Wednesday, January 21, 2009

Sepiku Bersebab

Lama saya menyepi dari mengunjungi blog.Saya diletihkan oleh tugasan harian yang entah ke mana saya laburkan.Hari ini saya panas hati,panas dengan berita yang saya dengar dalam Buletin Pagi TV3.Pelajar sekolah pondok yang memilih dipenjara dua hari atas kesalahan memakai serban ketika menunggang motosikal ke sekolah.Dia memilih dipenjara dua hari dari membayar saman.Itulah harga sebuah serban sunnah Rasul junjungan yang dijadikan pakaian formal pak-pak imam di masjid-masjid.Dia disaman kerana tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.

Semoga Allah merahmati beliau.Ikhtilaf yang telah berlaku di akhir zaman ini makin menyukarkan hati masyarakat untuk mengenal mana satu yang hak dan mana satu yang batil.Kisah ini mengingatkan saya akan satu kisah yang saya baca mengenai seorang pemuda yang bekerja di Carrefour.Dia diberhentikan kerja semata-mata kerana beliau mempertahankan agamanya dari dipersendakan di hadapan khalayak.Seperti juga pemain bola sepak negara Arab yang diberikan kad amaran oleh pengadil kerana mempamerkan t-shirt putih di sebalik jersinya yang tertulis 'Simpati Untuk Gaza'.

Akhir zaman ini kabus yang sirna meliputi kebenaran.Semuanya kabur dan menjadi tidak jelas pada pandangan mata hati umat.



"Pengaduan Kepada Tuhan"

Tuhan Kau telah memberitahu kami
Tentang peristiwa akhir zaman
Peristiwa di zaman kami ini
Melalui lidah NabiMu

Di zaman ini ikhtilaf banyak terjadi
Firqah sesat tujuh puluh dua banyaknya
AlQuran dijadikan barangan dagangan
Isinya sudah tidak dihiraukan

Tuhan kekasihMu memberitahu
Dunia dijadikan barang yang diburu
Muslimin diseksa dan dihina
Oleh tangan-tangan kafir durjana

Tuhan NabiMu terus bermadah
Ilmu Akhirat ditinggalkan orang
Ilmu dunia dijadikan rebutan
Perempuan-perempuan dijadikan hiasan

Rumah-rumah syaitan penuh riang
Rumah-rumah Tuhan kosong dan lengang

Tuhan yang paling menakutkan
NabiMu pernah bersabda
Di akhir zaman yang paling jahat
'Ulama yang memandang dunia
Tabi'atnya busuk bak bau bangkai
Siapa tercium kan mati jiwanya

Tuhan NabiMu menyambung lagi
Terhadap peristiwa akhir zaman
Perempuan hilang malunya
Anak tidak hormati ibu bapa
Bahkan keduanya dijadikan kuli
Atau sudah tidak dipeduli

Tuhan penutup kata kami ceritakan
Dari lidah Nabi kekasihMu
Rezeki yang halal susah dicari
Ibarat mencari berlian berharga
Tuhan kekasihMu menjanjikan
Kedatangan mujaddid baru

Muslimin nasibnya akan terbela
Rumah-rumah Tuhan penuh riang
Rumah-rumah syaitan akan musnah
Perempuan-perempuan akan dilindungi
Anak-anak soleh dan solehah
Kebenaran kan pasti terbukti