Friday, July 3, 2009

Iktibar Buat Masih Yang Hidup


Salam Jumaat.


Dunia masih lagi hangat dengan berita pemergian seorang bintang Barat, Michael Jackson. Ribuan peminatnya masih lagi menangisi sebuah pemergian yang tidak akan kembali itu. Menyebut tentang Michael Jackson ini, saya punya kenangan yang tersendiri. Waktu saya masih kanak-kanak, saya takut melihat wajahnya seperti hantu yang datang dalam mimpi saya, dengan pucat wajahnya cukup membuatkan saya takut apatah lagi untuk meminatinya.


Secara jujurnya, saya tidak meminati lagu-lagu orang putih ini, malah memang tidak tahu banyak fakta tentang artis-artis barat melainkan sedikit cuma. Mendengar lagu orang putih ibarat menyeksakan jiwa raga sendiri.
Hubby saya juga melarang saya memainkan lagu selain nasyid ketuhanan terutamanya ketika memandu kereta. Katanya jiwanya tidak tenang dan dihambat resah kalau tidak mendengar lagu-lagu yang syar'ie dan dia juga tidak gemar untuk mendengar lagu-lagu yang lagha. Seingat saya, dia pernah cerita, sewaktu masih bersekolah dulu, ada seorang ustaz pernah beritahu bahawa barangsiapa yang mendengar nyanyian yang melaghakan di dunia, maka di akhirat nanti Allah akan mencurahkan cairan timah yang menggelegak ke dalam telinganya. Wallahu'alam.
Saya hormati permintaan dan keinginanya itu. Saya menegah diri dari mendengar lagu selain nyanyian yang disukai suami.


Berbalik kepada pemergian bintang lagenda itu, kisah yang saya baca dalam kisah di sebalik pembedahan plastik yang dilakukan oleh Michael Jackson itu terasa sebuah keinsafan meresap jauh ke sanubari.


Otopsi ke atas mayatnya telah menemukan penemuan-penemuan yang sangat mengerikan. The Sun melaporkan bahawa tidak ada makanan di perutnya kecuali pil - pil. Subhanallah.


Paha, pinggul dan di bahunya ada bekas suntikan yang diyakini sebagai injeksi narkotika penghilang rasa nyeri. Suntikan itu dilakukan tiga kali sehari dan sudah berlangsung bertahun-tahun lamanya. Terdapat juga banyak bekas pembedahan yang kemungkinan adalah hasil dari 13 kali operasi kosmetik.


Tubuhnya mengalami berbagai-bagai kecederaan dari hasil pembedahan plastik yang dilakukannya suatu ketika dahulu. Untuk cerita selanjutnya bolehlah ziarah ke laman http://idhamlim.blogspot.com


Saya tidaklah arif mengenai plastic surgery dan kesannya tetapi hasil otopsi terhadap jenazahnya membuktikan bahawa itulah natijah dari tangan manusia sendiri yang ingin menyanggahi kekuasaan Allah dan ketentuan Allah terhadap batang tubuh seseorang hamba. Dia telah memusnahkan diri sendiri.
Akhir zaman ini, ramai di kalangan kita yang cnderung untuk melakukan pembedahan plastik, suntikan botox, dan lain-lain cara selari dengan kemajuan teknologi. Maka berlumba-lumbalah mereka melakukan pengubahan terhadap bentuk hidung, dagu, rupa wajah mereka, menghilangkan kedutan dan sebagainya. Kononnya untuk menghapuskan tanda-tanda penuaan dan sebagainya. Kedutan dan tanda-tanda penuaan yang adalah fitrah dan bersifap normal. Tetapi itulah manusia, tidak pernah puas.

Inilah manusia yang tidak pernah syukur dengan apa dianugerahkan pada dirinya. Manusia tidak puas dengan kejadian dirinya. Ada yang Tuhan jadikan berkulit gelap mahu berkulit cerah, hidung yang tidak mancung, mahu dimancungkan dan sebagainya. Memanglah kita manusia lemah untuk melawan rasa hati yang kadang-kadang tidak berpuas hati dengan diri sendiri tetapi suara iman itulah yang menjadi benteng untuk tidak memenangkan bisikan dan hasutan syaitan dalam diri.


Siapa yang tidak mahu cantik, siapa yang tidak teringin memiliki kulit putih berseri, hidung mancung, bibir yang mungil lagi kemerahan tetapi itu di bawah kudrat dan iradah Allah. Kita hamba wajib mensyukurinya.


Yakinilah bahawa Allah tidak memandang kepada cantiknya rupa paras, banyaknya harta berkepuk-kepuk tetapi Allah hanyalah memandang kepada amalan dan hati-hati kamu!


Teringat saya kepada insan mulia, harum namanya di langit dan bumi yang namanya tertera di dalam al-Quran, Luqmanul Hakim. Dengan berbibir tebal, kulitnya hitam apalah kelayakannya pada pandangan manusia ramai untuk menghuni syurga andai kecantikan pada pandangan mata manusia dijadikan kayu pengukur, tanda aras untuk memasuki syurga Allah.


Allah yang Maha Hebat telah mengetahui tahap penilaian manusia telah menetap syarat yang tersendiri untuk memasuki syurganya. Usah dicemburui pada mereka yang dianugerahkan kecantikan kerana semua itu adalah nikmat yang dipinjamkan buat sementara cuma. Semuanya akan lebur dan musnah. Tetapi amal soleh, hati yang bertaqwa itulah yang akan kekal kita bawa menuju alam yang kekal abadi.

Tidak usah terpengaruh dengan mereka yang tidak beriman. Sesungguhnya setiap perbuatan yang cuba mengubah ciptaan Allah seperti botox, dan lain-lain kaedah yang ditegah syarak adalah menjanjikan 'hadiah' kehancuran yang bukan sedikit kepada batang tubuh manusia. Maha benarlah larangan-larangan Allah agar manusia tidak mengubah kejadian dirinya melainkan hanya pada bebebapa rukhsah yang disyariatkan seperti mengubah kejadian Allah atas faktor kesihatan yang mana jika tidak diubah akan membawa kemudharatan pada diri.


Pemergian 'Raja Surgery' ini wajar dijadikan iktibar buat mereka yang berhasrat untuk melakukan sepertinya. Saya merenung pemergian beliau dari sisi ini agar diperbanyakkan syukur atas setiap nikmat-Nya. Agar hati ini qanaah dengan setiap kurniaan-Nya dan tidak berkeluh kesah atas pemberian-Nya pada fizikal diri. Setiap larangan dan tegahan Allah kepada umat manusia mempunyai rahsia dan tabir hikmah yang tidak mampu disingkap dengan pemikiran yang dangkal dan pertimbangan fatwa akal semata-mata.

Segeralah kembali kepada Allah kepada yang pernah tersesat memilih jalan!

No comments: