Friday, February 5, 2010

Dunia Baru

Pertamanya marilah kita mengucapkan setinggi syukur ke hadrat Allah SWT atas limpahan rahmat serta kasih sayang-Nya, atas nikmat pinjaman umur yang masih terus diberikan ini. Selawat dan salam buat rasul junjungan SAW serta ahli keluarga baginda seluruhnya.


Lama saya biarkan blog ini sepi. Bukan tidak ada entry baru yang hendak ditulis tapi kekadang dihambat bermacam waajibat dan taklifan kehidupan yang berbagai. Namun, kali ini syukur alhamdulillah, diberi sedikit ruang masa oleh Allah untuk terus gagah menulis walau tidak lagi seaktif dahulu. Tetapi tidak mengapa, sekurang-kurangnya nikmat masa ini dimanfaatkan sebaiknya.

Debar dalam dada hanya Allah sahaja yang mampu memahaminya. Kepada Allah diserahkan segala ketidakmampuan dan kelemahan diri ini. Saya dan suami menyorok debar dalam dada menempuh hari-hari seperti biasa walau ada sedikit dedar menanti kelahiran cahaya mata sulung tidak berapa lama lagi. Sahabat semua, doa-doakanlah.


Teringat sabda Nabi SAW "Wahai para ibu, tahukah kamu diberi ganjaran kerana mengandung daripada suami kamu yang sah itu? Allah samakan dengan pahala berjihad di jalan Allah! Pahala yang diterimanya kerana menanggung kesakitan ketika bersalin terlalu banyak hingga tidak berupaya kita mengiranya. Setiap satu tegukan si bayi dari susu ibunya akan diberi balasan satu kebajikan. Apabila si ibu tidak tidur semalaman kerana menjaga anaknya yang sedang sakit, maka Allah akan memberi balasan pahala kepadanya sebanyak pahala memerdekakan 70 hamba dengan niat yang semata-mata kerana mengamalkan ajaran Islam".

Hadith tersebut telah diriwayatkan oleh beberapa orang; yang seorang daripada mereka ada kaitannya dengan kerja menyusukan anak Nabi yang bernama Ibrahim, yakni Salamah. Kemudian, selain Salamah, hadith itu turut diriwayatkan oleh Al-Hassan bin Sofwan, Thabrani dan Ibnu al-Sahir.

Sungguh besar Islam memartabatkan ibu sebagai insan yang melahirkan umat manusia ke muka bumi ini. Saat diri dalam keadaan begini, terasa jiwa sayu mengenangkan mak. Ada garis keinsafan dan muhasabah yang hadir di wadi hati. Beginilah kesusahan dan kepayahan mak membesarkan anak-anak. Mengandung dan melahirkan, tidak cukup dengan itu memberikan pendidikan dan tarbiyah agar anak menjadi insan mulia dalam erti kata lain menjadi khalifah Allah yang memakmurkan bumi ini dengan keindahan dan kesantunan akhlak yang terpuji.

Paling tidak, saya mengharapkan Allah berikan saya ketabahan seperti mak membesarkan saya walau dalam kesederhanaan, alhamdulillah saya tumbuh menjadi insan yang dapat mengingati besar jasa dan pengorbanannya. Mohon agar di beri hidayah, kesabaran dan selalu dipandu serta dipimpin oleh-Nya dalam mendidik anak-anak anugerah Allah kepada rumah tangga kami. Mengharapkan akan lahirnya anak-anak yang soleh dan solehah sebagai penyeri, menyejukkan mata, sebagai jilul quran, memenuhi dada mereka bukan hanya dengan pembangunan duniawi malah lebih daripada itu terbangunnya ruhiyyah mereka dengan ilmu mengenal Allah sebagaimana yang pernah saya dapat dan lalui di waktu kecil-kecil dahulu.

Sungguh zaman telah beredar dan bertukar, tidak sama lagi waktu kita kecil dengan zaman anak-anak kita sekarang. Cabaran zaman sekarang tidak mudah untuk dihadapi. Namun saya ingat pesan mak, agama menjadi nadi tarbiyah, agama menjadi tunggak 'mengikat' akhlak anak-anak. Didiklah anak-anak mengikut acuan agama, insya Allah mudah melenturnya. Saya yakin dengan kata-kata itu. Saya telah melihat bukti dan kejayaan formula tarbiyah mak dan abah terhadap anak-anaknya di depan mata kepala ini. Tanpa bukti yang sangat soreh dan nyata ini, tentu sukar juga kita manusia (manusia akhir zaman memikirkan semua perkara hanya mengikut logik akal mereka sahaja padahal tidak semua perkara mampu difikirkan dengan akal yang mana keupayaan akal memang jelas amat terbatas sekali) mahu menerima dan mempercayainya.

Maha benar sabda nabi-Mu, tidak akan sesat selamanya bagi orang yang berpegang teguh kepada al-Quran dan hadith. Saya yakin, cabaran dan mehnah yang melanda kehidupan umat manusia adalah dari Allah dan Allah sudah tentunya punya penawar, ubat, jalan keluar atas tiap sesuatu permasalahan. Usah risau, usah khuatir, tenanglah hati. Allah tidak akan membiarkan hamba-hamba-Nya sendiri tanpa dibimbing dan dibantu-Nya. Saya yakin dan percaya itu.

Memikirkan cabaran dan masa depan zuriat akan datang, usahakanlah yang terbaik, didik dan tarbiyahlah mereka mengikut acuan sunnah yang betul. Saya merasa sangat belas dan sayu melihat ibu bapa yang amat sayangkan anak-anak dengan dipenuhi segala keperluan dan hajat keduniaan anak-anak mereka tetapi fitrah anak-anak itu tidak dipenuhi malah diabaikan begitu sahaja. Hati mereka gersang dan tandus, jauh dari Tuhan.

Semoga Allah pimpin dan beri mereka hidayah. Anak-anak anugerah Allah, coraklah mereka dengan sebaiknya. Jangan hanya pandai melahirkan anak tetapi jahil untuk mentarbiyah mereka menjadi anak yang soleh. Didiklah mereka sedari kecil, kenalkan dengan Tuhan pencipta mereka. Jangan ajar mereka jadi manusia yang sombong kepada Tuhan. Jangan kita menjadi ibu bapa yang menyesal di hari-hari tua mengenangkan silap merencana dan mendidik anak-anak di waktu kecil mereka.


Rabb, kurniakanlah kami zuriat keturunan yang soleh lagi bertaqwa kepada-Mu. Pimpinlah kami dan jangan biarkan kami menentukan nasib diri kami sendiri walau dengan kadar sekelip mata. Engkaulah Tuhan yang berhak disembah, maha suci Engkau dan tidak ada Tuhan selain Engkau! Amin.

No comments: