Friday, July 31, 2009

Doa Yang Mustajab

Segala puja dan puji tertentu dirafa'kan ke hadrat Allah SWT atas nikmat dan hidayah-Nya yang tidak terhitung. Selawat dan salam buat Rasul Junjungan SAW, cahaya atas cahaya.

Syukur kepada Allah, masih terus dipanjangkan umur dan masih diberi nikmat kesihatan untuk terus melakukan ketaatan kepada-Nya.

Pagi tadi, saya pergi mendengar ceramah agama lagi. Tajuknya 'Tip-tips Doa Dimakbulkan". Bagus tajuk ceramah yang diilhamkan oleh Biro Agama dan Pendidikan ini. Seperti biasa, setiap kali hadir mendengar tentu sekali tidak akan pulang dengan tangan kosong. Ada ilmu yang sangat bermanfaat untuk kita kongsikan bersama.

Hari ini Ustaz Syed Mohd Norhisyam bin Tuan Padang yang menyampaikan ceramah. Orangnya kelakar juga. Lepasan Universiti Yaman tetapi tidaklah saya arif lain-lain berkenaan beliau kerana biodata beliau tidak dinyatakan oleh Tuan Pengerusi.


الدعاء مخ العبادة
(Doa itu otak ibadah)


الدعاء صلاح المؤمن
(Doa itu senjata orang mukmin)
Dalam Surah al Ghaafir ayat 60 Allah berfirman yang mafhumnya:
Dan Tuhan kamu berfirman "Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu".
Di sini Allah menggambarkan bahawa betapa dekatnya Dia dengan hamba-Nya serta betapa pemurahnya Dia kepada hamba-hamba-Nya.
Maha suci Allah, disuruhnya para hamba agar meminta dan berharap hanya kepada-Nya tetapi manusia selalu lupa kepada Dia.
Cuba kita selalu meminta-minta kepada manusia, manusia akan benci kepada kita. Tetapi meminta kepada Allah, Dia akan memakbulkan segala permintaan dan hajat kita.
PERSOALANNYA, SUDAH BANYAK BERDOA TETAPI KENAPA TIDAK DIMAKBULKAN?
Syarat Makbul Doa:
(1) Yakin - Allah Maha Mendengar munajat hamba-Nya
- Allah menepati janji-Nya
(2) Khusyu' - Mengharap
- Menghina diri di hadapan-Nya
(3) Tidak Gopoh - Sabda rasulullah SAW yang bermaksud "Dimakbulkan doa seseorang kamu
selagimana dia tidak gopoh dengan berkata -"Aku telah berdoa kepada
Tuhanku, tetapi ia tidak memakbulkannya"
(Riwayat Bukhari & Musllim)
(4) Makanan, minuman dan segala sumber kewangan adalah halal.
SEBAHAGIAN WAKTU DOA MUSTAJAB
(1) Ketika sujud
(2) Setelah selesai solat fardhu
(3) Sepertiga malam
(4) Di antara azan dan iqamat
(5) Ketika hampir berbuka puasa
(6) Ketika barisan tentera Islam bertembung musuh di medan perang
(7) Doa ibu bapa kepada anak-anak
(8) Doa orang yang dizalimi
(9) Doa orang yang bermusafir
(10) Di Masjidil Haram, Multazam, Maqam Ibrahim, Miizaab
(11) Di Masjid Nabawi, Raudhah
(12) Tawaf, saie, wukuf, mabit dan setiap manasik haji

No comments: