Thursday, August 18, 2011

2 Tabiat Bawa Ke Neraka

Awwal kalam, segala puja dan puji untuk Allah, selawat dan salam buat Junjungan SAW serta seluruh ahli keluarga Baginda.
Sedikit tazkirah dan perkongsian buat semua. Bersama mengutip pengiktibaran darinya dan insya-Allah sama-sama kita praktikkan.

Sebagai peringatan untuk para wanita, muslimah mukminah dipaparkan satu peristiwa di suatu Eid di mana seorang wakil telah dilantik dari kaum wanita untuk bertemu Rasulullah SAW untuk meminta baginda SAW memberi ucapan khusus untuk kaum wanita. Baginda SAW bersetuju dan menyuruh mereka berkumpul di Baabun Nisaa. Setelah kaum wanita berkumpul, Bilal pergi memanggil Rasulullah SAW. Baginda pun pergi ke sana dan memberi salam lalu memberi tazkirah seperti berikut;

"Assalamualaikum, wahai kaum wanita/kumpulan wanita. Wahai kaum wanita, aku lihat kamu ini lebih banyak di neraka".

Seorang wanita lalu bangun bertanya, "Apakah yang menyebabkan yang demikian? Adakah sebab kami ini kufur?" Rasulullah SAW menjawab, "Tidak. Bukan begitu tetapi ada 2 tabiat kamu yang tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu ke dalam neraka Allah, itulah;
(i) Kamu banyak mengutuk/menyumpah
(ii) Kamu kufurkan kebaikan suamimu.

Kemudian Baginda SAW mengingatkan supaya;
(i) Banyak beristighfar
(ii) Banyak bersedekah.

Dapatlah disimpulkan di sini bahawa yang dimaksudkan dengan mengutuk/mnyumpah ialah seperti contoh di bawah:

Contoh 1
Katakan kita lama menunggu bas tetapi bas masih tidak kunjung tiba. Lalu akibat geram dan marah kita mungkin berkata, "driver bas ni dah mampus agaknya". Perkataan mampus itu termasuk dalam erti kata menyumpah. Lisan wanita memang terlalu cepat menyumpah. Kadang-kadang pakaian, perkakas rumah, hatta suami pun kena sumpah. (Waiiya zdubillahimin zalik)

Contoh 2
Tengah memasak gas habis. Kita mungkin berkata, "celaka punya gas. Masa ni juga la nak habis". Apa yang dimaksudkan di sini bukan kufur i'tiqad tetapi bererti tidak mengiktiraf kebaikan di sini bermaksud tanggungjawab yang telah ditunaikan oleh suami.

Berkaitan dengan hal ini, rasulullah SAW pernah ditanya oleh seorang suami yang kurang faham. Rasulullah SAW berkata, "Tidakkah pernah engkau jumpa, seorang isteri jika seumur hidup engkau berbuat baik kepadanya tetapi di suatu ketika disebabkan dia tidak mendapat sesuatu yang dia kehendaki, maka dia akan berkata, "Awak ni, saya tak nampak satu pun kebaikan awak".

Dalam realiti masyarakat kita kata-kata dia atas mungkin boleh dikaitkan dengan perkataan seperti berikut;

"Selama hidup dengan awak, apa yang saya dapat? Tak guna sesen pun".

Rasulullah SAW menyambung lagi, "Mana-mana isteri yang berkata, "Awak ini, saya tidak nampak satu pun kebaikan awak", maka akan gugurlah pahala-pahala amalannya". Masya Allah. Doakanlah kepada Allah, minta kita terpelihara dari menjadi isteri yang kufur dengan kebaikan-kebaikan dan jasa-jasa suami kepada kita dan keluarga. Walau suami tiada berharta, mampu menyara kita sekeluarga seada gajinya sahaja, tiada bermewah-mewah, tetaplah bersyukur! Bimbang-bimbang kita termasuk dalam kalangan wanita yang menghuni neraka Allah atas kekufuran kita itu!

Justeru, Baginda SAW menyarankan kepada kaum wanita agar perbanyakkanlah beristighfar, dan banyakkan bersedekah, bawalah diri kepada Allah, kembali insafi diri sebelum mulut laju menuturkan kalimah mengutuk dan menyumpah. lazimkanlah diri dengan kalimah istighfar ini. Mudah-mudahan ianya mengkaffarat dosa-dosa kita lantas menyelamatkan kita daripada terjerumus ke dalam api neraka Allah, yang azabnya terlalu pedih lagi tidak sanggup dihadapi.

p/s: Tazkir buat diri zaujah Ustaz Najmuddin bin Haji Abdullah juga!



Wednesday, August 3, 2011

Tazkir Buat Diri




Sewaktu Rasulullah SAW melangkah ke mimbar, para sahabat mendengar Nabi SAW mengucapkan amin beberapa kali, tetapi mereka tidak mendengar doa yang diaminkan oleh Rasulullah itu. Perkara yang diaminkan oleh Nabi, doa yang dibaca oleh para malaikat iaitu;

1. Celakalah orang yang tidak mendapat pengampunan Allah setelah berakhirnya bulan Ramadhan. Ini kerana bulan Ramadhan adalah bulan Maghfirah yang dijanjikan keampunan oleh Allah kepada hamba-hambaNya. Celakalah bagi mereka yang tidak menggunakan peluang ini untuk memohon ampun di atas segala dosa-dosa sepanjang hidupnya selama ini, sebaliknya berterusan dalam kemaksiatan dan langsung tidak menghargai dan berpaling dari pintu taubat yang Allah SWT buka seluas-luasnya pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

2. Celakalah orang yang derhaka pada orang tuanya. Tidak menghiraukan makan minum mereka, tidak bertanya khabar mereka dan membiarkan orang tua mereka hidup dalam kelaparan.

3.Celakalah orang yang tidak berselawat ke atas Rasulullah apabila disebutkan namanya. Berselawat disini tidaklah hanya mengucapkan selawat dibibir sahaja, tetapi apabila disebutkan nama Baginda, maka kita wajib mengingati Baginda, merindui Baginda Rasulullah SAW, perlu timbul rasa kasih dan sayang yang amat mendalam pada baginda. Kalau ibubapa kita apabila disebutkan nama mereka, kita tentu akan terbayangkan mereka, maka pada Rasulullah SAW, lebih-lebih lagi kita perlu mengingati dan merinduinya.

Sejauh manakah kita merindui dan mencintai Nabi kita ini, yang telah banyak bersusah payah kerana kita, yang amat menyayangi umatnya, yang bimbang jika seorang pun umatnya masuk neraka…..

Kisah Bilal yang merindui Rasulullah SAW sesudah Baginda wafat

Sesudah kewafatan Rasulullah SAW, Bilal berpindah dari Madinah ke sebuah tempat yang lain, antara sebabnya kerana tidak tahan melihat Makam Rasulullah SAW yang berada dalam Masjid Nabi. Setiap kali melihatnya, maka Bilal akan menangis mengenangkan Rasulullah SAW.

Suatu malam, Bilal bermimpi didatangi Rasulullah SAW, Baginda bertanya kepada Bilal kenapa sudah lama tidak menziarahi Baginda. Apabila tersedar, Bilal terus ke Madinah menziarahi makam Rasulullah SAW. Apabila masuk waktu solat, Bilal pun melaungkan azan. Seluruh madinah menangis mendengar azan yang dilaungkan oleh Bilal, mereka terkenangkan Rasulullah SAW kerana azan yang dilaungkan Bilal.

Begitulah kasih dan cintanya para sahabat pada Rasulullah SAW….


sumber:maghfirah.wordpress.com

Tuesday, August 2, 2011

Ahlan Ramadhan Kareem Allahu Akram

Ahlan ya Ramadhan....selaut syukur, kita dipertemukan dengan madrasah Ramadhan lagi tahun ini. Mengkoreksi diri, terfikir sejenak mengingati arwah abangku yang pergi menemui Allah SWT mendahului kami, sudah tidak punya nikmat kegembiraan bertemu Ramadhan buatnya dan begitu jugalah buat mereka yang sudah kembali kepada Allah SWT. So, kita yang masih Allah beri pinjam nikmat kesihatan dan nikmat dilanjutkan usia ini terlebih perlu menghargainya dengan sebaik-baik penghargaan.

Salam Ramadhan Kareem 1432H buat semua...

Alhamdulillah....Ramadhan tiba lagi. Apa khabar Islam dan iman kita sahabat? Bagaimana ibadah puasa kita? Sudahkah larangan dan tegahannya kita hindari dan segala suruhan-Nya kita laksanakan? Sudahkah Ramadhan kita hidupkan dengan berpesta ibadah? Sungguh, kerugianlah orang yang bertemu Ramadhan tetapi tidak merebut tawaran yang diberikan oleh Allah ini.

Sebagai muhasabah Ramadhan, kita kongsikan bersama sepotong hadith Nabi SAW yang bermaksud,
“Sesiapa yang berpuasa ramadhan dengan penuh keimananan dan mengharapkan keampunan Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu” [Muttafaqun ‘alaih]
Syarah Hadith :

Hadith ini merupakan hadith utama kelebihan orang-orang beriman yang berpuasa ramadhan iaitu dosa-dosa terdahulu mereka diampunkan. Dosa-dosa yang dimaksudkan ialah dosa-dosa selagimana mereka tidak melakukan dosa besar. Ini kerana dosa besar secara khususnya wajib bertaubat kepada Allah Ta’ala. Pengertian ini juga berkesinambungan dengan hadith yang menceritakan tentang “terhapusnya dosa bermula ramadhan ke ramadhan akan datang selagimana bukan merupakan dosa besar”.

Manakala, hadith diatas menyebut “dosa-dosa yang terdahulu” sahaja dan bukannya seperti sebahagian riwayat dhoif pada hadith tersebut dengan tambahan “diampunkan juga dosa-dosa yang akan datang”. Pakej istimewa tersebut ternyata hanya milik istimewa para anbiya dan rasul.

Dosa-dosa kecil orang-orang yang berpuasa Ramadhan ini dihapuskan oleh Allah dengan syarat
1. DILAKUKAN PENUH KEIMANAN
Orang-orang mukmin sifat puasanya adalah dengan penuh keimanan. Yakni mengakui akan kewajipan berpuasa sebagai seorang muslim. Maka dia bersungguh-sungguh melakukan ibadat tersebut dengan penuh ketaatan dan meninggalkan segala pantang larang puasa. Manakala, Imam Nawawi menyebut yang dimaksudkan dengan dilakukan dengan penuh keimanan iaitu meyakini atas terdapat kelebihan-kelebihan berpuasa yang diberikan oleh Allah kepada hamba-hambaNya.
2. BERPUASA SEMATA-MATA MENGHARAPKAN KEAMPUNAN ALLAH
Manakala, orang yang berpuasa mengharapkan keampunan Allah bermakna mereka tidak mengharapkan pujian dari manusia, atau motif yang lain. Yang mereka tujukan puasa tersebut hanya kerana Allah Ta’la. Mereka yang terlalu mengharapkan rahmat, ganjaran, keampunan, taubat dari Allah antara golongan yang akan diampunkan dosa-dosanya selagi mana tidak melakukan dosa-dosa besar.
Oleh itu, bersama kita merebut peluang keemasan yang telah ditawarkan sekali dalam setahun ini. Mungkin inilah Ramadhan yang terakhir buat diri kita. Semoga ibadah kita diterima.

Moga Ramadhan menjadi bulan tarbiyah, bulan mendidik nafsu kita, mengembalikan jiwa fitrah kita selaku hamba. Buat semua, selamat menjalani ibadah puasa dengan sepenuh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.

Wallahua’lam.