Friday, July 3, 2009

Senator Mumtaz Md Nawi Ikon Muslimah




Puan Hajah Siti Zailah dan Ustazah Wan Ubaidah Wan Omar juga bekas seorang Senator satu masa dahulu

Saya terpasung dan terpaku melihat langkah Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff wakil rakyat Rantau Panjang, tampang tubuhnya kelihatan menghala masuk ke Dewan Rakyat. Dahulunya beliau adalah senator namun pada penggal kali ini beliau bertanding untuk kawasan Parlimen Rantau Panjang dan menang untuk kawasan tersebut. Dalam berat kakinya yang sakit itu melangkah, amanah terhadap rakyat nyata tidak dipandang mudah. Mendengar lantang suaranya membangkitkan masalah rakyat di kawasan beliau di sidang Dewan Rakyat pada petang Khamis dalam pukul 4.15 macam tu, semacam langsung tidak terkesan dengan sakit kaki beliau (tidak pula saya tahu apa kaki beliau kenapa). Yang nyata dia terhinjut-hinjut berjalan di lobi Parlimen. Dalam lantang suara beliau, saya tenggelam dalam kenangan hari semalam yang masih subur di jiwa.



Awal tahun 2002, di Nadwah Kepimpinan Nuqaba’ bertempat di JKR405, Pengkalan Chepa, saya masih ingat suara lantang milik beliau memberi pengisian pada satu slot di program itu. Orangnya tetap sama, suara yang sama, nada yang sama, cuma masa telah memamah kemudaan waktu itu. Ya Allah, cepatnya waktu berlalu. Tanpa sedar, saya telah dewasa kini. Terasa bagai semalam saya khusyuk mendengar mutiara ilmu yang beliau curahkan kepada generasi pelapis naqibah jadid. Namun hakikat hari ini, saya bukan orang yang terlibat secara langsung dalam dunia daie namun diri ini masih menjadi pendukung perjuangan Islam yang suci.


Saya dipagut rindu yang teramat sangat pada negeri kelahiran tercinta, rindu pada Maahad, rindu pada ustaz dan ustazah, rindu pada sahabat seperjuangan, rindu biah yang dahulu. Saya rindu pada Hasanah, Aisyah, Aminatul Hidayah, saat sama-sama menjadi pencinta ilmu yang tidak pernah jemu melangkahkan kaki ke tempat Tuan Guru mengajar pada setiap hari Jumaat di Kota Baharu. Pagi Jumaat dan hujung minggu, kami habiskan dengan penjadi pencari ilmu. Kembara kami yang tidak pernah usai. Masing-masing punya cita-cita tersendiri dan langsung kini kami terpisah kerana ghoyah kami yang tersendiri.


Biar masa dan waktu memisahkan kebersamaan kami, namun sekeping hati tidak pernah melupakan semua kenangan yang pernah tercipta, menjadi jundi-jundi kecil, mencipta jejak-jejak kenangan yang tersendiri.


Allah, kenangan silam yang kian hilang. Keindahannya hanya terlakar di ingatan. Melihat kehidupan dari dua sisi, sukar untuk saya jelas perasaan hati ini. Mujahadah melawan perasaan antara mazmumah dan mahmudah menjadikan saya tersepit dan terdesak. Lorong yang susah dan payah. Hidup dalam persekitaran yang terpencil memenjarakan saya dalam kabut perasaan sendiri


Begitu juga setiap kali sepasang mata ini melihat Senator Puan Hajah Mumtaz binti Md. Nawi yang lantang bersuara di sidang Dewan Negara membangkitkan perihal kehidupan rakyat dan permasalahan ummah namun sayang seribu kali sayang, hanya hati-hati yang ‘jaga’ sahaja mahu mengakui kebenaran di sebalik kata-kata beliau yang selalunya ilmiah dan bernas.


Kahwin dan mendapat anak di masa belajar di AIKOL UIAM, namun tetap menjadi figure Anugerah Dekan di pentas akademik dan figura politikus menggugat ketika bersama memimpin MPP UIAM sehingga mampu berbahas dengan Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim. Itulah kehebatan beliau yang boleh dijadikan qudwah dan ikutan.


Dengan Puan Hajah Mumtaz juga saya mempunyai kenangan yang tersendiri. Pendek kata kami dari negeri Kelantan terutamanya pelajar aliran agama sudah biasa dengan pemimpin berjiwa rakyat di sana. Semua ustaz dan ustazah jenguk gelanggang termasuk dua nama di atas.


Kenangan saya dengan Puan Hajah Mumtaz pula ialah sewaktu di Kursus Kenegaraan anjuran Yayasan Islam Kelantan di Kem Kok Keli, Tumpat pada bulan April 2007 bagi sekolah-sekolah agama untuk peringkat zon 8, waktu itu saya cuti semester dan sempat menjadi AJK pelaksana bagi program ini atas jemputan Ustazah Wan Faizah dari SMU(A) Maahad Muhammadi Pasir Mas. Terasa masih terdengar-dengar di telinga suara beliau menyampaikan ceramah. Sangat berkesan di jiwa saya. Selaku anak Kelantan saya juga turut bangga dan sangat kagum dengan keperibadian beliau.


Setiap kali saya berkesempatan melihat kelibat beliau di lobi Parlimen, atau di coffee room Dewan Negara, kenangan yang sekelumit cuma bersama beliau pasti kembali menari-nari di ruang mata. Betul kata sahabat saya, kita tidak boleh hidup dengan kenangan sahaja namun apakah lagi kenangan manis yang saya ada selain dari itu?


Namun Tuhan tidak membiarkan pejuang sendirian. Kelantangan suara-suara mereka bagaikan gong yang dipalu, menyedarkan hati-hati yang ‘tidur’. Semoga Allah selalu memberkati hidup para pejuang dan menghancurkan pakatan kejahatan musuh-musuh-Nya.


No comments: