Tuesday, June 23, 2009

Ujian Allah Tidak Akan Berhenti, Sekeping Hati Tabahlah...

Langit kirmizi. Air mata tidak tertahan. Hati dirundung sedih yang teramat. Terasa tempang tubuh, sebahagian daripada diri bagaikan hilang.

Saya tidak mampu menghadapi ujian sendirian. Hanya panggilan telefon kak Hayat dari kejauhan yang memberi semangat untuk terus menguatkan saya. Lemah longlai jiwa ini. Rupanya tanpa sedar, saya banyak menumpang kekuatan dan semangat kak Hayat. Tanpa dirinya rupanya jiwa saya terlalu kecil. Waktu dia mula-mula menjejakkan kaki ke menara gading, hampir saya menangis setiap hari di sekolah kerana terlalu rindu dan ingat pada dia, kakak saya yang selalu menjadi pendengar setia, berkorban segala-gala untuk saya. Cukuplah waktu kecil dia yang selalu bawakan beg sekolah kami, bagi duit beli gula-gula bila kami menangis minta duit dengan mak. Dia rela tidak makan dan membelanjakan duit yang mak dan abah bagi di sekolah supaya dia ada duit untuk beri adik-adik pada petang hari, supaya adik-adik tidak meminta-minta dan menangis.

Mak saya asalnya hanya muntah-muntah dan terasa bisa-bisa dalam tubuh. Saya hanya mengurut dan melumurkan minyak angin pada tubuhnya. Saya sangkakan hanya bisa-bisa biasa.

Saya jarang berhadapan dengan kondisi mak yang sebegini. Kak Hayat yang biasa akan urut dan lumurkan minyak pada mak. Dia yang lebih rapat dengan mak.

Saya dan adik Man yang ada di rumah. Syukurlah adik lelaki saya itu ikut sama membantu saya, terkadang terasa dia ibarat abang saya, kematangannya, dedikasinya, tabah sabarnya, kata-katanya. Dia lebih tabah dan boleh menguruskan makan pakai mak sewaktu sakit. Dia tidak langsung mual setiap kali membasuh muntah mak yang meleleh di tangan dan baju dia. Katanya besar hatinya mak sudi muntah atas tangannya. Katanya, mak tidak pernah mual membasuh berak kencing anak-anak, kenapa pula dia mesti mual.

Sekarang turn saya dan adik Man yang jaga mak.

Namun kali ini, betul-betul saya sendirian akan tangani keadaan mak yang semakin tenat tanpa ada lagi 'tangan' kasih kak Hayat yang turut sama membantu dan menolong seperti selalu. Saya ingat lagi sewaktu mak saya dimasukkan ke hospital sebelum itu, kak Hayat banyak mengorbankan masa tidur serta masa kerja dia untuk jaga mak di hospital. Abah tidak boleh jaga mak kerana dia juga tidak berapa sihat.

Kak Hayat sudah mengorbankan dirinya untuk mak, untuk adik-adiknya. Maka layaklah dia mendapat apa yang dia telah dapat hari ini.

Mak saya disahkan stroke pada mulanya. Saya terbungkam di satu sudut penjuru wad. Saya membatukan diri, telefon abah di pejabat. Saya sendirian bawa mak ke hospital setelah dia muntah-muntah dengan banyak dan secara tiba-tiba. Abah dan abang sampai lewat petang di hospital.

Dalam pukul 4 lebih doktor sekali lagi datang dan 'menyoal siasat' saya tentang mak. Hasilnya bukanlah stroke tetapi tekanan darah tinggi dan kencing manis yang sangat tinggi. Saya akur pada setiap rawatan yang doktor syorkan untuk mengubati bonda tercinta. Mak saya macam orang mamai, bercakap yang bukan-bukan. Dia ibarat di dua alam, antara sedar dan tidak, kenal dan tidak.

Saya agak sedih dan hiba. Mak saya yang saya kenal sabar dan tabah orangnya, kali ini lain sekali. Mak saya kerap juga sesak nafas dan menyebabkan dia gagal menahan diri. Mak saya merintih dan mengadu kesakitan. Saya pujuk mak, sabar mak.....

Melihat keadaan mak yang semakin buruk, setelah lebih 24 hari terlantar di hospital tanpa ada sebarang perubahan positif, akhirnya pada sebuah petang yang bermakna ini, kami sekeluarga terpaksa akur pada takdir Tuhan.

Saya 'rebah' di bahu abah. Kami sekeluarga sugul menerima berita ini. Mak sudah ditukarkan ke Unit Rawatan Rapi pada hari ke-25 kerana langsung tidak boleh bernafas.

Kami terpaksa menerima hakikat bahawa mak yang dicintai perlu melakukan dialisis setiap tiga kali seminggu demi meneruskan kelangsungan hidupnya, kedua-dua buah pinggangnya sudah tidak berfungsi lagi. Allah, beratnya ujian-Mu pada batang tubuh bonda kami itu. Abah seka air mata saya. Saya lihat abah tidak menangis tetapi saya tahu, dia turut berdukacita dan sedih. Dapat saya rasakan kesedihan sedang memberat di dadanya.

Pagi Jumaat yang dingin, mak menjalani dialisis sulungnya. Saya tidak menemaninya. Abang Azhari yang temankan dia. Saya tertidur di katil mak. Sedar-sedar mak sudah tiada di katil. Di situlah kehidupan baru mak bermula.

Hampir seminggu kemudian, setelah menjalani dialisis saya lihat kondisi mak semakin baik. Dia sudah boleh solat di katil hospital dengan saya membantunya ambil wudhu'. Dia sedikit berselera untuk makan. Kak Hayat pulang ke kampung bersama suami dan anak-anak.

Peluk tangis kak Hayat dan mak mengundang hiba di hati saya. Dia memohon maaf tidak dapat pulang sewaktu mak tenat kerana urusan pengajiannya yang tidak boleh ditinggalkan. Tidak mengapalah kakakku sayang.

Saya teringat pesan kak Hayat,

Ujian Allah tidak akan pernah berhenti

sekeping hatimu dik harus selalu tabah

jadilah orang yang berjiwa besar

agar masalah yang besar akan nampak kecil dimatamu nanti!

~selalu merinduimu kakak~

No comments: