Monday, September 27, 2010

SEKUNTUM DOA
Oleh : wardah al basri
~2008~


Zulkarami menyimpan rajuk jauh di sudut hati kecilnya. Tiada guna lagi memujuk hati yang patah. Apa ertinya terus berharap, terang lagi bersuluh tiada apa lagi yang dapat mengharumi seluruh taman hati yang kian dilanda resah. Alunan zikir dedaunan pada saat ini mungkin masih bisa membias sedikit ketenangan. Rajuk yang entah bila akan surut. Penat dan sedih memikirkan perasaan yang telah menghuni di hati sejak melihat Anesa terlantar 2 minggu yang lalu. Betapa sekuntum cinta buat Anesa telah membenam sejuta kesakitan buat dirinya. Terlalu tidak berdaya menghadapinya. Kerana setulus kasih yang diberikan, menjadi terlalu azab dirasakan. Direlakan segalanya buatmu Anesa…. Tidak diingini semuanya terjadi, namun takdir yang hadir benar-benar menguji kekuatan iman. Pugah meniti kesakitan di hujung penantian. Menanti dan terus menanti, menjadikan detik waktu terasa terlalu perlahan berlalu.

Mengimbau detik manis saat pertemuan ditentukan orang tua 5 bulan yang lalu. Terlalu manis saat itu untuk dikenangkan. Ada rasa cinta yang mula menyala dan membahang. Anesa anak tunggal perempuan Mak Long Haji Deraman yang baru pulang dari Timur Tengah dan bertugas sebagai pendidik diperkenalkan kepadanya. Zulkarami tahu, hatinya terpikat saat kali pertama menatap wajah halus itu lewat pertemuan mereka di petang Aidilfitri yang sungguh indah dan berkat. Ada rasa syukur yang melimpah lantaran pertemuan yang tidak terduga. Menurut mak, mengapa tidak, Anesa di sana 7 tahun. Namun pulangnya, dia masih berwajah mungil seperti 7 tahun sebelumnya. Malah lebih cantik, anggun bertudung dan sopan. Terasa bertuah mengenali gadis sesantun Anesa.

Peribadinya lembut dan penyayang paling menambat hati Zulkarami. Anesa seorang yang pendiam namun suka tersenyum. Tidak banyak karenah dan terlalu baik untuk dijadikan kawan. Dia jarang sekali bercerita tentang dirinya. Lebih banyak mendengar daripada berbicara. Kadang-kadang Zulkarami jadi keliru, sebenarnya Anesa suka atau tidak tentang sesuatu perkara kerana terlalu sukar membaca isi hati gadis manis Anesa. Mak Long pernah menceritakan perubahan Anesa sejak pulang dari Mesir. Mengikut Mak Long, Anesa semakin pendiam dan suka menyendiri. Tidak lagi peramah dan suka bergaul. Namun di sebalik perubahan yang diceritakan Mak Long, Zulkarami merasakan Anesa tetap ceria dan mesra.

Kerana tugas, mereka terpaksa berjauhan. Anesa di Sarawak dan dia di Semenanjung. Oleh kerana begitu begitu keadaannya, kedua keluarga bersepakat untuk menyatukan mereka dengan segera. Namun tentangan dari pihak Anesa sendiri menyulitkan hasrat murni kedua belah pihak. Zulkarami terdiam, tidak mampu berbuat apa-apa. Yang empunya badan nampaknya enggan. Patutlah Anesa agak tidak selesa tiap kali diajak berbicara tentang pernikahan mereka. Pada sangkaan baik Zulkarami, mungkin Anesa belum bersedia memulakan fasa baru dalam hidupnya untuk bergelar isteri. Ada ketikanya, runtunan hati lelakinya terlalu rindu, menggamit perasaannya pada Anesa tiap kali berjauhan. Badai cinta menghempas kuat di pergigian hati. Walau dibariskan di hadapannya barisan bidadari yang anggun dan cantik, Anesa jua yang menjadi idaman dan impiannya. Tiada yang mampu menghapus kesetiaan kasihnya buat Anesa. Sesuci telaga kauthar, begitulah segar dan nyali benih cintanya buat puteri hati Anesa.

Lantaran keengganan Anesa untuk disatukan, Pak Long berkeras mahu Anesa ditunangkan juga dengannya. Berat dan payah Anesa menerimanya. Namun kehendak orang tua, sukar untuk ditolak.  Dalam majlis yang sederhana, mereka ditunangkan tanpa senyum manis sang permaisuri. Namun lafaz kesyukuran tetap bergema dalam dada, biiznillah Anesa akan menjadi sayap kiri hidupnya suatu waktu yang ditentukan Tuhan kelak. Kata-kata ayah selalu bermain di ingatan,
“Jodoh itu sama seperti ajal, bukan di tangan insan tapi ketentuan Tuhan pada waktu yang tidak diketahui”.
Doanya, biar ada jodoh untuknya sehidup semati bersama Anesa.

Berkah pagi Jumaat yang mulia menjadi kacau sebaik terdengar suara mak tersedu-sedan di hujung talian. Kusut fikiran Zulkarami sebaik terdengar perkhabaran duka daripada mak. Dia mengambil cuti emergency dan tanpa berlengah pulang ke kampung. Pada fikirannya mengapa sampai hati Pak Long sekeluarga memutuskan ikatan pertunangannya dengan Anesa. Dia tidak pernah mendesak jauh sekali memaksa keluarga Pak Long mempercepatkan walimah. Tapi kenapa secara tiba-tiba sahaja pertunangan mereka diputuskan tanpa sebab. Punah perasaannya saat itu.

Sebaik sampai di rumah Pak Long, suasana agak hingar-bingar. Kebetulan Anesa juga baru juga sampai dari Sarawak sebaik menerima panggilan dari ayahnya minggu lalu. Dia terpinga-pinga tidak mengetahui apa sebabnya sehingga diarah pulang dengan segera. Masih bugar diingatan Zulkarami, Pak Long menampar pipi gebu Anesa. Simpatinya buat Anesa melimpah. Merah padam muka Pak Long menahan marah. Semuanya gara-gara Pak Long terjumpa laporan perubatan Anesa sewaktu berada di Timur Tengah. Luluh hatinya, hancur berkecai. Kertas putih itu digengam Pak Long. Anak yang disangkanya baik,  berakhlak dan berilmu rupanya telah menconteng arang ke mukanya. Laporan kesihatan menunjukkan Anesa positif HIV!. Asstaghfirullah… Itulah rupanya asbab pertunangan diputuskan serta-merta. Kala itu Zulkarami terduduk, termanggu merenung jauh ke dalam diri, bermain dengan seribu kemusykilan yang tiada jawapan. Ketakutan dan kegelisahan Anesa tentang kesudahan sebuah pernikahan bersebab. Tentu menderita fitrah kewanitaannya, Tuhan…. Jangan biarkan beban mehnah mematikan imannya..


                        *                       *                       *                       *                       *

            Sejak Anesa tidak sedarkan diri dan dirujuk ke hospital, Zulkarami bingung. Sekalipun tidak dijenguknya Anesa di hospital. Bukan kerana benci tapi terasa dirinya berada di persimpangan. Antara 2 jalan yang harus dipilih. antara janji terhadap sang kekasih atau kebenaran yang harus diketahui semua pihak. Malam-malam yang dilalui kini penuh dengan harap, Tuhan menunjukkan jalan untuknya. Tamatkanlah segera kesedihan semua. Buat Pak Long sekeluarga, mak dan ayah, bersabarlah. Kebenaran akan terbentang juga nanti.
            Anesa tidaklah seperti yang kita semua fikirkan. Pak Long usah bersedih Anesa begitu kondisinya. Dia tetap anak Pak Long yang solehah!. Namun lumrah yang beriman, kekuatan taqwanya harus diuji. Dan Anesa diuji. Setabah Maryam yang mengandung tanpa bersuami, sekuat itulah ketabahan yang dipertahankannya. Kita berbangga kerana pernah menyayanginya Pak Long!. Berbahagialah Pak Long dan Mak Long, doa kalian mustajab. Anesa anugerah terindah yang sa’adah. Sewaktu menuntut di sana, Anesa telah terlibat dalam kemalangan jalan raya yang membabitkan 4 rakannya yang 3 daripadanya meninggal dunia. Dan dia yang bertuah dapat diselamatkan hasil pemindahan darah dengan segera daripada temannya yang tidak dikenali. Detik kehidupan yang kembali dimiliki rupanya memulakan bersamanya suatu penderitaan yang tidak tertanggung. Dari situlah dia memperolehi HIV. Aduhai Anesa…. Ujian itu sifatnya pahit kerana hakikat syurga itu manis. Bersabarlah…

            Zulkarami tetap menerima Anesa walau bagaimana keadaannya. Malah simpatinya melebar seluas sungai Furat. Seberkat Ajwah, Anesa tetap hidup di wadi hatinya. Tidak adil untuk kita menghukum sebelum mengadilinya. Tuhan maha tahu atas segala kehendak-Nya. Biarkan nostalgia semalam beransur tua. Usah dikenang hal-hal pahit yang mendera sukma. Kita semua harus kuat demi Anesa. Kalau Allah menyayanginya mengapa kita manusia pula yang perlu rasa benci. Rajuk ini akan cuba dihapuskan. Sedikit rasa terkilan di hati Zulkarami masih berbaki kerana Anesa terlewat memaklumkan perkara ini, setelah banyak hati terguris luka dan banyak harapan yang telah punah.

Diam Anesa yang telah membunuh pertimbangan dan rasional Pak Long. Zulkarami faham betapa tergurisnya hati abang-abang Anesa atas apa yang menimpa adik kesayangan mereka. Bukan Tuhan tidak tahu betapa sedih dan terlukanya hati kita Pak Long tapi Tuhan sengaja membiarkan kita merasainya kerana Tuhan mahu kita dekat dengan-Nya, Tuhan mahu mengangkat martabat kita di sisi-Nya. Yakinlah bahawa dalam tiap tangis ada bahagianya. Kesakitan dan kepedihan yang kita alami sebenarnya punyai nilai di sisi Allah. Bukan kerana Allah membenci kita Pak Long.

Dan Pak Long, kita semua perlu bersabar dan terus berharap dengan doa; satu-satunya senjata yang masih kita punyai untuk mendepani cubaan ini. Kita akan bersabar dan terus menanti sampai ketikanya Anesa akan tersedar dari ‘kerehatan’ dan ‘tidur’nya yang panjang ini….. Sekuntum doa buatmu bakal isteri…..

3 comments:

wardah al basri said...

belum sempat untuk dihantar ke laman Cerpen2u....yg ini dh lama...xperlulah rasanya...

ansorullah said...

Assalamua'laikum.. kak nik, nice story..=)

sekuntum doa' buat bakal isteri..mohon izin copy dalam group, boleh?

wardah al basri said...

ansorullah:wa'alaikummussalam....silalah copy...semoga ianya memberi manfaat dan peniktibaran buat jiwa yg mahu berfikir....