Friday, June 19, 2009

Secebis Kisah Silam Yang Indah

Salam Jumaat.

Dalam berkat dan keindahan pagi Jumaat hari ini, hati terdorong untuk rindu kampung halaman.


Apa khabar abah dan mak di kampung? Makan apa pagi ini? Masihkah seperti waktu dulu? Seawal pagi Jumaat yang dingin, abah dan mak akan bangun awal. Sebaik saya bangun pagi, mengesit mata yang masih mengantuk, terdengar abah dan mak membaca quran. (Kalau saya dengar abah dan mak baca Al-Quran tu maknanya saya sudah terlambat untuk bangun menunaikan solat subuh). Pagi Jumaat ibarat hari raya buat mereka. Pagi Jumaat adalah hari ilmu tegas abah kepada anak-anak. Kami akan disuruhnya ke surau sebelah rumah, sudah rutin sejak saya kecil dan sampai saya dewasa hari ini pasti akan ada ustaz yang mengajar. Waktu kecil dulu, seawal pukul 8, jalan besar depan rumah saya kereta agak sunyi. Orang kampung akan memenuhi surau dan sekitar kawasan surau seperti ada acara yang besar sedang berlangsung.


Kalau ada antara kami yang tidak pergi 'mendengar' pasti habis nasib kami hari tu. Berbakul-bakullah tazkirah dan muhasabah yang kami dapat pada hari itu, naik tebal telinga. Untung nasib dapatlah makan, biasanya abah akan 'potong' makan pagi kami sekiranya lewat solat subuh dan tidak pergi 'mendengar'. Kata abah, orang yang meninggalkan solat tidak wajar diberi makan sebab nasi akan menyumpah-nyumpah orang yang makan rezeki Allah tetapi tidak tunduk dan patuh melakukan suruhan Allah. Seperti juga bumi Allah ini, akan menyumpah dan marah kepada orang yang tidak solat berjalan di atas permukaannya. Abah kata carilah bumi yang lain kalau tidak mahu solat atau tidak mahu patuh pada suruhan Allah sebab bumi ini Allah ciptakan untuk manusia soleh melakukan ketaatan kepada-Nya. Abah dan mak tegas dalam soal tarbiyyah anak-anak. Tidak mereka manjakan kami. Tiada sebarang kompromi!.


Pagi Jumaat menjadi hari indah dalam hidup saya waktu di kampung dahulu. Kini jauh perjalanan saya merantau hidup di rimba batu ini, saya terasa jauh dari bauan harum minyak atar abah pada hari Jumaat, jubah dan serbannya, lama sudah saya tidak melihat tampang tubuh kecil abah di potong kukunya oleh kak Hayat (kakak saya yang kedua). Rindu ingin melihat lagi kelibat Abang Azhari (abang sulung saya) memotong rambut adik-adiknya Abang Is, Adik Man, Adik Hafizd. Kini Abang Is jauh berkelana di Kudat, kak Hayat di Ipoh, saya di Kuala Lumpur, Adik Man dan Adik Hafizd di asrama.


Masa yang telah luput tidak mungkin dapat diundur. Yang ada cumalah kenangan yang kekal segar di ingatan ini! Hari Jumaat mak masak istimewa, maklumlah hari-hari biasa abah kerja, anak-anak sekolah. Jadi sempena berkah Jumaat, mak selalu masak istimewa. Paling tidak tom yam istimewa kegemaran abah atau laksa kampung.

Abah akan semak kerja sekolah. Abang Is selalu kena marah dengan abah. Dia payah hendak reti English. Kak Hayat pun dah naik letih ngajar dia buat homework English. Saya pula asyik kena marah bab Nahu Soraf. Sudahnya kak Hayat yang buatkan karangan untuk maddah Insya' saya waktu di Maahad dulu. Satu lagi maddah yang saya payah nak hadam ialah Adab Nusus, kena hafal bait-bait syair Arab. Ingat lagi, ustazah Wan Norehan cakap kat kelas karangan Insya' saya paling baik. Saya apa lagi, bangga la. Padahal, orang lain yang bersusah payah, saya yang dapat nama. Saya tak cakap pun dengan kak Hayat, nanti dia bangga pula, hehehe.


Satu lagi rutin abah, minat dan kecintaannya pada buku dan hobinya membaca. Petang Jumaat abah sekitar pukul 3 petang, sementara menantikan solat asar, dia tidak pernah miss membaca buku. Bukan sahaja buku-buku ilmiah, malah satu lagi kegemarannya ialah membaca majalah Reader's Digest. Banyak kat rumah sampai kadang-kadang tanpa pengetahuan abah, saya dan kak Hayat bawa pergi ke pusat kitar semula, hihihi. Maafkan kami abah.....Selalu dia ulitkan saya waktu kecil-kecil dahulu sambil bacakan untuk saya Kisah 25 Nabi. Saya ingat lagi buku tu yang kulitnya berwarna purple. Demi Allah, sewaktu bersekolah saya lebih banyak ingat kisah-kisah nabi melalui cerita yang dibacakan abah daripada kisah yang disampaikan oleh ustaz dan ustazah di sekolah. Lama sudah saya tak tengok buku itu, entah di mana saya dan kak Hayat simpan, saya pun sudah lupa.


Mak saya tegas orangnya. Dahulu, saya takut dengan mak. Saya takut kalau mak marah. Abah lebih lembut orangnya. Namun hari ini, baru saya faham hakikat ketegasan mak dan abah. Akhirnya lahirlah insan-insan hebat seperti kak Hayat dan Abang Is. Saya gagal ikut jejak, qudwah hasanah yang kak Hayat dan Abang Is tinggalkan.


Beberapa tahun berlalu, hari ini suasananya sangat berbeza. Abang Azhari sedang bergelut melawan sakitnya. Saya doakan keafiatan Abang Azhari. Syafakallahu 'ajilah. Kami sayang abang...semoga cepat sembuh. Saya menghantar doa dan rindu dalam lebat air mata yang menitis. Segeralah sembuh, abang kuat, ingat lagi tak abang janji nak bawa adik-adik abang ronda-ronda nanti dah sihat? Hendak belanja kami makan burger kegemaran abang, ingat lagi tak? Ketahuilah kami dari kejauhan selalu mendoakan kesihatan abang.


Begitu juga mak. Kini dia bukan lagi seperti dulu. Tubuhnya telah dimamah waktu. waktu sihat dan mudanya telah digunakan sungguh-sungguh untuk membesarkan anak-anak. Mak saya kini terpaksa menjalani rawatan dialisis 3 kali seminggu. Ingat lagi waktu mak mula-mula kena dialisis, rutin abah dan mak sedikit berubah. Kami waktu itu sedikit sukar menerima keadaan baru itu. Kami terasa asing dan sedih dengan ujian yang menimpa.


Tapi berkat kesabaran,sokongan dan doa abah yang setia itu akhirnya segala kesusahan kami diberi jalan keluar. Kata abah pada mak (saya terdengar mak dan abah bercakap-cakap pada suatu malam), "sabar, redha, ikhlaskan hati. Terima dengan tangan terbuka ujian sakit ini kerana ianya juga rahmat dari Allah. Ada dosa yang Dia hendak hapuskan, ada kebaikan yang Dia hendak berikan. Kalau ma sabar, Allah angkat martabat ma di sisi-Nya!"


Allah, itulah kalam azimat abah menasihati isteri tercinta yang hatinya dirundung sedih. Abah dan mak, kalianlah masdarul quwwah hati ini. Kalian pemilik redha dan kasih Ilahi atas semua kesababaran yang kalian miliki. Kalian bukanlah seorang pembesar negara, kalian bukanlah pemilik harta bergudang-gudang, kalian bukanlah orang hebat-hebat yang boleh dibanggakan pencapaiannya tetapi, bak kata abah biarlah seisi alam tidak mengenali kita tetapi biarlah malaikat kenal nama kita, Rasullullah saw akan syafaatkan kita dan Allah mengaku kita hamba-Nya dan kekasih-Nya.


Hidup adalah pengabdian diri yang tuntas kepada kerajaan Allah swt yang maha hebat. Tiap-tiap bisa kesakitan yang telah kalian rasakan selama hidup di dunia ini, biarlah Allah membelinya dengan kenikmatan Jannatul 'Adnin-Nya.


Sedih dan rindu mengenangkan insan tersayang di kampung. Lama tidak bersua muka, namun hati tidak pernah lupa. Salam kerinduan di kejauhan dari anakmu.


Tidak dilupakan arwah kakak tersayang Nik Nor Hasyimah, semoga bahagia di sisi Tuhan. Kita sekeluarga akan kembali dipertemukan di syurga Allah suatu ketika nanti. Nantikan kami di sana...Al fatihah.

No comments: