Friday, July 31, 2009

Doa Yang Mustajab

Segala puja dan puji tertentu dirafa'kan ke hadrat Allah SWT atas nikmat dan hidayah-Nya yang tidak terhitung. Selawat dan salam buat Rasul Junjungan SAW, cahaya atas cahaya.

Syukur kepada Allah, masih terus dipanjangkan umur dan masih diberi nikmat kesihatan untuk terus melakukan ketaatan kepada-Nya.

Pagi tadi, saya pergi mendengar ceramah agama lagi. Tajuknya 'Tip-tips Doa Dimakbulkan". Bagus tajuk ceramah yang diilhamkan oleh Biro Agama dan Pendidikan ini. Seperti biasa, setiap kali hadir mendengar tentu sekali tidak akan pulang dengan tangan kosong. Ada ilmu yang sangat bermanfaat untuk kita kongsikan bersama.

Hari ini Ustaz Syed Mohd Norhisyam bin Tuan Padang yang menyampaikan ceramah. Orangnya kelakar juga. Lepasan Universiti Yaman tetapi tidaklah saya arif lain-lain berkenaan beliau kerana biodata beliau tidak dinyatakan oleh Tuan Pengerusi.


الدعاء مخ العبادة
(Doa itu otak ibadah)


الدعاء صلاح المؤمن
(Doa itu senjata orang mukmin)
Dalam Surah al Ghaafir ayat 60 Allah berfirman yang mafhumnya:
Dan Tuhan kamu berfirman "Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu".
Di sini Allah menggambarkan bahawa betapa dekatnya Dia dengan hamba-Nya serta betapa pemurahnya Dia kepada hamba-hamba-Nya.
Maha suci Allah, disuruhnya para hamba agar meminta dan berharap hanya kepada-Nya tetapi manusia selalu lupa kepada Dia.
Cuba kita selalu meminta-minta kepada manusia, manusia akan benci kepada kita. Tetapi meminta kepada Allah, Dia akan memakbulkan segala permintaan dan hajat kita.
PERSOALANNYA, SUDAH BANYAK BERDOA TETAPI KENAPA TIDAK DIMAKBULKAN?
Syarat Makbul Doa:
(1) Yakin - Allah Maha Mendengar munajat hamba-Nya
- Allah menepati janji-Nya
(2) Khusyu' - Mengharap
- Menghina diri di hadapan-Nya
(3) Tidak Gopoh - Sabda rasulullah SAW yang bermaksud "Dimakbulkan doa seseorang kamu
selagimana dia tidak gopoh dengan berkata -"Aku telah berdoa kepada
Tuhanku, tetapi ia tidak memakbulkannya"
(Riwayat Bukhari & Musllim)
(4) Makanan, minuman dan segala sumber kewangan adalah halal.
SEBAHAGIAN WAKTU DOA MUSTAJAB
(1) Ketika sujud
(2) Setelah selesai solat fardhu
(3) Sepertiga malam
(4) Di antara azan dan iqamat
(5) Ketika hampir berbuka puasa
(6) Ketika barisan tentera Islam bertembung musuh di medan perang
(7) Doa ibu bapa kepada anak-anak
(8) Doa orang yang dizalimi
(9) Doa orang yang bermusafir
(10) Di Masjidil Haram, Multazam, Maqam Ibrahim, Miizaab
(11) Di Masjid Nabawi, Raudhah
(12) Tawaf, saie, wukuf, mabit dan setiap manasik haji

Wednesday, July 29, 2009

Madu Sebagai Penawar


Setelah baik dari demam selsema sejak 2 minggu yang lalu, tidur saya selalu terganggu. Saya rasa tekak ini tak selesa, lemas dan sukar untuk bernafas. Juga batuk yang mengganggu. Semalam kak Dah suruh makan madu. Saya makan suku sudu kecil. Saya selawat dulu, saya minta ya Allah, kurangkanlah batuk dan rasa tidak selesa ini.


Alhamdulillah, semalam saya dapat tidur dengan nyenyak. Pagi tadi bangun, rasa fresh aje. Time kasih madu yang kak dah bagi tu, best sangat. Madu asli katakan....cewah. Tu la, selama ini semua orang maklum bahawa madu tu ubat lagi best rasanya. Cuma saya ini yang tak suka madu.


Beberapa dalil menyebut madu sebagai penawar.


Beberapa kajian telah diusahakan yang tertumpu kepada bahan-bahan semulajadi daripada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan. Begitu juga dengan madu lebah kerana dalam al-Quran sendiri telah menggariskan pelbagai pengajaran dan maklumat penjagaan diri daripada pelbagai penyakit, maupun kesihatan jasad atau rohani agar kita dapat mengerjakan segala perintah Allah dengan teratur.



Firman Allah dalam surah an-Nahl:
(Surah An-Nahl: 69).


Tafsirnya: "Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang memikirkan."



Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam juga ada berpesan agar seseorang itu berubat dengan madu dan al-Qur'an, Baginda bersabda:


Maksudnya: "Ambillah / pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Qur'an."


(Hadis riwayat Ibnu Majah)



Daripada hadis tersebut ternyata madu mempunyai keistimewaan yang tersendiri dengan nilai-nilai utama dalam ilmu kesihatan, yang mempunyai zat-zat besi dan vitamin yang kuat. Di samping itu madu juga dianggap penting kerana memenuhi keperluan tubuh dan cepat memberi tenaga.


Mereka yang mengetahui akan khasiat madu akan menggunakannya secara rutin, hal ini bukan hanya teori tetapi telah dibuktikan daripada beberapa kajian yang telah dilakukan di mana jika ianya diamalkan setiap hari akan mencegah daripada pelbagai penyakit dan memberi tenaga yang cukup.


Di samping itu madu juga seringkali digunakan untuk sampingan sarapan pagi agar tenaga segera siap digunakan dalam menjalankan kerja harian. Madu juga memiliki aroma enak yang meningkatkan selera, sepertimana Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam juga mengamalkannya.


Diperkuatkan dengan hadis baginda yang berbunyi:

Maksudnya: "Dari Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:

"Barangsiapa yang menjilat madu sebanyak tiga kali pagi pada setiap bulan, maka dia tidak akan terkena cubaan yang besar."



Di samping itu dengan memakan madu juga boleh menyembuhkan batuk-batuk yang menganggu dan boleh mencegah daripada kekejangan pada otot tubuh khususnya pada bahagian kaki. Dalam perubatan tradisional, madu telah dimanfaatkan untuk menahan luka-luka terbakar pada kulit. Jika diusapkan madu akan dapat mengurangi rasa sakit yang menyengat dan mencegah pembentukan lepuh (melecur) dan cepat sekali menyembuhkan kawasan yang terbakar. Di samping itu banyak lagi penyakit yang boleh sembuh misalnya hidung tersumbat, anak yang kencing malam dan sesuai untuk kanak-kanak damit yang baru lahir.



Dalam al-Qur'an, hadis-hadis yang disebutkan dan amalan perubatan tradisional, madu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Adalah menjadi suatu amalan yang baik menjadikan madu sebagai ubat dan penjagaan kesihatan.

Wednesday, July 15, 2009

Secebis Kenangan Yang Masih Tersisa

Sungguh, kenangan kadang menggugat tenang. Ia hadir memberi makna iktibar buat sekeping hati yang selalu lupa. Dahulu, waktu kak Hayat cakap hati manusia itu 'nasia', saya binggung. Dari mana datangnya kalimah 'nasia' itu? Daripada perkataan arab atau dari mana? Apa bendanya 'nasia' ini duhai kakak?

'Nasia' adalah ada dalam perkataan an nas, perkataan arab dan maksud 'nasia' adalah lupa. Lantas saya mengambil kefahaman bahawa manusia itu lupa sifatnya. Arrggghhh...peninglah....saya sedih, Nahu Soraf...penuh kenangan tersimpan (saya pernah dapat markah 0 untuk maddah ni.Ustaz panggil saya untuk diberi kaunseling)
Ya, saya belum lupa.

Saya masih ingat ketika saya gagal menempatkan diri ke mana-mana universiti setelah keputusan SPM diumumkan tahun 2004, betapa terasingnya diri.
UIA : Awak, Habibah Mansor, Norzila Faeza, Norafida
UiTM : Norul Wahijah, Zuriha Azami
KIAS : Suhaila Mat Zin, Safiah Said, Siti Khadijah
KUIS : Siti Aisyah Che Kob (dah sambung USIM skrg)
UKM : Hasmiyati Zahari, Aminatul Hidayah
KUSZA : Nordiana Hanan
UPM : Ghazali

Kenyataan yang susah hendak terima. Saya gagal untuk menyambung pengajian walau terlalu berharap untuk bersama-sama ke UIA. Dengan result yang agak baik, saya tetap ditakdirkan gagal. Dalam 'geng' saya, hanya saya, Hasanah harun yang tersisa untuk meneruskan pengajian di peringkat STAM. Ada beberapa nama lain yang turut senasib dengan saya. Sedihnya waktu tu.

Saya sangat bercita-cita ke UIA, tidak ke universiti lain kerana pada pemikiran dangkal saya pada waktu itu, saya terpengaruh dengan mak cik saya yang dapat ke UIA. Setiap kali balik kampung, dia pasti hadiahkan saya dan kak Hayat penanda buku, pen dan lain-lain pemberian ada tertera UIA. Saya teruja dengan semua itu.

Mak cik saya dipuji-puji kerana kecerdikannya dalam pelajaran, 'tersohor' kerana kecantikan wajahnya, disebut-sebut namanya oleh abah dan ma. Abah berbangga dengan adik bongsunya itu. Penerus generasi solehah dalam keluarga.
Apa khabar mak cik saya itu, Nik Raihan dan suami Ahmad Raihan. Apa khabar Najmi dan Najwa? Rindu pula...

Namun, tiap yang terjadi rupanya ada cerita lain yang Allah ingin takdirkan. Walau tidak berjaya ke UIA seperti yang diimpikan, akhirnya saya tetap dapat menyambung pengajian di UiTM, Kampus Sungai Petani dalam Bachelor Administrative Science. Masih ada sisa kecewa di hati kecil ini. Lukanya masih kekal berdarah.

Setiap kali menjejak kaki di bumi UIA, Gombak untuk sesekali bertemu kakak ipar yang turut pernah belajar dan sekarang bertugas di sana, hati ini menangis. Allah, Engkaulah sebaik-baik penawar duka!
Hmmm, entah bagaimana takdir seterusnya.
Masih saya tidak lupa, saya memohon jurusan Ilmu wahyu a.k.a IRK, sama seperti mak cik saya. Hmmm, terasa macam semalam baru saya menghadapi semua itu. Tanpa sedar, sudah hampir 5 tahun masa telah berlalu.

Apa yang ada pada bachelor hah? Saya pelik juga kadang-kadang. Walhal terasa biasa2 saja apabila dapat menyambung pengajian tetapi saya pernah diketepikan kerana tidak berpeluang ke mana-mana IPTA suatu masa dahulu. Itu agaknya sindrom mazmumah akhir zaman.
Entah, tak boleh komen banyak-banyak. Bimbang ada yang menelefon pula.

Perjuangan untuk menggenggam segulung ijazah akan diteruskan. Ianya adalah perjuangan hidup dan mati dalam meletakkan diri sebagai hamba yang diredhai. Biar diri ini jadi seperti kak Hayat. Kental dan kenyal sekali semangatnya untuk terus mendapatkan Master. Dia akan berjuang untuk ke peringkat paling tinggi dalam level keilmuan yang ada di Malaysia. Itu semangatnya.

Kakak, kali ni akan sambung bidang apa pula yea? Hmmm, entah.
Mudah-mudahan dia diberi kemampuan untuk mencapai cita-cita itu. Segala cabaran yang sedang merentangi adalah anak-anak tangga untuk mendaki ke puncak teratas! Syabas kakak!
Belum sempat Rasulullah menghabiskan bacaan, lelaki itu meminta baginda mengulang semula bacaan tersebut. Dia kagum dengan keindahan lafaz dan kesucian maknanya.

Hatinya tersentuh tiba-tiba. Selesai Rasulullah membaca ayat tersebut, lelaki itu berkata, "Demi Allah, sesungguhnya padanya ada kemanisan, padanya ada kecemerlangan dan bahawa di bawahnya muncullah daun, dan di atasnya muncullah buah. Itu bukan ucapan seorang manusia!"

Lelaki itu adalah al-Walind bin Mughirah, yang kemudian menjadi antara sahabat Rasulullah yang terkemuka.
Tertarik dengan kisah pendek di atas, saya terpanggil untuk publish di sini. Saya menerimanya dari seorang sahabat. Semoga ada manfaat yang besar untuk kita semua!

Tuesday, July 14, 2009

1Malaysia:Idea Bijok?

Saya tidaklah bermaksud untuk memberikan komen berkenaan 1Malaysia yang telah diilhamkan oleh Dato' Seri Najib Tun Razak. Begitulah adat, setiap pemimpin yang datang dan pergi membawa idea2 mereka. Terbaru, semalam saya melihat di kaca TV 100 hari pemerintahan di bawah Perdana Menteri baru. Sama seperti pemimpin yang dahulu, mengumumkan pelbagai pengumuman yang mengangakan mulut mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik di kampung, tidak habis-habis, buat lawatan mengejut ke sana dan ke mari.
Saya tidak hendak perkatakan itu. Cuma hadir sesuatu rasa dalam hati saya ini. Saya terfikir selepas melihat di TV juga lagu baru 1Malaysia.
Hmmmm,macam-macam yea.Manusia membawa matlamat dan tema dalam pemerintahan. Membawa idea itu dan ini namun semuanya adalah matlamat keduniaan semata-mata tanpa ada matlamat akhirat yang dijunjung.
Ke mana hendak di bawa matlamat keduniaan? Tidak tahukah atau sengaja buat-buat lupa?Dunia sudah tua....tetapi itu juga yang dikejar dan didamba...Matlamat untuk ke akhirat tidak pernah dipromosikan sehebat2nya seperti mana mempromosikan Matlamat 1Malaysia di TV.
Kempen menutup aurat tidak pernah ada di TV, kempen pengharaman arak kepada muslim juga tidak ada. Iklan tentang menunaikan solat juga langsung tidak ada.
Ke mana sebenarnya kita ini hendak di bawa?
Pelbagai program hiburan dan nyanyian yang merosakkan lagi melalaikan tumbuh bagai cendawan, melata dan merata-rata. Huh, saya tidak suka dengan perkembangan sebegini.Saya menyimpan benci di dalam hati!Benci pada budaya fasad ini!
Sungguh negara telah merdeka namun minda umah masih kuat terjajah.Kita hari ini telah hilang suara umah yang bimbang tetang akidah anak-anak mereka. Kalau dahulu masyarakat Islam di Singapura bangkit menentang pemurtadan akidah seorang gadis bernama Natrah, hari ini umat menjadi 'buta' dan 'pekak' dengan banyak kes murtad dalam negara!
Lihatlah betapa matinya hati umah.
Tuhan,
ke mana hendak aku adukan kegelisahan ini?
Tuhan,
ke mana hendak ku khabarkan nasib umat Muhammad ini?
Suara ulama' sudah tidak lagi dipeduli,
kejahatan dan kemaksiatan tumbuh subur
dunia telah rosak
rosak dengan tajaan kejahatan
dari musuh-musuh Allah!
Laknat Allah atas musuh-musuh-Nya. Hancurkanlah mereka, cerai beraikan pakatan kejahatan mereka wahai Tuhan kami yang maha hebat!

Wednesday, July 8, 2009

Ya Allah,
Tuhan yang maha mengerti rahsia hati-hati manusia. Harap Allah mengerti hati ini. Terasa tidak tenang, terasa bagai saya kehilangan, terasa bagai terasing dan sunyi, terasa ada kesedihan yang menekan-nekan hati. Adakah ini petanda ruh dahagakan amal soleh?
Masih segar diingatan, ustaz mengajar di kelas saya waktu tingkatan 6 Bawah dahulu mengatakan bahawa
"Seandainya kamu merasakan begitu(apa yg saya telah tulis di atas), ketahuilah bahawa jiwa dan roh kamu kekurangan amal soleh. Kamu tidak diberikan ketenangan oleh Allah, hati yg hilang sakinah dan rahmah. Justeru, kembalilah kepada Allah.
Sekiranya jasad kamu memakai pakaian yang cantik, makan makanan yang enak-enak, kamu tidak suka kepada yang busuk dan kotor begitu jugalah dengan roh kamu!"
Rasanya tidak terkira titik hitam di hati ini. Malah lebih malang lagi, tidak pernah pula saya sucikan hati dengan taubat. jarang saya ini bertaubat. Apa yg rutin bagi saya ialah lebih dekat dengan mazmumah yang memusnahkan.
Memandang jauh dari jendela kenangan, banyak yang telah lupus. Di mana sekeping hati yang selalu rindu pada ilmu, hati yang lunak dan mudah menerima kebenaran? Di mana kalbu yang selalu khusyuk dalam solat? Di mana akhlak mahmudah?
Wajah kusam dan kelam dengan dosa-dosa yang pahit.
Hendaknya Allah kembalikan saya ke kampung halaman. Saya tidak sesuai di sini, di samping mereka yang meletakkan dunia sebagai matlamat dan bukan sebagai alat.
Tiada lagi bau harum ukhuwwah islamiyah di sini...yang ada hanya bau hanyir manusia yang mementingkan dunia dari kehidupan akhirat! Bau hapak dan busuk manusia yang hatinya diisi mazmumah.
Tiada lagi teman-teman yang mengingatkan tentang kehidupan akhirat selain cakap-cakap kosong lagi sia-sia. Saya lemah dan lemas dalam ribut manusia yang mengejar dunia yang tidak sudah. Hutan batu yang terlalu hina untuk didiami ini turut dihuni oleh manusia-manusia hina.
Hina kerana kecintaan serta kecenderungan mereka pada dunia dan segala isinya.
Ya Allah....

Friday, July 3, 2009

Senator Mumtaz Md Nawi Ikon Muslimah




Puan Hajah Siti Zailah dan Ustazah Wan Ubaidah Wan Omar juga bekas seorang Senator satu masa dahulu

Saya terpasung dan terpaku melihat langkah Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff wakil rakyat Rantau Panjang, tampang tubuhnya kelihatan menghala masuk ke Dewan Rakyat. Dahulunya beliau adalah senator namun pada penggal kali ini beliau bertanding untuk kawasan Parlimen Rantau Panjang dan menang untuk kawasan tersebut. Dalam berat kakinya yang sakit itu melangkah, amanah terhadap rakyat nyata tidak dipandang mudah. Mendengar lantang suaranya membangkitkan masalah rakyat di kawasan beliau di sidang Dewan Rakyat pada petang Khamis dalam pukul 4.15 macam tu, semacam langsung tidak terkesan dengan sakit kaki beliau (tidak pula saya tahu apa kaki beliau kenapa). Yang nyata dia terhinjut-hinjut berjalan di lobi Parlimen. Dalam lantang suara beliau, saya tenggelam dalam kenangan hari semalam yang masih subur di jiwa.



Awal tahun 2002, di Nadwah Kepimpinan Nuqaba’ bertempat di JKR405, Pengkalan Chepa, saya masih ingat suara lantang milik beliau memberi pengisian pada satu slot di program itu. Orangnya tetap sama, suara yang sama, nada yang sama, cuma masa telah memamah kemudaan waktu itu. Ya Allah, cepatnya waktu berlalu. Tanpa sedar, saya telah dewasa kini. Terasa bagai semalam saya khusyuk mendengar mutiara ilmu yang beliau curahkan kepada generasi pelapis naqibah jadid. Namun hakikat hari ini, saya bukan orang yang terlibat secara langsung dalam dunia daie namun diri ini masih menjadi pendukung perjuangan Islam yang suci.


Saya dipagut rindu yang teramat sangat pada negeri kelahiran tercinta, rindu pada Maahad, rindu pada ustaz dan ustazah, rindu pada sahabat seperjuangan, rindu biah yang dahulu. Saya rindu pada Hasanah, Aisyah, Aminatul Hidayah, saat sama-sama menjadi pencinta ilmu yang tidak pernah jemu melangkahkan kaki ke tempat Tuan Guru mengajar pada setiap hari Jumaat di Kota Baharu. Pagi Jumaat dan hujung minggu, kami habiskan dengan penjadi pencari ilmu. Kembara kami yang tidak pernah usai. Masing-masing punya cita-cita tersendiri dan langsung kini kami terpisah kerana ghoyah kami yang tersendiri.


Biar masa dan waktu memisahkan kebersamaan kami, namun sekeping hati tidak pernah melupakan semua kenangan yang pernah tercipta, menjadi jundi-jundi kecil, mencipta jejak-jejak kenangan yang tersendiri.


Allah, kenangan silam yang kian hilang. Keindahannya hanya terlakar di ingatan. Melihat kehidupan dari dua sisi, sukar untuk saya jelas perasaan hati ini. Mujahadah melawan perasaan antara mazmumah dan mahmudah menjadikan saya tersepit dan terdesak. Lorong yang susah dan payah. Hidup dalam persekitaran yang terpencil memenjarakan saya dalam kabut perasaan sendiri


Begitu juga setiap kali sepasang mata ini melihat Senator Puan Hajah Mumtaz binti Md. Nawi yang lantang bersuara di sidang Dewan Negara membangkitkan perihal kehidupan rakyat dan permasalahan ummah namun sayang seribu kali sayang, hanya hati-hati yang ‘jaga’ sahaja mahu mengakui kebenaran di sebalik kata-kata beliau yang selalunya ilmiah dan bernas.


Kahwin dan mendapat anak di masa belajar di AIKOL UIAM, namun tetap menjadi figure Anugerah Dekan di pentas akademik dan figura politikus menggugat ketika bersama memimpin MPP UIAM sehingga mampu berbahas dengan Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim. Itulah kehebatan beliau yang boleh dijadikan qudwah dan ikutan.


Dengan Puan Hajah Mumtaz juga saya mempunyai kenangan yang tersendiri. Pendek kata kami dari negeri Kelantan terutamanya pelajar aliran agama sudah biasa dengan pemimpin berjiwa rakyat di sana. Semua ustaz dan ustazah jenguk gelanggang termasuk dua nama di atas.


Kenangan saya dengan Puan Hajah Mumtaz pula ialah sewaktu di Kursus Kenegaraan anjuran Yayasan Islam Kelantan di Kem Kok Keli, Tumpat pada bulan April 2007 bagi sekolah-sekolah agama untuk peringkat zon 8, waktu itu saya cuti semester dan sempat menjadi AJK pelaksana bagi program ini atas jemputan Ustazah Wan Faizah dari SMU(A) Maahad Muhammadi Pasir Mas. Terasa masih terdengar-dengar di telinga suara beliau menyampaikan ceramah. Sangat berkesan di jiwa saya. Selaku anak Kelantan saya juga turut bangga dan sangat kagum dengan keperibadian beliau.


Setiap kali saya berkesempatan melihat kelibat beliau di lobi Parlimen, atau di coffee room Dewan Negara, kenangan yang sekelumit cuma bersama beliau pasti kembali menari-nari di ruang mata. Betul kata sahabat saya, kita tidak boleh hidup dengan kenangan sahaja namun apakah lagi kenangan manis yang saya ada selain dari itu?


Namun Tuhan tidak membiarkan pejuang sendirian. Kelantangan suara-suara mereka bagaikan gong yang dipalu, menyedarkan hati-hati yang ‘tidur’. Semoga Allah selalu memberkati hidup para pejuang dan menghancurkan pakatan kejahatan musuh-musuh-Nya.


Iktibar Buat Masih Yang Hidup


Salam Jumaat.


Dunia masih lagi hangat dengan berita pemergian seorang bintang Barat, Michael Jackson. Ribuan peminatnya masih lagi menangisi sebuah pemergian yang tidak akan kembali itu. Menyebut tentang Michael Jackson ini, saya punya kenangan yang tersendiri. Waktu saya masih kanak-kanak, saya takut melihat wajahnya seperti hantu yang datang dalam mimpi saya, dengan pucat wajahnya cukup membuatkan saya takut apatah lagi untuk meminatinya.


Secara jujurnya, saya tidak meminati lagu-lagu orang putih ini, malah memang tidak tahu banyak fakta tentang artis-artis barat melainkan sedikit cuma. Mendengar lagu orang putih ibarat menyeksakan jiwa raga sendiri.
Hubby saya juga melarang saya memainkan lagu selain nasyid ketuhanan terutamanya ketika memandu kereta. Katanya jiwanya tidak tenang dan dihambat resah kalau tidak mendengar lagu-lagu yang syar'ie dan dia juga tidak gemar untuk mendengar lagu-lagu yang lagha. Seingat saya, dia pernah cerita, sewaktu masih bersekolah dulu, ada seorang ustaz pernah beritahu bahawa barangsiapa yang mendengar nyanyian yang melaghakan di dunia, maka di akhirat nanti Allah akan mencurahkan cairan timah yang menggelegak ke dalam telinganya. Wallahu'alam.
Saya hormati permintaan dan keinginanya itu. Saya menegah diri dari mendengar lagu selain nyanyian yang disukai suami.


Berbalik kepada pemergian bintang lagenda itu, kisah yang saya baca dalam kisah di sebalik pembedahan plastik yang dilakukan oleh Michael Jackson itu terasa sebuah keinsafan meresap jauh ke sanubari.


Otopsi ke atas mayatnya telah menemukan penemuan-penemuan yang sangat mengerikan. The Sun melaporkan bahawa tidak ada makanan di perutnya kecuali pil - pil. Subhanallah.


Paha, pinggul dan di bahunya ada bekas suntikan yang diyakini sebagai injeksi narkotika penghilang rasa nyeri. Suntikan itu dilakukan tiga kali sehari dan sudah berlangsung bertahun-tahun lamanya. Terdapat juga banyak bekas pembedahan yang kemungkinan adalah hasil dari 13 kali operasi kosmetik.


Tubuhnya mengalami berbagai-bagai kecederaan dari hasil pembedahan plastik yang dilakukannya suatu ketika dahulu. Untuk cerita selanjutnya bolehlah ziarah ke laman http://idhamlim.blogspot.com


Saya tidaklah arif mengenai plastic surgery dan kesannya tetapi hasil otopsi terhadap jenazahnya membuktikan bahawa itulah natijah dari tangan manusia sendiri yang ingin menyanggahi kekuasaan Allah dan ketentuan Allah terhadap batang tubuh seseorang hamba. Dia telah memusnahkan diri sendiri.
Akhir zaman ini, ramai di kalangan kita yang cnderung untuk melakukan pembedahan plastik, suntikan botox, dan lain-lain cara selari dengan kemajuan teknologi. Maka berlumba-lumbalah mereka melakukan pengubahan terhadap bentuk hidung, dagu, rupa wajah mereka, menghilangkan kedutan dan sebagainya. Kononnya untuk menghapuskan tanda-tanda penuaan dan sebagainya. Kedutan dan tanda-tanda penuaan yang adalah fitrah dan bersifap normal. Tetapi itulah manusia, tidak pernah puas.

Inilah manusia yang tidak pernah syukur dengan apa dianugerahkan pada dirinya. Manusia tidak puas dengan kejadian dirinya. Ada yang Tuhan jadikan berkulit gelap mahu berkulit cerah, hidung yang tidak mancung, mahu dimancungkan dan sebagainya. Memanglah kita manusia lemah untuk melawan rasa hati yang kadang-kadang tidak berpuas hati dengan diri sendiri tetapi suara iman itulah yang menjadi benteng untuk tidak memenangkan bisikan dan hasutan syaitan dalam diri.


Siapa yang tidak mahu cantik, siapa yang tidak teringin memiliki kulit putih berseri, hidung mancung, bibir yang mungil lagi kemerahan tetapi itu di bawah kudrat dan iradah Allah. Kita hamba wajib mensyukurinya.


Yakinilah bahawa Allah tidak memandang kepada cantiknya rupa paras, banyaknya harta berkepuk-kepuk tetapi Allah hanyalah memandang kepada amalan dan hati-hati kamu!


Teringat saya kepada insan mulia, harum namanya di langit dan bumi yang namanya tertera di dalam al-Quran, Luqmanul Hakim. Dengan berbibir tebal, kulitnya hitam apalah kelayakannya pada pandangan manusia ramai untuk menghuni syurga andai kecantikan pada pandangan mata manusia dijadikan kayu pengukur, tanda aras untuk memasuki syurga Allah.


Allah yang Maha Hebat telah mengetahui tahap penilaian manusia telah menetap syarat yang tersendiri untuk memasuki syurganya. Usah dicemburui pada mereka yang dianugerahkan kecantikan kerana semua itu adalah nikmat yang dipinjamkan buat sementara cuma. Semuanya akan lebur dan musnah. Tetapi amal soleh, hati yang bertaqwa itulah yang akan kekal kita bawa menuju alam yang kekal abadi.

Tidak usah terpengaruh dengan mereka yang tidak beriman. Sesungguhnya setiap perbuatan yang cuba mengubah ciptaan Allah seperti botox, dan lain-lain kaedah yang ditegah syarak adalah menjanjikan 'hadiah' kehancuran yang bukan sedikit kepada batang tubuh manusia. Maha benarlah larangan-larangan Allah agar manusia tidak mengubah kejadian dirinya melainkan hanya pada bebebapa rukhsah yang disyariatkan seperti mengubah kejadian Allah atas faktor kesihatan yang mana jika tidak diubah akan membawa kemudharatan pada diri.


Pemergian 'Raja Surgery' ini wajar dijadikan iktibar buat mereka yang berhasrat untuk melakukan sepertinya. Saya merenung pemergian beliau dari sisi ini agar diperbanyakkan syukur atas setiap nikmat-Nya. Agar hati ini qanaah dengan setiap kurniaan-Nya dan tidak berkeluh kesah atas pemberian-Nya pada fizikal diri. Setiap larangan dan tegahan Allah kepada umat manusia mempunyai rahsia dan tabir hikmah yang tidak mampu disingkap dengan pemikiran yang dangkal dan pertimbangan fatwa akal semata-mata.

Segeralah kembali kepada Allah kepada yang pernah tersesat memilih jalan!
Antara mazmummah utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah :

1. Pemarah paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak tenang.

2. Pendendam tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung.

3. Hasad dengki - amalanya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan.

Thursday, July 2, 2009

Semuanya Tinggal Kenangan







Terasa bagai semalam saya masih berada di sisi mereka, sama-sama menjadi pengemis ilmu di puncak menara gading. Tidak sedar, dari setahun ke setahun saya telah meninggalkan bumi UiTM hampir dua tahun.

Pilu lekas menikam hati. Rasanya saya ingin nokhtahkan di sini sahaja perjuangan di bumi UiTM ini. Jiwa ini terasa mati untuk kembali menjejakkan kaki ke sana. Teringat teman sebilik yang telah menoreh luka di hati ini.

Terasa perit apabila membayangkan wajah mereka. Saya masih menyimpan kenangan yang pahit-pahit bersama mereka. Saya tidak sekali-kali lupa, mereka halang saya solat dengan sengaja memasang lagu di laptop mereka kuat-kuat tidak kira siang atau malam. Hampir gila saya waktu itu.

Bilik saya empat orang penghuni termasuk saya. Dalam bilik saya tu dua orang masih diploma dan saya serta seorang lagi adalah degree. Semuanya masih adik daripada saya. Cuma saya ini di kira junior sebab baru melanjutkan pengajian ke peringkat degree.
Bilik yang agak selesa untuk belajar, dengan segala keperluan lengkap tersedia.

Hari pertama saya melaporkan diri ke asrama, hanya Allah sahaja yang tahu. Saya agak keberatan menyambung pengajian kali ini kerana mengenangkan ma yang kesihatan sangat merosot mutkhir ini. Saat kaki melangkah masuk ke bilik, letak beg baju. Saya tidaklah hairan sangat melihat seorang berseluar pendek paras peha, seorang hanya memakai baju kecil taraf baju dalam sahaja, dan seorang lagi tengah tidur dengan rambut mengerbang dan berwarna kuning.

Hati sudah mula menghidu ketidakselesaan yang bakal terjadi. Namun saya diamkan sahaja kerana melihat kak Hayat yang bersemangat mengangkut barang-barang saya masuk ke bilik bersama anak-anak buah saya.

Tetapi kak Hayat cerdik, dia sangat maklum hati budi adiknya. Sebelum pergi meninggalkan saya di 'bilik' gersang ini, dia sempat membisikkan kalimah berbisanya.

Bermula dari hari itu, langkah-langkah saya di sini adalah hari-hari malang yang sangat menyeksakan hati dan perasaan saya. Terasa diri lunyai dalam mehnah yang tidak mampu diri menanggungnya.

Roomate saya sangat marah sekiranya saya solat dhuha. Katanya saya menganggu dia menonton cerita Korea pada hati cuti hujung minggu. Mereka hendak santai-santai pada hujung minggu.

"Huh, lamanya solat. Nak tengok cerita Korea tak boleh!". Salah seorang roomate saya mendengus keras. Terganggu solat saya.

"Wei, dia solat apa lagi nih? Subuh buta apa?, seorang lagi mencelah.

Sebaik selesai solat saya jawab mereka,
"Haaa, dah selesai. Bolehlah tengok cerita. Solat dhuha 2 rakaat aje".

Mereka diam sahaja. Saya semacam telah merosakkan mood mereka.

Pernah juga apabila diaorang rasa saya solat lama, cepat mereka kuatkan lagu-lagu rock kat PC diaorang agar saya segera menyudahkan solat saya. Sangat berkesan taktik mereka ini. Saya yang sangat terganggu.

Prestasi saya dalam pelajaran sangat menurun. Mereka ada ketikanya tidak tidur dan akan membuat bising hingga larut malam. Ketawa, bergayut di telefon, dengar lagu-lagu rock, lagu-lagu orang putih dengan kuat sangat menyusahkan saya. Setiap kali mahu belajar dan membuat asignment saya selalu akan tumpang di bilik kawan. Apalah daya saya...

Apa yang sangat menyedihkan saya mereka tidak solat lima waktu. Yang rambut kaler kuning tu tak usah cakap, saya pernah tengok ada love bite di lehernya. Saya cuba ditipunya hidup-hidup katanya main gigit-gigit dengan kawan. Masya Allah. Kalau hendak tipu sekalipun agak-agaklah. Benar-benar terasa diri diperbodoh dan diperbudakkan. Apa hendak jadi dengan mereka.

Inikah manusia yang hendak dibanggakan? Hebat akademiknya tetapi kosong dari sudut nilai dan kemanusiaan? Inilah dia manusia-manusia yang lahir dari sistem sekular. Mereka tidak tahu hakikat diri sebagai hamba. Nikmat-nikmat Tuhan mereka dustakan.

"Ayah saya tidak pernah menyuruh saya sembahyang, kenapa awak yang bukan sesiapa kepada diri saya harus nasihatkn saya? Ayah saya tidka pernah menyuruh kami menutup aurat dan ganti puasa kami,kenapa yang nak bersusah-susah tegur?"

Celarunya jiwa dan fikrah mereka. Hati mereka gersang. Anak-anak sebegini adalah dari benih ayah dan ibu yang tidak pernah tahu menilaikan agama dalam kehidupan mereka sendiri. Apabila begini keadaannya, siapakah yang hendak kita persalahkan?

Seorang ayah yang sangat menyayangi anak perempuan atau inilah ayah yang tidak sayang kepada seluruh ahli keluarganya dengan tidak memlihara mereka dari azab api neraka Allah yang panas menbakar lagi menyala-nyala.

Doa dari saya, hidayah untuk mereka.

Pemandangan Sekitar di Hari Pengumuman Calon Yang Bertanding di Manek Urai







Diharapkan parti yang mendukung kebenaran akan diberi kemenangan. Gambar-gambar di atas adalah gambar yg sempat saya snap sewaktu on the way ke Kuala Lumpur hujung minggu lepas setelah beberapa hari bercuti di kampung, jenguk orang tua.
PANDANGAN KEPADA PEREMPUAN ADA 7 JENIS

1.Melihat perempuan yang bukan mahram tanpa ada keperluan- hukumnya adalah haram sama ada bernafsu atau tidak.

2.Melihat isteri atau hamba perempuan.-boleh melihat semua anggotanya kecuali sabahagian ulama mengatakan makruh melihat bahagian kemaluan,adapun memegangnya (istimta’) adalah sunat.

3.Melihat perempuan yang merupakan mahramnya atau hamba perempuannya yang telah berkahwin dengan lelaki lain.-harus pandang anggota selain antara pusat dan lutut.

4. Melihat kerana ingin berkahwin.-harus pandang muka dan kedua tapak tangan.-melihat perempuan sebelum ade hubungan pertunangan lebih disunatkan dari selepas bertunang.-boleh melihat walaupun tanpa pengetahuan perempuan tersebut.

5. Melihat kerana ingin mengubati.-harus pandang di tempat-tempat yang perlu diperiksa jika tidak ada doktor dari jantina yang sama

6. Pandangan untuk tujuan penyaksian.-seperti dalam proses pengecaman penjenayah

7. Melihat kepada hamba perempuan yang ingin dibeli.-harus melihat tempat-tempat yang dikehendaki kecuali di antara paras pusat dan lutut.

(Nur Kitab:Matan Abi Syuja')

Wednesday, July 1, 2009

Kembara Cinta Berkah Siri I


Walaupun sekarang bukan musim cuti sekolah, tetapi ada juga yang masih mengutuskan kad walimah mereka dan saya juga ada menerima undangan perkahwinan dari kawan-kawan sepejabat.

Tahniah kepada kawan-kawan yang telah dan bakal mendirikan 'masjid'. Sesungguhnya pikullah amanah dalam perkahwinan sebagai satu ibadah dengan penuh kesedaran dan keinsafan bahawa kita adalah hamba.

Jangan kita hakis keberkatan dalam sebuah perkahwinan yang suci dengan mencampurinya dengan perkara-perkara yang haram lagi tidak disukai oleh Allah swt. Terhakisnya keberkatan dalam perkahwinan menjadi punca terlerainya ikatan ijab dan kabul kebanyakan pasangan sekarang. Mendirikan 'masjid' bukan atas dasar ibadah, mendirikan 'masjid' bukan atas satu dasar nawaitu yang suci dan murni.

Sudah jadi trend, kita lihat di televisyen kes-kes penceraian artis-artis tempatan bahkan tidak terkecuali ustaz rock mutakhir ini yang mencetuskan kontroversi yang bukan sedikit kesannya kepada minda masyarakat.

Saya tidaklah ingin mengulas lanjut perihal perceraian yang berlaku dalam negara cuma ingin mencari di mana sebenarnya punca yang menyebabkan begitu mudah berlakunya penceraian sekarang ini walhal ia adalah perkara halal yang sangat dimurkai oleh Allah.

Kalau kita perhatikan, majlis perkahwinan dan persandingan sekarang dipenuhi dgn acara-acara yang tidak sepatutnya ada di dlm sesebuah perkahwinan bagi orang-orang Islam. Masyarakat lebih mementingkan adat daripada pandangan syara' dalam perkara berwalimah ini.

Kita masih tidak lupa acara perkahwinan golongan artis yang dipaparkan di majalah-majalah hiburan dan lebih malang lagi, stesyen TV di negara ini berebut-rebut untuk mendapatkan hak penyiaran eksklusif perkahwinan seseorang artis. Perkahwinan mereka mendapat tajaan dari pelbagai pihak. Tajaan busana pengantin yang indah-indah, barangan hantaran yang cantik dan mewah dan macam-macam lagi yang tidak mampu ditulis di sini.

Tidak cukup dengan itu, mereka mengundang para penyanyi kononnya untuk memeriahkan majlis dan menghiburkan sekalian hadirin yang hadir. Ada pula acara memotong kek yang bersadur emas bertingkat-tingkat, menguar-uarkan wang hantaran perkahwinan yang mahal.

Dalam kecelaruan perkara syubhah yang mula mensamarkan pandangan umum masyarakat hari ini, elok kiranya kita kembali kepada pandangan Allah dan Rasul-Nya yang menyebut tentang perkahwinan ini. Janganlah hanya mengikut adat dan suasana sekarang yang masih belum tentu duduk perkara yang sebenar. Kita nilai dan timbang kembali hal yang berkaitan walimah ini menerusi neraca syariat. Sejauh mana kita telah tersasar dari landasan syariat dalam bab-bab perkahwinan ini (atau kita memang golongan yang tidak kisah tentang perkara ini?).

Walimatul urus adalah walimah untuk pernikahan yang menghalalkan hubungan suami isteri dan perpindahan status kepemilikan.
(Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 724, Darus Sunnah)

Teringat Nabi SAW berkata kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf apabila Nabi mengetahui ‘Abdurrahman baru sahaja bernikah:

“Laksanakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Nah, lihatlah bahawa hanya dengan seekor kambing sudah dikira melaksanakan walimah. Di sini bukanlah maksudnya memudah-mudahkan perkahwinan tetapi Islam tidaklah memberati penganutnya untuk berkahwin itu perlu ada duit yang tebal berkepuk-kepuk tetapi cukuplah diadakan walimah itu sekadar kemampuan suami.

Perkahwinan juga dianjurkan mengundnag tetamu yang soleh dan golongan fakir miskin.

“Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya)...”Hadith Riwayat Bukhari

Kita lihat situasi hari ini, golongan fakir miskin dipinggirkan dan ada ketikanya langsung dilupakan. Siapa yang orang beriya-iya menjemput ialah YB-YB di kawasan mereka, orang ternama, orang-orang kaya di kawasan perumahan mereka. Makanan yang dijamukan sewaktu majlis walimah berlangsung ada kalanya dipenuhi dengan pembaziran.

Seterusya para tetamu yang datang bukan mengucapkan doa pengantin baru (ada yang memang tak tahupun doa pengantin baru), malah mengucapkan Selamat Pengantin Baru ala-ala Orang Putih gitu. Itu adalah ucapan yang tidak disyariatkan oleh agama tetapi itulah ucapannya.

“Perkataan ini biasa diucapkan oleh orang-orang jahiliyyah sehingga ucapan ini dilarang.” (Fathul Bari)

Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki- Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(Surah an-Nuur, 24: 21)

“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Nas di atas jelas menunjukkan betapa kita ditegah dari mengamalkan sesuatu perkataan atau perbuatan yang masdarnya bukan dari ajaran syariat. Tetapi malang sekali kita hari ini, semua perbuatan tidak kita sandarkan atas syariat. Kita main ikut sahaja.

Kemungkaran dan Bid’ah Dalam Perkahwinan

Tokok tambah (bid’ah) yang dimaksudkan di sini adalah apa jua tokok tambah yang dikhususkan di dalam majlis walimah yang pada asalnya menurut timbangan agama tidak disyari’atkan. Aturcara walimah (majlis perkahwinan) adalah sebuah ibadah yang disyari’atkan oleh agama melalui Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Di mana di dalam sebuah hadis disebutkan:

“Sebenar-benar perkataan, adalah Kitabullah (al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, seburuk-buruk perkara adalah apa yang diada-adakan di dalam agama, setiap perkara baru yang diada-adakan di dalam agama adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Ujian Kesakitan Juga Anugerah

Lama saya tak update blog. Bukan kerana disibukkan oleh tugasan kerja yang teramat banyak tetapi saya diuji lagi kali ini.

Sejak mengetahui diri menghidap penyakit itu, saya hilang nikmat tidur lena. Saya hilang nikmat bersusah-susah membuat kerja-kerja rumah. Saya tidak lagi mampu membuat kerja-kerja yang penat. Baru sahaja buat sikit, kepenatannya Tuhan sahaja yang tahu. Khidmat kendiri saya semakin terhad.

Kebelakangan ini juga saya selalu saja MC dan EL. Bangun pada pagi hari untuk bersiap-siap ke pejabat amat menyeksakan. Namun walau terasa tidak mampu, saya tetap gagahkan diri bila membayangkan wajah insan-insan tersayang yang masih mengharapkan saya terus kuat.

Saya akan terus tabah! Sesungguhnya ujian kesakitan ini hanyalah secebis kesakitan yang kecil jika dibandingkan dengan ujian kesakitan dan penderitaan para Rasul terdahulu.

Ada ketikanya, saat bangun di kedinginan subuh yang hening, saya menangis sendirian. Saya kini ditarik nikmat untuk solat berdiri. Kecewa dan sedih di hati ini hanya Allah yang tahu.

Rutin bangun awal menjadi realiti yang sangat memeritkan. Ghalibnya saya akan bangun awal pagi di saat penghuni alam belum bangun, mereka masih hanyut dalam gebar selimut mereka, masih asyik dengan mimpi-mimpi indah. Saya terlalu cenderung dalam uzlah di sepertiga malam.

Namun kini, saya menghantar kepiluan di hati dalam lebat air mata yang tumpah di subuh hari.

Hendaknya hati ini terus sabar dan kuat bertahan. Setiap mukmin itu wajib diuji.

Saya yakin, dalam sakit dan derita pasti ada rahmat yang tersembunyi. Nikmat kesihatan ditarik-Nya, banyak lagi nikmat lain yang terus menerus diberikan tanpa sebarang kekurangan.


Ma dan abah,
jangan berhenti berdoa
semoga anakmu ini terus kuat
Kak Hayat, doakanlah adikmmu ini...
salam rindu dari jauh...