Wednesday, July 1, 2009

Kembara Cinta Berkah Siri I


Walaupun sekarang bukan musim cuti sekolah, tetapi ada juga yang masih mengutuskan kad walimah mereka dan saya juga ada menerima undangan perkahwinan dari kawan-kawan sepejabat.

Tahniah kepada kawan-kawan yang telah dan bakal mendirikan 'masjid'. Sesungguhnya pikullah amanah dalam perkahwinan sebagai satu ibadah dengan penuh kesedaran dan keinsafan bahawa kita adalah hamba.

Jangan kita hakis keberkatan dalam sebuah perkahwinan yang suci dengan mencampurinya dengan perkara-perkara yang haram lagi tidak disukai oleh Allah swt. Terhakisnya keberkatan dalam perkahwinan menjadi punca terlerainya ikatan ijab dan kabul kebanyakan pasangan sekarang. Mendirikan 'masjid' bukan atas dasar ibadah, mendirikan 'masjid' bukan atas satu dasar nawaitu yang suci dan murni.

Sudah jadi trend, kita lihat di televisyen kes-kes penceraian artis-artis tempatan bahkan tidak terkecuali ustaz rock mutakhir ini yang mencetuskan kontroversi yang bukan sedikit kesannya kepada minda masyarakat.

Saya tidaklah ingin mengulas lanjut perihal perceraian yang berlaku dalam negara cuma ingin mencari di mana sebenarnya punca yang menyebabkan begitu mudah berlakunya penceraian sekarang ini walhal ia adalah perkara halal yang sangat dimurkai oleh Allah.

Kalau kita perhatikan, majlis perkahwinan dan persandingan sekarang dipenuhi dgn acara-acara yang tidak sepatutnya ada di dlm sesebuah perkahwinan bagi orang-orang Islam. Masyarakat lebih mementingkan adat daripada pandangan syara' dalam perkara berwalimah ini.

Kita masih tidak lupa acara perkahwinan golongan artis yang dipaparkan di majalah-majalah hiburan dan lebih malang lagi, stesyen TV di negara ini berebut-rebut untuk mendapatkan hak penyiaran eksklusif perkahwinan seseorang artis. Perkahwinan mereka mendapat tajaan dari pelbagai pihak. Tajaan busana pengantin yang indah-indah, barangan hantaran yang cantik dan mewah dan macam-macam lagi yang tidak mampu ditulis di sini.

Tidak cukup dengan itu, mereka mengundang para penyanyi kononnya untuk memeriahkan majlis dan menghiburkan sekalian hadirin yang hadir. Ada pula acara memotong kek yang bersadur emas bertingkat-tingkat, menguar-uarkan wang hantaran perkahwinan yang mahal.

Dalam kecelaruan perkara syubhah yang mula mensamarkan pandangan umum masyarakat hari ini, elok kiranya kita kembali kepada pandangan Allah dan Rasul-Nya yang menyebut tentang perkahwinan ini. Janganlah hanya mengikut adat dan suasana sekarang yang masih belum tentu duduk perkara yang sebenar. Kita nilai dan timbang kembali hal yang berkaitan walimah ini menerusi neraca syariat. Sejauh mana kita telah tersasar dari landasan syariat dalam bab-bab perkahwinan ini (atau kita memang golongan yang tidak kisah tentang perkara ini?).

Walimatul urus adalah walimah untuk pernikahan yang menghalalkan hubungan suami isteri dan perpindahan status kepemilikan.
(Imam Muhammad bin Ismail ash-Shan’ani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 724, Darus Sunnah)

Teringat Nabi SAW berkata kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf apabila Nabi mengetahui ‘Abdurrahman baru sahaja bernikah:

“Laksanakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Nah, lihatlah bahawa hanya dengan seekor kambing sudah dikira melaksanakan walimah. Di sini bukanlah maksudnya memudah-mudahkan perkahwinan tetapi Islam tidaklah memberati penganutnya untuk berkahwin itu perlu ada duit yang tebal berkepuk-kepuk tetapi cukuplah diadakan walimah itu sekadar kemampuan suami.

Perkahwinan juga dianjurkan mengundnag tetamu yang soleh dan golongan fakir miskin.

“Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya)...”Hadith Riwayat Bukhari

Kita lihat situasi hari ini, golongan fakir miskin dipinggirkan dan ada ketikanya langsung dilupakan. Siapa yang orang beriya-iya menjemput ialah YB-YB di kawasan mereka, orang ternama, orang-orang kaya di kawasan perumahan mereka. Makanan yang dijamukan sewaktu majlis walimah berlangsung ada kalanya dipenuhi dengan pembaziran.

Seterusya para tetamu yang datang bukan mengucapkan doa pengantin baru (ada yang memang tak tahupun doa pengantin baru), malah mengucapkan Selamat Pengantin Baru ala-ala Orang Putih gitu. Itu adalah ucapan yang tidak disyariatkan oleh agama tetapi itulah ucapannya.

“Perkataan ini biasa diucapkan oleh orang-orang jahiliyyah sehingga ucapan ini dilarang.” (Fathul Bari)

Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorang pun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki- Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(Surah an-Nuur, 24: 21)

“Berhati-hatilah kamu terhadap perkara-perkara yang baru di dalam agama. Setiap perkara yang baru (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Nas di atas jelas menunjukkan betapa kita ditegah dari mengamalkan sesuatu perkataan atau perbuatan yang masdarnya bukan dari ajaran syariat. Tetapi malang sekali kita hari ini, semua perbuatan tidak kita sandarkan atas syariat. Kita main ikut sahaja.

Kemungkaran dan Bid’ah Dalam Perkahwinan

Tokok tambah (bid’ah) yang dimaksudkan di sini adalah apa jua tokok tambah yang dikhususkan di dalam majlis walimah yang pada asalnya menurut timbangan agama tidak disyari’atkan. Aturcara walimah (majlis perkahwinan) adalah sebuah ibadah yang disyari’atkan oleh agama melalui Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Di mana di dalam sebuah hadis disebutkan:

“Sebenar-benar perkataan, adalah Kitabullah (al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, seburuk-buruk perkara adalah apa yang diada-adakan di dalam agama, setiap perkara baru yang diada-adakan di dalam agama adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)

No comments: