Wednesday, May 18, 2011

Repost ~ Manisnya Merinduimu Zauji~


Ya Allah,lega rasa dihati Tuhan sahaja yang tahu.Seminggu 'diperam' di Puteri Resort Ayer Keroh,Melaka terasa bagaikan setahun lamanya.Saya baru sahaja pulang dari kursus induksi di sana.Saat saya sampai di hadapan pintu pagar rumah,saya lihat rumput tumbuh meliar.Terasa kesunyian menghampiri jiwa saya perlahan-lahan.

Seminggu juga saya meninggalkan suami menguruskan pakai dan makannya sendiri.Saat saya sampai rumah,lewat tengahari Sabtu, suami saya tiada di rumah.Ingatkan dapatlah dia jemput saya di JPM Putrajaya tetapi sebaliknya.Saya terpaksa melalui perjalanan yang meletihkan.dari Putrajaya Sentral ke KL Sentral naik ERL.Perjalanan agak lengang dan selesa.Tukar tren Putra dari KL Sentral ke Teminal Gombak suasana agak merimaskan.Agak sesak dengan orang ramai yang mahu ke destinasi masing-masing.Seorang penumpang memberi saya duduk.Mungkijn dia kasihan melihat saya dengan tiga buah beg.Katanya dia dari Kelantan tidak biasa naik tren,datang ke KL semata-mata mahu menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Bukit Jalil, Kelantan melawan Selangor malam ini(hari Sabtu malam Ahad).Saya mengiyakan sahaja.Rupanya itu yang menambah sesak bandar raya Kuala Lumpur hari ini.

Turun tren,saya naik teksi baru sampai rumah,dengan tiga buah beg tetapi alhamdulillah,saya berjaya juga sampai.Suami saya dengan kerja mulianya.Sekolahnya ada pertandingan Tilawah al-Quran peringkat negeri Selangor, dari pagi membawa ke petang.

Semoga suamiku sentiasa terlorong ke jalan yang mulia,berkhidmat untuk agama-Mu.

Gambar semasa induksi masih belum dapat diupload di sini.Saya mengurut dada menahan sabar,PC ada virus.Pen drive tak boleh nak detect.Inilah akibat saya yang cuai semasa menggunakannya.Walaupun semua gambar sudah ada dalam laptop saya.

Saya lihat makanan tidak terusik.Kerepok,air oren kegemaran dia yang saya tinggalkan dalam peti ais seminggu yang lalu juga tidak terusik.Namun hati saya yang terusik,terusik dan tersentuh.Sewaktu saya masih berkursus,saban malam dia menelefon memberitahu saya bahawa dia makan itu dan ini hanyalah tidak lebih sekadar menyedapkan hati saya.

Tetapi saya tidak menyalahkan dia.Kalau sayapun,mungkin juga hilang selera makan.Makan sendirian,semuanya tidak enak dan sedap.Air manis pun jadi tawar.itulah realiti sebuah kehilangan tidak kira hilang sementara apatah lagi hilang selamanya.Teringat pada abang ipar saya,semoga terus diberi ketabahan.Kehilangan isteri tersayang saat semua masih memerlukan beliau,apatah lagi anak kecil berusia 8 bulan yang terlalu naif untuk mengerti hakikat sebuah kematian.

Saya melihat kain baju yang saya tinggalkan minggu lalu tidak berlipat semuanya kemas di atas rak.Ada rasa syukur dan hiba mengalir jauh di lubuk hati.Saya menghantar rindu dalam hiba yang menghuni hati.Semuanya membuatkan saya dilamar rindu.

Saya rindu pada harum minyak atar kegemarannya,rindu pada akhlak baiknya,rindu pada senyum dan tutur katanya yang berhikmah.

Kembara kali saya kali ini saya tamatkan dengan membukakan pintu saat dia pulang dari sekolah.Tangan dia saya kucup,ubat penghapus rindu.Kami berbalas senyum.Senyuman yang berkata-kata bagi pihak hati kami.

Mudah-mudahan Allah terus rahmati dan berkati kami.Jauhkan kami dari yang fahsya' dan munkar.

Kami cuma hamba-Mu,memohon hidup kami yang sementara ini dipimpin dalam hidayah dan keampunan-Mu.

Usrati Jannati!

~post at Kembara Fitrah 27 April 2009~

2 comments:

With Julia said...

Ya allah, syahdu yer membaca entry lama nik...moga nik senantiasa berbahagia hingga ke syurga...amin.

wardah al basri said...

Entry lama tu kak jue...xde ape pn....heheheh,kak jue rajin benar ziarah blog dan komen2.....smg berkat hidupmu kak jue...