Tuesday, June 23, 2009

Ujian Allah Tidak Akan Berhenti, Sekeping Hati Tabahlah...

Langit kirmizi. Air mata tidak tertahan. Hati dirundung sedih yang teramat. Terasa tempang tubuh, sebahagian daripada diri bagaikan hilang.

Saya tidak mampu menghadapi ujian sendirian. Hanya panggilan telefon kak Hayat dari kejauhan yang memberi semangat untuk terus menguatkan saya. Lemah longlai jiwa ini. Rupanya tanpa sedar, saya banyak menumpang kekuatan dan semangat kak Hayat. Tanpa dirinya rupanya jiwa saya terlalu kecil. Waktu dia mula-mula menjejakkan kaki ke menara gading, hampir saya menangis setiap hari di sekolah kerana terlalu rindu dan ingat pada dia, kakak saya yang selalu menjadi pendengar setia, berkorban segala-gala untuk saya. Cukuplah waktu kecil dia yang selalu bawakan beg sekolah kami, bagi duit beli gula-gula bila kami menangis minta duit dengan mak. Dia rela tidak makan dan membelanjakan duit yang mak dan abah bagi di sekolah supaya dia ada duit untuk beri adik-adik pada petang hari, supaya adik-adik tidak meminta-minta dan menangis.

Mak saya asalnya hanya muntah-muntah dan terasa bisa-bisa dalam tubuh. Saya hanya mengurut dan melumurkan minyak angin pada tubuhnya. Saya sangkakan hanya bisa-bisa biasa.

Saya jarang berhadapan dengan kondisi mak yang sebegini. Kak Hayat yang biasa akan urut dan lumurkan minyak pada mak. Dia yang lebih rapat dengan mak.

Saya dan adik Man yang ada di rumah. Syukurlah adik lelaki saya itu ikut sama membantu saya, terkadang terasa dia ibarat abang saya, kematangannya, dedikasinya, tabah sabarnya, kata-katanya. Dia lebih tabah dan boleh menguruskan makan pakai mak sewaktu sakit. Dia tidak langsung mual setiap kali membasuh muntah mak yang meleleh di tangan dan baju dia. Katanya besar hatinya mak sudi muntah atas tangannya. Katanya, mak tidak pernah mual membasuh berak kencing anak-anak, kenapa pula dia mesti mual.

Sekarang turn saya dan adik Man yang jaga mak.

Namun kali ini, betul-betul saya sendirian akan tangani keadaan mak yang semakin tenat tanpa ada lagi 'tangan' kasih kak Hayat yang turut sama membantu dan menolong seperti selalu. Saya ingat lagi sewaktu mak saya dimasukkan ke hospital sebelum itu, kak Hayat banyak mengorbankan masa tidur serta masa kerja dia untuk jaga mak di hospital. Abah tidak boleh jaga mak kerana dia juga tidak berapa sihat.

Kak Hayat sudah mengorbankan dirinya untuk mak, untuk adik-adiknya. Maka layaklah dia mendapat apa yang dia telah dapat hari ini.

Mak saya disahkan stroke pada mulanya. Saya terbungkam di satu sudut penjuru wad. Saya membatukan diri, telefon abah di pejabat. Saya sendirian bawa mak ke hospital setelah dia muntah-muntah dengan banyak dan secara tiba-tiba. Abah dan abang sampai lewat petang di hospital.

Dalam pukul 4 lebih doktor sekali lagi datang dan 'menyoal siasat' saya tentang mak. Hasilnya bukanlah stroke tetapi tekanan darah tinggi dan kencing manis yang sangat tinggi. Saya akur pada setiap rawatan yang doktor syorkan untuk mengubati bonda tercinta. Mak saya macam orang mamai, bercakap yang bukan-bukan. Dia ibarat di dua alam, antara sedar dan tidak, kenal dan tidak.

Saya agak sedih dan hiba. Mak saya yang saya kenal sabar dan tabah orangnya, kali ini lain sekali. Mak saya kerap juga sesak nafas dan menyebabkan dia gagal menahan diri. Mak saya merintih dan mengadu kesakitan. Saya pujuk mak, sabar mak.....

Melihat keadaan mak yang semakin buruk, setelah lebih 24 hari terlantar di hospital tanpa ada sebarang perubahan positif, akhirnya pada sebuah petang yang bermakna ini, kami sekeluarga terpaksa akur pada takdir Tuhan.

Saya 'rebah' di bahu abah. Kami sekeluarga sugul menerima berita ini. Mak sudah ditukarkan ke Unit Rawatan Rapi pada hari ke-25 kerana langsung tidak boleh bernafas.

Kami terpaksa menerima hakikat bahawa mak yang dicintai perlu melakukan dialisis setiap tiga kali seminggu demi meneruskan kelangsungan hidupnya, kedua-dua buah pinggangnya sudah tidak berfungsi lagi. Allah, beratnya ujian-Mu pada batang tubuh bonda kami itu. Abah seka air mata saya. Saya lihat abah tidak menangis tetapi saya tahu, dia turut berdukacita dan sedih. Dapat saya rasakan kesedihan sedang memberat di dadanya.

Pagi Jumaat yang dingin, mak menjalani dialisis sulungnya. Saya tidak menemaninya. Abang Azhari yang temankan dia. Saya tertidur di katil mak. Sedar-sedar mak sudah tiada di katil. Di situlah kehidupan baru mak bermula.

Hampir seminggu kemudian, setelah menjalani dialisis saya lihat kondisi mak semakin baik. Dia sudah boleh solat di katil hospital dengan saya membantunya ambil wudhu'. Dia sedikit berselera untuk makan. Kak Hayat pulang ke kampung bersama suami dan anak-anak.

Peluk tangis kak Hayat dan mak mengundang hiba di hati saya. Dia memohon maaf tidak dapat pulang sewaktu mak tenat kerana urusan pengajiannya yang tidak boleh ditinggalkan. Tidak mengapalah kakakku sayang.

Saya teringat pesan kak Hayat,

Ujian Allah tidak akan pernah berhenti

sekeping hatimu dik harus selalu tabah

jadilah orang yang berjiwa besar

agar masalah yang besar akan nampak kecil dimatamu nanti!

~selalu merinduimu kakak~

Monday, June 22, 2009

NYALAKAN OBOR TADHIYYAH BUAT UMMAH


Bangkit dan berdirilah,

Susun barisan kekuatan

Barisan dan kekuatan umat.

Canangkan seruan dan ancaman

Seruan kebenaran dan ancaman

Kebinasaan jika menolak atau menentang kebenaran

Sampaikan peringatan ini ke cuping segala insan

Gempitakan kepada dunia dan kepada manusia

Ajaran Tauhid, ajaran cita dan cinta

Puluhan tahun lamanya,

Pendengaran, pergaulan, ketekunan, berjuang

Kerana jerih payah dan pembantingan tulang yang tiada hentinya

Engkau telah kaya dengan pengalaman

Engkau telah memiliki pengertian dan ukuran

Engkau telah turut menentukan jiram sejarah seperti orang lain

Engkau telah sampai pula ke batas sejarah, kini dan nanti

Engkau telah memenuhi hidupmu dengan tekun dan sungguh

Ikut memikul yang berat,

Mejinjing yang ringan,

Membawa batu bata untuk membangun sendu umat ini

Engkau tebus semua itu dengan cucuran keringat dan air mata

Kesengsaraan dan penderitaan…




(As- Shahid Al Imam Hassan Al Banna)

Friday, June 19, 2009

Khabar Sedih Buat Yang Tidak Menutup Aurat

Rasulullah SAW bersabda:


Seorang wanita yang membuka auratnya atau bahkan mengenakan pakaian yang ketat, tidak akan mencium wanginya syurga selama lebih dari 500 tahun!


Waiiyazubillahimin zalik!


Duhai hati yang keras, tidakkah terasa gerun mendengar kalam dari lidah Kekasih-Nya bahawa tidak akan ke syurga apatah lagi untuk mencium harumnya bau syurga bagi wanita yang tidak menutup aurat...


Mengapa didustakan ayat-ayat Allah?


Tidak mahukah kembali kepada fitrah yang suci?
Ibarat anak-anak kecil yang tiada dosa?


Semoga diberikan oleh Allah kepada setiap muslimah itu rasa ingin melakukan ketaatan dan rasa insaf!


(email ini telah saya forwardkan kepada insan-insan tersayang)

Secebis Kisah Silam Yang Indah

Salam Jumaat.

Dalam berkat dan keindahan pagi Jumaat hari ini, hati terdorong untuk rindu kampung halaman.


Apa khabar abah dan mak di kampung? Makan apa pagi ini? Masihkah seperti waktu dulu? Seawal pagi Jumaat yang dingin, abah dan mak akan bangun awal. Sebaik saya bangun pagi, mengesit mata yang masih mengantuk, terdengar abah dan mak membaca quran. (Kalau saya dengar abah dan mak baca Al-Quran tu maknanya saya sudah terlambat untuk bangun menunaikan solat subuh). Pagi Jumaat ibarat hari raya buat mereka. Pagi Jumaat adalah hari ilmu tegas abah kepada anak-anak. Kami akan disuruhnya ke surau sebelah rumah, sudah rutin sejak saya kecil dan sampai saya dewasa hari ini pasti akan ada ustaz yang mengajar. Waktu kecil dulu, seawal pukul 8, jalan besar depan rumah saya kereta agak sunyi. Orang kampung akan memenuhi surau dan sekitar kawasan surau seperti ada acara yang besar sedang berlangsung.


Kalau ada antara kami yang tidak pergi 'mendengar' pasti habis nasib kami hari tu. Berbakul-bakullah tazkirah dan muhasabah yang kami dapat pada hari itu, naik tebal telinga. Untung nasib dapatlah makan, biasanya abah akan 'potong' makan pagi kami sekiranya lewat solat subuh dan tidak pergi 'mendengar'. Kata abah, orang yang meninggalkan solat tidak wajar diberi makan sebab nasi akan menyumpah-nyumpah orang yang makan rezeki Allah tetapi tidak tunduk dan patuh melakukan suruhan Allah. Seperti juga bumi Allah ini, akan menyumpah dan marah kepada orang yang tidak solat berjalan di atas permukaannya. Abah kata carilah bumi yang lain kalau tidak mahu solat atau tidak mahu patuh pada suruhan Allah sebab bumi ini Allah ciptakan untuk manusia soleh melakukan ketaatan kepada-Nya. Abah dan mak tegas dalam soal tarbiyyah anak-anak. Tidak mereka manjakan kami. Tiada sebarang kompromi!.


Pagi Jumaat menjadi hari indah dalam hidup saya waktu di kampung dahulu. Kini jauh perjalanan saya merantau hidup di rimba batu ini, saya terasa jauh dari bauan harum minyak atar abah pada hari Jumaat, jubah dan serbannya, lama sudah saya tidak melihat tampang tubuh kecil abah di potong kukunya oleh kak Hayat (kakak saya yang kedua). Rindu ingin melihat lagi kelibat Abang Azhari (abang sulung saya) memotong rambut adik-adiknya Abang Is, Adik Man, Adik Hafizd. Kini Abang Is jauh berkelana di Kudat, kak Hayat di Ipoh, saya di Kuala Lumpur, Adik Man dan Adik Hafizd di asrama.


Masa yang telah luput tidak mungkin dapat diundur. Yang ada cumalah kenangan yang kekal segar di ingatan ini! Hari Jumaat mak masak istimewa, maklumlah hari-hari biasa abah kerja, anak-anak sekolah. Jadi sempena berkah Jumaat, mak selalu masak istimewa. Paling tidak tom yam istimewa kegemaran abah atau laksa kampung.

Abah akan semak kerja sekolah. Abang Is selalu kena marah dengan abah. Dia payah hendak reti English. Kak Hayat pun dah naik letih ngajar dia buat homework English. Saya pula asyik kena marah bab Nahu Soraf. Sudahnya kak Hayat yang buatkan karangan untuk maddah Insya' saya waktu di Maahad dulu. Satu lagi maddah yang saya payah nak hadam ialah Adab Nusus, kena hafal bait-bait syair Arab. Ingat lagi, ustazah Wan Norehan cakap kat kelas karangan Insya' saya paling baik. Saya apa lagi, bangga la. Padahal, orang lain yang bersusah payah, saya yang dapat nama. Saya tak cakap pun dengan kak Hayat, nanti dia bangga pula, hehehe.


Satu lagi rutin abah, minat dan kecintaannya pada buku dan hobinya membaca. Petang Jumaat abah sekitar pukul 3 petang, sementara menantikan solat asar, dia tidak pernah miss membaca buku. Bukan sahaja buku-buku ilmiah, malah satu lagi kegemarannya ialah membaca majalah Reader's Digest. Banyak kat rumah sampai kadang-kadang tanpa pengetahuan abah, saya dan kak Hayat bawa pergi ke pusat kitar semula, hihihi. Maafkan kami abah.....Selalu dia ulitkan saya waktu kecil-kecil dahulu sambil bacakan untuk saya Kisah 25 Nabi. Saya ingat lagi buku tu yang kulitnya berwarna purple. Demi Allah, sewaktu bersekolah saya lebih banyak ingat kisah-kisah nabi melalui cerita yang dibacakan abah daripada kisah yang disampaikan oleh ustaz dan ustazah di sekolah. Lama sudah saya tak tengok buku itu, entah di mana saya dan kak Hayat simpan, saya pun sudah lupa.


Mak saya tegas orangnya. Dahulu, saya takut dengan mak. Saya takut kalau mak marah. Abah lebih lembut orangnya. Namun hari ini, baru saya faham hakikat ketegasan mak dan abah. Akhirnya lahirlah insan-insan hebat seperti kak Hayat dan Abang Is. Saya gagal ikut jejak, qudwah hasanah yang kak Hayat dan Abang Is tinggalkan.


Beberapa tahun berlalu, hari ini suasananya sangat berbeza. Abang Azhari sedang bergelut melawan sakitnya. Saya doakan keafiatan Abang Azhari. Syafakallahu 'ajilah. Kami sayang abang...semoga cepat sembuh. Saya menghantar doa dan rindu dalam lebat air mata yang menitis. Segeralah sembuh, abang kuat, ingat lagi tak abang janji nak bawa adik-adik abang ronda-ronda nanti dah sihat? Hendak belanja kami makan burger kegemaran abang, ingat lagi tak? Ketahuilah kami dari kejauhan selalu mendoakan kesihatan abang.


Begitu juga mak. Kini dia bukan lagi seperti dulu. Tubuhnya telah dimamah waktu. waktu sihat dan mudanya telah digunakan sungguh-sungguh untuk membesarkan anak-anak. Mak saya kini terpaksa menjalani rawatan dialisis 3 kali seminggu. Ingat lagi waktu mak mula-mula kena dialisis, rutin abah dan mak sedikit berubah. Kami waktu itu sedikit sukar menerima keadaan baru itu. Kami terasa asing dan sedih dengan ujian yang menimpa.


Tapi berkat kesabaran,sokongan dan doa abah yang setia itu akhirnya segala kesusahan kami diberi jalan keluar. Kata abah pada mak (saya terdengar mak dan abah bercakap-cakap pada suatu malam), "sabar, redha, ikhlaskan hati. Terima dengan tangan terbuka ujian sakit ini kerana ianya juga rahmat dari Allah. Ada dosa yang Dia hendak hapuskan, ada kebaikan yang Dia hendak berikan. Kalau ma sabar, Allah angkat martabat ma di sisi-Nya!"


Allah, itulah kalam azimat abah menasihati isteri tercinta yang hatinya dirundung sedih. Abah dan mak, kalianlah masdarul quwwah hati ini. Kalian pemilik redha dan kasih Ilahi atas semua kesababaran yang kalian miliki. Kalian bukanlah seorang pembesar negara, kalian bukanlah pemilik harta bergudang-gudang, kalian bukanlah orang hebat-hebat yang boleh dibanggakan pencapaiannya tetapi, bak kata abah biarlah seisi alam tidak mengenali kita tetapi biarlah malaikat kenal nama kita, Rasullullah saw akan syafaatkan kita dan Allah mengaku kita hamba-Nya dan kekasih-Nya.


Hidup adalah pengabdian diri yang tuntas kepada kerajaan Allah swt yang maha hebat. Tiap-tiap bisa kesakitan yang telah kalian rasakan selama hidup di dunia ini, biarlah Allah membelinya dengan kenikmatan Jannatul 'Adnin-Nya.


Sedih dan rindu mengenangkan insan tersayang di kampung. Lama tidak bersua muka, namun hati tidak pernah lupa. Salam kerinduan di kejauhan dari anakmu.


Tidak dilupakan arwah kakak tersayang Nik Nor Hasyimah, semoga bahagia di sisi Tuhan. Kita sekeluarga akan kembali dipertemukan di syurga Allah suatu ketika nanti. Nantikan kami di sana...Al fatihah.

Thursday, June 18, 2009

Manusia Terlalu Sombong!

Manusia terlalu sombong!

Sedangkan gunung yang tinggi lagi gagah binaannya tidak pernah alpa bertahmid,

Sedangkan haiwan di hutan,haiwan di lautan selalu menyebut mengingati Tuhannya,

Sedangkan tumbuhan yang melata di bumi juga bertasbih memuji Tuhan

Setiap makhluk yang dicipta-Nya berkhidmat memberi manfaat buat manusia

Mereka tidak melupakan Tuhan

Binatang adalah makhluk ciptaan Tuhan yang tidka diberikan akal lagikan tahu bersyukur dan mengingati Tuhan

Tetapi

Manusia,

makhluk istimewa

dianugerahkan akal

mampu menimbang mana yang baik dan buruk

selalu leka dan apla

nikmat Allah mereka kufuri

apatah lagi mahu mengingati

malah bersikap melampaui batas

mendustakan ayat-ayat Allah

melakukan kemaksiatan

menumpahkan darah

merosakkan alam

ibarat hidup tidak berTuhan

Semoga Tuhan tidak menghukum manusia dengan balasan yang tidak mampu manusia depani

Janji balasan azab-Nya amat pedih buat umat manusia yang lupa jalan untuk pulang!

Marilah kembali menumpang teduh di pangkuan Ilahi
dalam kembara mencari cinta-Nya!

Tuhan... Bekalkan Mereka Ketabahan

Dalam ziarah saya ke blog-blog sahabat sehari dua ini,banyak yang dapat saya kutip sebagai bekal merentasi lorong kehidupan di dunia fana ini.

Ada iring titis air mata yang mengundang hiba,ada semangat membara buat memcari 'ubat' kepada penyakit ummah yang kian tenat.Paling mengesankan di hati ni ziarah di blog seorang mukminah yang suaminya masih di tahan di ISA.Sewaktu membaca kisah Ustaz Nik Abduh tentang kekandanya yang pernah di tahan di ISA,hati sungguh hiba.Tiada kata-kata yang mampu saya lafazkan.

Ujian Allah yang maha hebat kepada iman mereka.Ujian yang akan mengangkat martabat dan darjat mereka di sisi Tuhan mereka.Namun kesedihan tidak dapat dibendung dari hati ini.Ujian Allah mengundang iring air mata duka,hati yang terluka,hati yang hancur luluh.

Di tangan kita yang ditimpa ujian,tidak ada apa-apa.Dengan tangan kosong menyambut ujian itu sekadar iman yang ada di hati.Allah,tabahkan hati-hati mereka.Engkau tahu mereka tabah,Engkau tahu mereka mampu....

Harap janji-janji manis-Mu Tuhan akan mengembalikan tawa ceria mereka yang telah lama lenyap bersama harapan dan impian mereka yang kian kusam di mamah waktu, kian memburuk di telan masa dan detik yang berlalu.

Saya menitiskan air mata hiba,menumpang kesedihan yang berkumpul dalam dada mereka.Berat mata memandang,berat lagi bahu yang memikul beban.Pasti ada kesudahan yang baik untuk mereka,kalau tidak di dunia fana ini,biarlah di akhirat nanti.

Tatkala melihat orang mempunyai ayah,menghantar ke sekolah dsb mereka hanya ada ibu.Bertahun jeriji besi memisahkan kasih antara mereka.Apakah benar yang ditangkap itu membahayakan negara?

Allahu waliyyuna!Ada ketikanya kesedihan di hati ini tidak mampu menanggung ujian berat yang Allah timpakan.Namun janji manis Tuhan bahawa dalam tiap ujian ada rahmat yang tersembunyi sebagai penenang jiwa,cukuplah,memadailah.

Bersabarlah kerana sabar itu indah.Satu ketika akan tiba masanya,Allah akan makbulkan doa-doa yang kita pohon.Sehebat dan sekuat mana kuasa manusia tiadalah mampu mengatasi tadbir dan kekuasaan Allah yang maha hebat.Kuasa manusia yang tiada hebat itu akan tumpas mudah di tangan Allah.Manusia yang berkuasa tanpa agama adalah manusia yang terlalu mudah untuk ditumpaskan!Jiwa mereka lemah.Allah telah mencabut rasa takut dalam diri musuh kepada kekuasaan dan keperkasaan mereka.

Yakinlah wahai isteri dan keluarga pejuang,apabila kita menjaga Allah maka Allah yang menjadi 'wali' kita.Usah takut,usah gentar!Yakinilah bahawa kuasa Allah adalah kausa terhebat yang padanya tidak ada yang mampu menandingi.

Kerajaan yang zalim akan tumpas jua dengan izin dan rahmat Allah.Ujian kemenangan dan kekuasaaan buat mereka tiadalah hebat melainkan hanya nikmat sementara yang Allah hanya dengan kadar sekelip mata mampu tewaskan!

Tiadalah ujian Allah buat mukmin yang beriman tiap satunya melainkan sebagai ujian dan cubaan untuk menguji tingkat dan darjah keimanan dan keyakinan mereka kepada Allah yang mana setiap kesabaran mereka adalah berpahala di sisi Allah dan sebagai penghapusan dosa-dosa mereka!

Usah kesal,usah berduka!Janji-janji-Nya pasti akan menjadi kenyataan yang paling manis buat yang beriman.

Kehidupan dunia tiada lain sebagai penjara buat mukmin kerana Allah akan memberi kebebasan nikmat syurga buat mereka yang tiada banding dengan nikmat dunia yang pada Allah tidak berharga.

Selalulah mengingati Allah,bersabarlah.Mudah-mudahan jiwamu akan tenang!

Salam perjuangan dari diriku insan yang kembali tersedar dari lorong kelam!

Sekalung Al Fatihah Buat Yang Telah Pergi


Sudah resam dunia,setiap yang bernyawa pasti akan kembali pada Pencipta-Nya, Allah SWT. Kepulangan ke rahmatullah seorang pelajar Malaysia di Mesir Mohamad Ammar bin Zulkifli akibat kemalangan jalan raya di sana tetap memberi kesan iktibar dan insaf dalam hati-hati insan yang mahu mengambil pengajaran dan peringatan dari Allah SWT. Saya mendengar berita itu lewat di kaca televisyen.
Untuk cerita lanjut bolehlah ke sini http://criestz.blogspot.com/
Selamat pulang di sisi Tuhan duhai mujahid muda. Para malaikat di langit dan bumi menyebut-nyebut namamu.Harum namamu sebagai pejuang!

Al fatihah.

Tuesday, June 9, 2009

Nasyid Yang Dicari

Dalam tangis ada bahagia
Dalam tawa ada derita
Dalam dingin air mata ada rahmat dari yang esa

Dalam samar di malam hari
Dalam syahdu di kala sunyi
Rindu ku tak tertahan lagi
Air mata tertumpah jua
Ku genggam tangan di dlm hati
Penuh pasrah pada Ilahi

Oh Tuhan tolonglah
Sambutlah tangan ku ini
Tiada lagi yang ku pinta
Selain rahmat dalam redha-Mu
Agar nanti air mata jadi permata

Perkara-perkara yang hilang dari Umat Islam secara khusus, antaranya ialah:

HILANG NYA:


Keadilan dari pemimpin atau pemerintah dan juga kasih sayangnya.

Sifat berani daripada alim ulama juga kasih sayang dan nasihat nasihatnya serta sifat zuhudnya.

Sifat malu daripada kaum wanita

Sifat sabar daripada fakir miskin

Sifat pemurah daripada orang kaya

Sifat tawadhuk daripada golongan atasan

Ilmu pengetahuan daripada ahli ibadah

Sifat lemah lembut dan kebijaksanaan daripada pejuang Islam

Sifat bijakasana dan lemah lembut daripada para pendakwah

Rasa khusuk dalam solat

Sifat amanah daripada orang yang diberi tanggung jawab

Perkara perkara yang hilang dari Umat Islam secara umum, antaranya ialah:

HILANG NYA:

Ilmu pengetahuan

Kepimpinan bertaraf empayar atau sejagat

Akhlak dan budi pekerti yang mulia

Ukhwah dan kasih sayang

Rasa sifat cemburu terhadap agama dan terhadap wanita

Perpaduan dan kesatuan Umat Islam

Rasa bertuhan atau rasa tauhid

Rasa cinta pada Akhirat

Rasa takut dengan Tuhan atau dosa

Rasa tawakal

Rasa qanaah

Sifat redha

Sifat sabar

Sifat betolak ansur

Persahabatan di kalangan kaum Muslimin

Sifat taat dan setia daripada pengikut terhadap pemimpin

Tamadun Islam

Undang undang perlembangaan Islam

Mengapa terjadi demikian?

Umat Islam memandang kehilangan itu semua tidak merugikan.Kalau dapat pun mereka menganggap tidak menguntungkan apa apa.Begitu rosaknya jiwa dan cara berfikir Umat Islam pada hari ini.



~kredit utk cinaislam~