Wednesday, July 1, 2009

Ujian Kesakitan Juga Anugerah

Lama saya tak update blog. Bukan kerana disibukkan oleh tugasan kerja yang teramat banyak tetapi saya diuji lagi kali ini.

Sejak mengetahui diri menghidap penyakit itu, saya hilang nikmat tidur lena. Saya hilang nikmat bersusah-susah membuat kerja-kerja rumah. Saya tidak lagi mampu membuat kerja-kerja yang penat. Baru sahaja buat sikit, kepenatannya Tuhan sahaja yang tahu. Khidmat kendiri saya semakin terhad.

Kebelakangan ini juga saya selalu saja MC dan EL. Bangun pada pagi hari untuk bersiap-siap ke pejabat amat menyeksakan. Namun walau terasa tidak mampu, saya tetap gagahkan diri bila membayangkan wajah insan-insan tersayang yang masih mengharapkan saya terus kuat.

Saya akan terus tabah! Sesungguhnya ujian kesakitan ini hanyalah secebis kesakitan yang kecil jika dibandingkan dengan ujian kesakitan dan penderitaan para Rasul terdahulu.

Ada ketikanya, saat bangun di kedinginan subuh yang hening, saya menangis sendirian. Saya kini ditarik nikmat untuk solat berdiri. Kecewa dan sedih di hati ini hanya Allah yang tahu.

Rutin bangun awal menjadi realiti yang sangat memeritkan. Ghalibnya saya akan bangun awal pagi di saat penghuni alam belum bangun, mereka masih hanyut dalam gebar selimut mereka, masih asyik dengan mimpi-mimpi indah. Saya terlalu cenderung dalam uzlah di sepertiga malam.

Namun kini, saya menghantar kepiluan di hati dalam lebat air mata yang tumpah di subuh hari.

Hendaknya hati ini terus sabar dan kuat bertahan. Setiap mukmin itu wajib diuji.

Saya yakin, dalam sakit dan derita pasti ada rahmat yang tersembunyi. Nikmat kesihatan ditarik-Nya, banyak lagi nikmat lain yang terus menerus diberikan tanpa sebarang kekurangan.


Ma dan abah,
jangan berhenti berdoa
semoga anakmu ini terus kuat
Kak Hayat, doakanlah adikmmu ini...
salam rindu dari jauh...

No comments: