiannya yang tidak boleh ditinggalkan. Tidak mengapalah kakakku sayang.

Saya teringat pesan kak Hayat,

Ujian Allah tidak akan pernah berhenti

sekeping hatimu dik harus selalu tabah

jadilah orang yang berjiwa besar

agar masalah yang besar akan nampak kecil dimatamu nanti!

~selalu merinduimu kakak~

Monday, June 22, 2009

NYALAKAN OBOR TADHIYYAH BUAT UMMAH


Bangkit dan berdirilah,

Susun barisan kekuatan

Barisan dan kekuatan umat.

Canangkan seruan dan ancaman

Seruan kebenaran dan ancaman

Kebinasaan jika menolak atau menentang kebenaran

Sampaikan peringatan ini ke cuping segala insan

Gempitakan kepada dunia dan kepada manusia

Ajaran Tauhid, ajaran cita dan cinta

Puluhan tahun lamanya,

Pendengaran, pergaulan, ketekunan, berjuang

Kerana jerih payah dan pembantingan tulang yang tiada hentinya

Engkau telah kaya dengan pengalaman

Engkau telah memiliki pengertian dan ukuran

Engkau telah turut menentukan jiram sejarah seperti orang lain

Engkau telah sampai pula ke batas sejarah, kini dan nanti

Engkau telah memenuhi hidupmu dengan tekun dan sungguh

Ikut memikul yang berat,

Mejinjing yang ringan,

Membawa batu bata untuk membangun sendu umat ini

Engkau tebus semua itu dengan cucuran keringat dan air mata

Kesengsaraan dan penderitaan…




(As- Shahid Al Imam Hassan Al Banna)

Friday, June 19, 2009

Khabar Sedih Buat Yang Tidak Menutup Aurat

Rasulullah SAW bersabda:


Seorang wanita yang membuka auratnya atau bahkan mengenakan pakaian yang ketat, tidak akan mencium wanginya syurga selama lebih dari 500 tahun!


Waiiyazubillahimin zalik!


Duhai hati yang keras, tidakkah terasa gerun mendengar kalam dari lidah Kekasih-Nya bahawa tidak akan ke syurga apatah lagi untuk mencium harumnya bau syurga bagi wanita yang tidak menutup aurat...


Mengapa didustakan ayat-ayat Allah?


Tidak mahukah kembali kepada fitrah yang suci?
Ibarat anak-anak kecil yang tiada dosa?


Semoga diberikan oleh Allah kepada setiap muslimah itu rasa ingin melakukan ketaatan dan rasa insaf!


(email ini telah saya forwardkan kepada insan-insan tersayang)

Secebis Kisah Silam Yang Indah

Salam Jumaat.

Dalam berkat dan keindahan pagi Jumaat hari ini, hati terdorong untuk rindu kampung halaman.


Apa khabar abah dan mak di kampung? Makan apa pagi ini? Masihkah seperti waktu dulu? Seawal pagi Jumaat yang dingin, abah dan mak akan bangun awal. Sebaik saya bangun pagi, mengesit mata yang masih mengantuk, terdengar abah dan mak membaca quran. (Kalau saya dengar abah dan mak baca Al-Quran tu maknanya saya sudah terlambat untuk bangun menunaikan solat subuh). Pagi Jumaat ibarat hari raya buat mereka. Pagi Jumaat adalah hari ilmu tegas abah kepada anak-anak. Kami akan disuruhnya ke surau sebelah rumah, sudah rutin sejak saya kecil dan sampai saya dewasa hari ini pasti akan ada ustaz yang mengajar. Waktu kecil dulu, seawal pukul 8, jalan besar depan rumah saya kereta agak sunyi. Orang kampung akan memenuhi surau dan sekitar kawasan surau seperti ada acara yang besar sedang berlangsung.


Kalau ada antara kami yang tidak pergi 'mendengar' pasti habis nasib kami hari tu. Berbakul-bakullah tazkirah dan muhasabah yang kami dapat pada hari itu, naik tebal telinga. Untung nasib dapatlah makan, biasanya abah akan 'potong' makan pagi kami sekiranya lewat solat subuh dan tidak pergi 'mendengar'. Kata abah, orang yang meninggalkan solat tidak wajar diberi makan sebab nasi akan menyumpah-nyumpah orang yang makan rezeki Allah tetapi tidak tunduk dan patuh melakukan suruhan Allah. Seperti juga bumi Allah ini, akan menyumpah dan marah kepada orang yang tidak solat berjalan di atas permukaannya. Abah kata carilah bumi yang lain kalau tidak mahu solat atau tidak mahu patuh pada suruhan Allah sebab bumi ini Allah ciptakan untuk manusia soleh melakukan ketaatan kepada-Nya. Abah dan mak tegas dalam soal tarbiyyah anak-anak. Tidak mereka manjakan kami. Tiada sebarang kompromi!.


Pagi Jumaat menjadi hari indah dalam hidup saya waktu di kampung dahulu. Kini jauh perjalanan saya merantau hidup di rimba batu ini, saya terasa jauh dari bauan harum minyak atar abah pada hari Jumaat, jubah dan serbannya, lama sudah saya tidak melihat tampang tubuh kecil abah di potong kukunya oleh kak Hayat (kakak saya yang kedua). Rindu ingin melihat lagi kelibat Abang Azhari (abang sulung saya) memotong rambut adik-adiknya Abang Is, Adik Man, Adik Hafizd. Kini Abang Is jauh berkelana di Kudat, kak Hayat di Ipoh, saya di Kuala Lumpur, Adik Man dan Adik Hafizd di asrama.


Masa yang telah luput tidak mungkin dapat diundur. Yang ada cumalah kenangan yang kekal segar di ingatan ini! Hari Jumaat mak masak istimewa, maklumlah hari-hari biasa abah kerja, anak-anak sekolah. Jadi sempena berkah Jumaat, mak selalu masak istimewa. Paling tidak tom yam istimewa kegemaran abah atau laksa kampung.

Abah akan semak kerja sekolah. Abang Is selalu kena marah dengan abah. Dia payah hendak reti English. Kak Hayat pun dah naik letih ngajar dia buat homework English. Saya pula asyik kena marah bab Nahu Soraf. Sudahnya kak Hayat yang buatkan karangan untuk maddah Insya' saya waktu di Maahad dulu. Satu lagi maddah yang saya payah nak hadam ialah Adab Nusus, kena hafal bait-bait syair Arab. Ingat lagi, ustazah Wan Norehan cakap kat kelas karangan Insya' saya paling baik. Saya apa lagi, bangga la. Padahal, orang lain yang bersusah payah, saya yang dapat nama. Saya tak cakap pun dengan kak Hayat, nanti dia bangga pula, hehehe.


Satu lagi rutin abah, minat dan kecintaannya pada buku dan hobinya membaca. Petang Jumaat abah sekitar pukul 3 petang, sementara menantikan solat asar, dia tidak pernah miss membaca buku. Bukan sahaja buku-buku ilmiah, malah satu lagi kegemarannya ialah membaca majalah Reader's Digest. Banyak kat rumah sampai kadang-kadang tanpa pengetahuan abah, saya dan kak Hayat bawa pergi ke pusat kitar semula, hihihi. Maafkan kami abah.....Selalu dia ulitkan saya waktu kecil-kecil dahulu sambil bacakan untuk saya Kisah 25 Nabi. Saya ingat lagi buku tu yang kulitnya berwarna purple. Demi Allah, sewaktu bersekolah saya lebih banyak ingat kisah-kisah nabi melalui cerita yang dibacakan abah daripada kisah yang disampaikan oleh ustaz dan ustazah di sekolah. Lama sudah saya tak tengok buku itu, entah di mana saya dan kak Hayat simpan, saya pun sudah lupa.


Mak saya tegas orangnya. Dahulu, saya takut dengan mak. Saya takut kalau mak marah. Abah lebih lembut orangnya. Namun hari ini, baru saya faham hakikat ketegasan mak dan abah. Akhirnya lahirlah insan-insan hebat seperti kak Hayat dan Abang Is. Saya gagal ikut jejak, qudwah hasanah yang kak Hayat dan Abang Is tinggalkan.


Beberapa tahun berlalu, hari ini suasananya sangat berbeza. Abang Azhari sedang bergelut melawan sakitnya. Saya doakan keafiatan Abang Azhari. Syafakallahu 'ajilah. Kami sayang abang...semoga cepat sembuh. Saya menghantar doa dan rindu dalam lebat air mata yang menitis. Segeralah sembuh, abang kuat, ingat lagi tak abang janji nak bawa adik-adik abang ronda-ronda nanti dah sihat? Hendak belanja kami makan burger kegemaran abang, ingat lagi tak? Ketahuilah kami dari kejauhan selalu mendoakan kesihatan abang.


Begitu juga mak. Kini dia bukan lagi seperti dulu. Tubuhnya telah dimamah waktu. waktu sihat dan mudanya telah digunakan sungguh-sungguh untuk membesarkan anak-anak. Mak saya kini terpaksa menjalani rawatan dialisis 3 kali seminggu. Ingat lagi waktu mak mula-mula kena dialisis, rutin abah dan mak sedikit berubah. Kami waktu itu sedikit sukar menerima keadaan baru itu. Kami terasa asing dan sedih dengan ujian yang menimpa.


Tapi berkat kesabaran,sokongan dan doa abah yang setia itu akhirnya segala kesusahan kami diberi jalan keluar. Kata abah pada mak (saya terdengar mak dan abah bercakap-cakap pada suatu malam), "sabar, redha, ikhlaskan hati. Terima dengan tangan terbuka ujian sakit ini kerana ianya juga rahmat dari Allah. Ada dosa yang Dia hendak hapuskan, ada kebaikan yang Dia hendak berikan. Kalau ma sabar, Allah angkat martabat ma di sisi-Nya!"


Allah, itulah kalam azimat abah menasihati isteri tercinta yang hatinya dirundung sedih. Abah dan mak, kalianlah masdarul quwwah hati ini. Kalian pemilik redha dan kasih Ilahi atas semua kesababaran yang kalian miliki. Kalian bukanlah seorang pembesar negara, kalian bukanlah pemilik harta bergudang-gudang, kalian bukanlah orang hebat-hebat yang boleh dibanggakan pencapaiannya tetapi, bak kata abah biarlah seisi alam tidak mengenali kita tetapi biarlah malaikat kenal nama kita, Rasullullah saw akan syafaatkan kita dan Allah mengaku kita hamba-Nya dan kekasih-Nya.


Hidup adalah pengabdian diri yang tuntas kepada kerajaan Allah swt yang maha hebat. Tiap-tiap bisa kesakitan yang telah kalian rasakan selama hidup di dunia ini, biarlah Allah membelinya dengan kenikmatan Jannatul 'Adnin-Nya.


Sedih dan rindu mengenangkan insan tersayang di kampung. Lama tidak bersua muka, namun hati tidak pernah lupa. Salam kerinduan di kejauhan dari anakmu.


Tidak dilupakan arwah kakak tersayang Nik Nor Hasyimah, semoga bahagia di sisi Tuhan. Kita sekeluarga akan kembali dipertemukan di syurga Allah suatu ketika nanti. Nantikan kami di sana...Al fatihah.