Wednesday, July 7, 2010

Nostalgia:Terima Kasih Allah

Muhammad Najmie berusia 2 hari


Lama membiarkan ruang ini  sepi tanpa bicara. Lewat kebelakangan ini, saya tiada upaya hendak post entry baru. Rutin baru yang sedang dihadapi menjadikan masa sedikit pendek terasa. Mengurus si kecil, menyediakan keperluan baba ke sekolah setiap hari mudah-mudahan diri dibekalkan kekuatan selalu agar usrah kita sentiasa dalam mawaddah, sakinah dan rahmah. Teringat kenangan melahirkan Muhammad Najmie.



Tugas serta pentaklifan melahirkan seorang khalifah Allah ke muka bumi ini bukanlah tugas yang calang-calang digalaskan ke bahu para ibu dan ummi. Segala puja puji kepada Allah, memberi ibu-ibu kekuatan melahirkan zuriat, memberi kemampuan untuk menahan sakit dan menahan segala penderitaan dan kesengsaraan semasa mengandung, melahirkan dan selepas proses kelahiran. Maha suci Allah....hebat sungguh kekuasaan-Mu ya Rabb!

Masih jelas dingatan, due date yang tertera di buku merah adalah 30/3/2010. Habib memaksa saya untuk pulang ke kampung seminggu lebih awal tetapi hati ini berat sahaja mahu menuruti akan tetapi saya pasrah dan mengikut sahaja apa yang terbaik pada fikiran habib ditambah pula beban kerja saya yang terkadang membuatkan saya lemah untuk berfikir tentang diri sendiri . Habib seakan mampu menduga, isterinya akan awal melahirkan.

Setelah saya berjaya memohon menggunakan cuti bersalin lebih awal dari tarikh jangka bersalin, tanpa berlengah terus bertolak pulang ke kampung laman tercinta. Sejak mengandung, saya jarang pulang ke kampung.Namun atas rahmat Allah,bersalin ini rupanya membawa rahmat terselindung,memberi kerehatan,memberi waktu bertenang, kembali mengurus diri dan keluarga!.

Takdirnya,Alhamdulillah sepanjang perjalanan pulang ke kampung pada 26/3/2010 terasa sangat tenang. Tidak langsung terasa letih, susah dan payah. Perut yang sarat seolah-olah bagaikan ringan sahaja. Kata habib walau nampak sudah berat hendak melangkah tetapi katanya saya nampak aktif sahaja. Habib tak tahu, dalam hati saya tidak putus-putus berdoa semoga segala urusan dipermudahkan. Perasaan waktu itu tak usah cakap, memang mula merasa tak keruan, serba tak kena. Namun kepada Allah dikembalikan rasa resah gelisah diri.
Balik kali ini, saya habiskan masa di rumah saya. Pesan habib selepas bersalin nanti saya akan habiskan masa berpantang di rumahnya pula. Seingat saya, dalam dingin subuh 27/3/2010 saya merasa sakit yang 'ringan' di perut. Ma dan abah waktu itu mahu lekas ke surau solat subuh berjemaah, habib juga. Adik-adik saya yang berdua masih tidur, sudah berkali mak kejutkan tetapi tak terbangun juga. Saya cepat mengadu pada ma. Melihat keadaan saya, mulanya ma tak jadi pergi surau tetapi akhirnya habib yang ambil keputusan untuk solat di rumah sahaja temankan saya yang mungkin telah sampai masa.
Selepas sedikit sakit pada subuh-subuh hari, usai solat subuh dan bermathurat kesakitan langsung sudah tidak ada. Malah sepanjang hari itu saya sempat lagi temankan habib membeli lauk di pasar. Sempat saya berceloteh panjang dengan ma, tunjukkan barang keperluan baby dengan ma dan ma mulalah dengan kisah waktu dia melahirkan kami dolu-dolu. Hehehee, manisnya saat itu.
Maghrib itu, setelah habib balik dari surau kami langsung ke rumah habib. Katanya dia mahu isya' di sana, bertemu mata kawan-kawan lamanya di masjid. Habib kata akan bermalam di sana. Saya menurut sahaja. Waktu itu saya sudah mula merasakan kesakitan yang sama seperti subuh pagi tadi. Kali ini rasanya makin menjadi-jadi. Allah....Allah....
Sebaik azan isya' berkumandang dari menara masjid, saya masih berteleku atas sejadah. Rutin saya akan mengerjakan solat sunat hajat selepas solat maghrib. Hari itu saya tidak terbuat maghrib tadi lantaran habib mahu cepat.
Saya tertidur atas sejadah. Saya terjaga saat mula merasa kesakitan yang semakin kerap. Sedar yang saya belum solat segera bersolat. Saya berfikir sendiri mungkin sudah sampai masanya sungguhpun awal dari due dua hari. Saya solat hajat agar mudah proses kelahiran andai telah sampai masanya. Hati berdebar-debar. Pengalaman pertama....hehehe

Terkenang saat sebelum ini, habib banyak mengajar itu dan ini, memberi sokongan yang padu. Sanggup menahan sikap dan fi'il saya. Ramadhan yang lalu saya langsung tidak boleh masuk dapur, apatah lagi untuk memasak. Saya tidak punya kudrat untuk itu. Sebulan Ramadhan 1430H yang lalu saya hilang selera makan,nikmat yang diuji....Maafkan zaujah mu ini habib....
Sesekali dia bacakan Yassin sambil mengusap perut. Ada juga saat saya terlalu letih terlelap di sisinya, lunak suaranya mengalunkan kalamullah menjadi mantera tidur saya. Teringat kenangan kami saat melihat gerakan baby kami berkali memanggilnya Ahmad...Ahmad....mudah-mudahan zuriat yang lahir nanti menjadi insan soleh dan bertaqwa kepada Allah. Tidak tahulah fakta sebenar, abah(ayah habib) kata rajin-rajinlah usap janggut suami. Ianya menjadi ubat selusuh, memudahkan bersalin nanti. Ini pun saya amalkan. Teringat juga cerita abah waktu saya kecil-kecil dulu,saya suka pegang janggut sejemput abah. Abah kata, para bidadari bermain dijanggutnya....

Sepanjang mengandung saya mengamalkan doa-doa, surah-surah yang dianjurkan untuk dibaca. Banyak bertenang dan rehat. Kata habib, solat sunat itu selalu amalkan....

Sebaik segalanya usai, saya kejutkan habib yang sudah terlena. Dia segera bangkit dan mahu segera ke hospital. Semua yang tertidur terjaga, ma mengusap perlahan perut saya, mengajar beberapa doa dan memberi pesan sebelum kami ke hospital. Ma nak ikut tetapi habib kata tak perlulah. Biarlah selamat bersalin dahulu baru ma boleh datang. Lagi pun waktu itu sudah pukup 1 pagi. Baik tunggu di rumah sahaja.
Kami sampai di hospital pukul 1.30 pagi pada 28/3/2010. Saat itu,bukaan baru 4cm. Sebaik dipecahkan ketuban selepas beberapa ketika saya disuruh ready masuk labour room.  Mungkin tak de orang sangat,sebab tu sudah disuruh masuk. Pukul 2 pagi masuk labour room.

Setinggi-tinggi syukur kami rafa'kan ke hadrat Ilahi, tepat pukul 2.31 pagi lahirlah zuriat sulung kami, bintang hati yang ditunggu-tunggu seisi keluarga. Saat tangisan si kecil kedengaran di telinga,lafaz tasbih dan tahmid bergema dalam dada. Terima kasih Allah..terima kasih Allah....

Jazakallahu khairan jaza' buat habib tercinta, menemani saat perjuangan sedang berlangsung.
Kini semuanya tinggal kenangan indah yang terpahat di wadi hati. Terima kasih Tuhan atas rahmat dan kasih sayang-Mu. Indahnya dapat merasai susah dan sakitnya mengandung, melahirkan dan mentarbiah anak-anak cahaya mata.